fbpx

Perlis Dahului Cerap Kesihatan Ahli

Perlis Dahului Cerap Kesihatan Ahli

Perlis Dahului Cerap Kesihatan Ahli

perlis-01WANG MU, PERLIS, 15 Jan 2014 – HALUAN mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan program saringan kesihatan untuk ahli-ahlinya di negeri Perlis di Pusat Latihan dan Rekreasi Wang Mu di Padang Besar semalam.

Program saringan tersebut yang dianjurkan oleh Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) dengan kerjasama ahli Sains Kesihatan HALUAN (SKH) dan Yayasan MATRI adalah bersempena sambutan Hari Keluarga HALUAN bagi ahli-ahlinya di negeri Perlis.

Menurut penasihat program berkenaan, Encik Khairul Anwar Husin, saringan kesihatan tersebut bertujuan mengenalpasti status kesihatan ahli HALUAN di Perlis yang berumur 35 tahun dan ke atas. Dengan itu, KKH akan dapat mengenalpasti kekerapan kejadian penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan obesiti di kalangan ahlinya, kata Khairul Anwar yang juga seorang ahli farmasi.

Saringan yang dibuat melibatkan soalselidik status kesihatan individu, pemeriksaan tekanan darah, paras gula dalam darah serta ukuran Body Mass Index (BMI.)

Pengarah program, Dr Noram Azlan Ramli, berkata seramai 60 orang ahli telah memberikan kerjasama untuk menjayakan program saringan tersebut. Kebanyakan mereka yang hadir adalah daripada tiga kelompok sasaran iaitu penduduk di perkampungan Tunjung, perkampungan Kubang Mempelas, dan ahli HALUAN dari serata Perlis. Pasukan ini turut dibantu oleh ahli-ahli KKH yang terdiri daripada Dr Ismail Nayan, Dr Azrul Yunus, Dr Siti Ashiah Johari, Encik Misnan Tahir dan Encik Mohd Syanas Desa.

“Perancangan masa depan kami adalah untuk membangunkan sebuah Klinik Amal HALUAN atau HALUAN Charity Clinic yang akan berpusat di perkampungan Tunjung bagi meneruskan usaha pemeriksaan dan rawatan kesihatan serta memberi khidmat nasihat kesihatan secara percuma dan berkala,” berkata Dr Noram Azlan yang juga seorang pakar oftalmologi.

“Harapan kami di KKH adalah supaya kami dapat mengemblengkan seluruh tenaga KKH yang ada di Perlis serta kepakaran yang terdapat pada KKH seluruh Malaysia bagi melaksanakan usaha ini. Kami juga berhasrat untuk menarik minat sukarelawan kepada kerja-kerja amal yang KKH sedang terajui di samping mempromosikan aktiviti ini bagi mendapatkan sumbangan dana bagi meneruskan serta meningkat keupayaan KKH di Perlis untuk berkhidmat dengan lebih giat lagi,” tambah Encik Khairul Anwar.

Sumbangan dana boleh dibuat terus kepada KKH Pusat di Bank Islam Malaysia Bhd di atas nama “Kelab Kesihatan HALUAN” bernombor akaun 12-0380–10065–494. Sekiranya penyumbang ingin mendapatkan pelepasan cukai, mereka bolehlah membuat sumbangan kepada Yayasan MATRI.