fbpx

Terampil Mengurus Dengan Kursus Kesetiausahaan

Terampil Mengurus Dengan Kursus Kesetiausahaan

Terampil Mengurus Dengan Kursus Kesetiausahaan

BANDAR BARU BANGI, 19 Jan 2014 – Setiausaha merupakan individu yang amat penting dalam sesebuah organisasi. Mereka berperanan mengatur dan menyusun gerak kerja bagi memastikan perjalanan organisasi berjalan dan berkembang dengan baik.

Memahami keperluan ini, Biro Latihan HALUAN memulakan tahun 2014 dengan menganjurkan Kursus Kesetiausahaan HALUAN (Siri 1).

Kursus selama dua hari ini telah diadakan di Dewan Seminar, Ibu Pejabat HALUAN di sini dan dihadiri oleh 26 orang peserta terdiri daripada setiausaha-setiausaha HALUAN di peringkat Cawangan, Biro dan Kelab di bawah HALUAN.

Antara kertas kerja yang dibentangkan adalah Peranan Dan Skop Tugas Setiausaha Dalam Organisasi, Pengurusan Mesyuarat Efektif, Pengurusan Acara Islami, Kepimpinan Eksekutif Dalam Islam, Pengurusan Kewangan, Pengurusan Media, dan Pengurusan Geran Kerajaan.

Slot Pengurusan Acara Islami antara slot yang amat menarik perhatian peserta. HALUAN sebagai sebuah pertubuhan yang aktivitinya menjurus kepada kebajikan dan kemasyarakatan sememangnya kerap menganjurkan acara.

Para peserta dilatih mengenai merancang sesuatu acara dan memastikan acara tersebut berjalan lancar. Para peserta turut mempelajari secara amali mengenai Pengurusan Risiko dalam menganjur dan mengendali sesuatu acara.

Hasil temuramah Media HALUAN dengan peserta yang hadir adalah amat memberansangkan.

Encik Zulkifli Willi, Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan berkata beliau merasa lebih bersemangat dan yakin untuk melaksanakan tugas-tugasnya sebagai setiausaha selepas menghadiri kursus tersebut.

“Kursus SU ini memberi ilmu yang lengkap terhadap kerja-kerja kesetiausahaan seterusnya banyak membantu saya untuk terus berkhidmat dengan baik bersama HALUAN,” berkata Encik Muhammad Izzat Mohd Ghani, Setiausaha Kerja Biro Kebajikan.

Kursus yang amat bermakna buat para setiausaha ini tamat pada 1.00 petang dengan ucapan penutup dan majlis penyampaian sijil oleh Encik Wan Abdullah Sabary Wan Harun, Ketua Pegawai Operasi HALUAN.

Harapan dan saranan beliau kepada para peserta adalah supaya mereka memperolehi kefahaman yang jelas dan seterusnya dapat mempertingkatkan prestasi dan produktiviti kerja dalam menggalas jawatan sebagai setiausaha di setiap peringkat dalam organisasi ini.

Laporan Unit mediaHALUAN