fbpx

Mengurus Sumber Manusia Dalam Organisasi Dakwah

Mengurus Sumber Manusia Dalam Organisasi Dakwah

Mengurus Sumber Manusia Dalam Organisasi Dakwah

Organisasi dakwah adalah organisasi yang mengumpulkan pelbagai lapis manusia yang mempunyai pelbagai latar belakang baik dari segi personaliti, pendidikan, pekerjaan, umur dan sebagainya. Kepelbagaian manusia ini bukan untuk dikumpulkan untuk meramaikan bilangan ahli dalam organisasi dakwah semata-mata apalagi untuk dihalakan pada satu bidang kerja yang sama sahaja.


Tetapi kepelbagaian manusia ini perlu diuruskan dengan baik agar kepakaran, kemahiran serta potensi mereka di bidang mereka masing-masing dapat dimanfaatkan dan disusun atur untuk kemaslahatan gerak kerja serta masa depan dakwah.

Sebab itu, memposisikan manusia dalam gerak kerja dan strategi dakwah adalah satu yang amat penting.

Mengabaikan aspek ini akan menyebabkan dakwah kita tidak berkembang dengan baik dan potensi sumber-sumber manusia yang ada bersama dengan kita itu akan terbazir begitu sahaja kerana tidak diposisikan dengan baik.

Cerminan Wahyu

Al-Quran mengisyaratkan kepentingan pengurusan sumber manusia ini melalui kisah perjalanan Nabi Musa AS dari Mesir ke Madyan, ketikamana baginda menemui gerombolan lelaki sedang memberi minum kepada binatang ternakan mereka dan pada ketika itu kelihatan dua orang gadis yang turut menjaga ternakan mereka tetapi tidak memberi minum kerana malu untuk berada di dalam gerombolan lelaki yang ramai itu.

Baginda telah membantu mereka. Lantas dari itu, kedua-duanya pulang menceritakan hal itu kepada ayah mereka yang disebutkan di dalam riwayat sebagai Nabi Syuaib.

Ketika di hadapan ayah mereka itu, salah seorang daripada gadis itu meminta ayahnya mengambil baginda sebagai pekerja kerana kekuatan dan sikap amanah yang ada padanya sesuai dengan pekerjaan mereka itu.

Al-Quran menukilkan hal ini :

“Berkatalah salah seorang daripada mereka berdua, wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (pekerja). Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja adalah yang kuat dan amanah.”

[Al-Qasas 28 : 26]

Bahkan di dalam banyak siri perjalanan dakwah Nabi Muhammad SAW, banyak contoh-contoh dekat yang menjadi teladan kepada kita akan kepentingan pengurusan sumber manusia ini.

Rasullullah SAW telah memilih Khalid Al-Walid sebagai panglima dalam banyak peperangan. Khalid pernah melakukan kesilapan mengeluarkan arahan membunuh tawanan sehingga dimurkai oleh Nabi SAW., namun ia belajar dari kesilapannya dan masih kekal di posisinya sebagai panglima dalam banyak medan perang sehinggalah pada zaman Saidina Umar Al-Khattab yang menggantikannya dengan Abu Ubaidah Al-Jarrah kerana bimbang orang berperang kerana Khalid, bukan lagi kerana Allah SWT.

Ada juga sahabat-sahabat seperti Abu Hurairah yang tugas dan potensinya pada menghafal dan mengingati ribuan hadis. Melalui Abu Hurairah, banyak hadis yang sampai kepada kita hari ini.

Begitu juga peranan sahabat-sahabat lain di sekitar Nabi SAW. Masing-masing berperanan besar dalam usaha perkembangan dakwah melalui bakat, potensi dan kemahiran yang mereka miliki.

Di dalam perang Uhud pun misalnya, Rasullullah SAW telah memposisikan sumber tenaga tentera. Misalnya tentera pemanah yang telah dilantik diberikan arahan oleh Rasullullah SAW agar tetap di posisi mereka.

Diriwayatkan daripada al-Bara’ (r.a) berkata:

Kami bertemu pasukan Musyrikin pada hari itu (Uhud), lalu Nabi Muhammad SAW menempatkan pasukan pemanah di bawah pimpinan Abdullah. Baginda SAW berpesan:

“Tetaplah kalian di sini, sekalipun kalian melihat kami menang atas mereka, janganlah kalian meninggalkan tempat ini, dan jika kalian melihat kami kalah, janganlah kalian bergerak untuk menolong kami.”

Ketika perang mulai berkecamuk, maka pasukan musuh melarikan diri sehingga aku melihat para wanita berlarian ke gunung hingga tersingkap betis mereka dan kelihatan gelang kaki mereka. Kaum Muslimin (pasukan pemanah) berebut mengambil (ghanimah) sambil berkata: “Ghanimah! (harta rampasan perang), ghanimah!” Abdullah akhirnya berteriak: “Nabi (s.a.w) telah berpesan kepadaku, janganlah kalian meninggalkan tempat kalian!.” Namun mereka tidak peduli, ketika mereka tidak memperdulikan wasiat Nabi (s.a.w) mereka menjadi kucar kacir.

[HR Bukhari, Kitab Maghazi, no. 4043]

Kesan daripada pengurusan sumber tenaga yang dilakukan oleh Rasullullah SAW di awal peperangan itu telah membawa kepada kemenangan awal kepada tentera Islam, namun menjadi kucar-kacir kerana tentera pemanah mengingkari arahan Rasullullah dengan keluar dari kawasan mereka.

Bagaimana Rasul S.A.W. Menguruskan Sumber Manusia

Untuk menguruskan sumber manusia yang ada di dalam organisasi dakwah, tidak dapat tidak perlukan kepada proses taaruf (berkenal-kenalan). Kita mesti kenal siapa dan bagaimana sifatnya para pendokong dakwah yang berada di dalam organisasi kita.

Nabi SAW pernah suatu ketika mengutuskan Mus’ab bin Umair sebagai utusan baginda untuk menyebarkan dakwah, menyampaikan Islam di Madinah Al-Munawwarah.

Kenapa Nabi memilih Mus’ab untuk melakukan tugasan ini?

Ya, kerana tugasan membuka pintu dakwah di tempat yang belum tersebarnya Islam ini bukanlah satu kerja yang mudah. Ia memerlukan kepada kesungguhan, ketekunan dan semangat juang yang tinggi.

Dan Nabi SAW telah melakukan taaruf dengan Mus’ab bin Umair. Baginda SAW tahu bahawa Mus’ab bin Umair adalah orang yang paling layak untuk diposisikan sebagai utusan dakwah ke Madinah.

Kesungguhan Mus’ab bin Umair untuk melakukan perubahan pada dirinya sendiri suatu ketika dahulu semasa hendak memeluk Islam adalah salah satu bukti kenapa dia adalah orang yang paling layak.

Meninggalkan kekayaan dan kemewahan hidupnya yang dia kecapi penuh kenikmatan seperti itu semenjak kecil lagi, bukanlah suatu yang mudah. Tetapi Mus’ab telah membuktikan.

Kesanggupannya melakukan perubahan besar pada dirinya sendiri itu adalah salah satu ciri yang memberikan tanda bahawa dia mampu melakukan perubahan besar juga pada masyarakatnya.

Dan Mus’ab telah membuktikan hal itu sehingga dikisahkan di dalam riwayat, hampir tidak ada pintu yang tidak diketuk oleh Mus’ab bin Umair ketika melakukan kerja-kerja dakwah di Madinah. Hasil daripada dakwah yang dilakukannya itu juga telah membuahkan ramai mad’u baru yang sebahagiannya telah membaiah Rasul s.a.w. di dalam Perjanjian Aqabah.

Mus’ab telah membuktikan bahawa dia adalah orang yang selayaknya untuk berada di posisi itu.

Begitu juga dalam peristiwa hijrah ke Habsyah. Mengapa Nabi SAW memilih Jaafar bin Abi Talib, sepupunya itu sebagai ketua rombongan atau jurucakap bagi kaum muslim? Kenapa tidak dipilih saja sahabat-sahabat lain yang ramai lagi bersama di dalam rombongan itu?

Kerana Jaafar mempunyai kepakaran dan potensi dalam bercakap serta menyampaikan mesej dakwah dengan baik.

Lihatlah ucapan Jaafar kala utusan musyrikin Makkah ketika itu datang menuntut mereka dari Najasyi. Ucapannya sarat dengan mesej yang jelas akan tujuan kedatangan mereka, tidak berselindung dan tidak samar-samar, segalanya jelas. Itu menyenangkan hati Najasyi untuk terus memberikan perlindungan kepada mereka. Juga di dalam riwayat dinyatakan, pada akhirnya Najasyi masuk Islam namun tidak diketahui oleh rakyatnya.

Rasul SAW. telah meletakkan orang yang sesuai semisal Jaafar di posisi itu untuk menjadi jurucakap. Bukan suatu yang mudah untuk bercakap penuh tenang dan menyampaikan mesej dengan baik pula dalam zaman yang kita membawa suatu perjuangan baru di dalamnya dan ditentang oleh ramai orang pula.

Namun, Jaafar telah membuktikan bahawa pilihan Rasul SAW ke atas dirinya itu adalah pilihan yang tepat.

Menghargai Sumber Manusia Dan Kepakaran Mereka

Sumber manusia yang ada di dalam organisasi dakwah jangan diabaikan atau diketepikan. Kepakaran mereka perlulah diberi perhatian. Letakkan mereka di posisi yang sesuai dengan kepakaran yang ada pada mereka. Seseorang yang mempunyai kemahiran bercakap janganlah diletakkan menjadi pengikut dan pendengar semata-mata.

Seseorang yang mempunyai keinginan bekerja yang tinggi janganlah disekat semangatnya itu dengan hanya menghadiri usrah mendengar penyampaian-penyampaian semata-mata tanpa ada apa-apa projek.

Seseorang yang mempunyai kemampuan di bidang dakwah ammah (umum) sehingga dapat menarik minat ramai orang janganlah dipaksa menguruskan dakwah fardhiah (individu) semata-mata.

Seseorang yang minat berkarya dan terlibat dalam bidang kesenian seperti melukis, video dan sebagainya jangan dimatikan potensinya dengan meletakkannya di bidang kerja-kerja pejabat.

Hargai sumber manusia dan kepakaran yang berada di dalam organisasi kita agar kita bisa mengembangkan dakwah ini lebih jauh dan lebih luas.

Apabila manusia diletakkan di posisi sesuai dengan bidang kepakaran ataupun potensi yang ada padanya, maka pasti dia akan dapat memaksimumkan hasil di bidang itu. Berbeza jika dia diletakkan di tempat yang bukan bidang kepakaran atau potensinya untuk dakwah, mungkin dia boleh melakukan kerja di bahagian itu tetapi hasilnya tidaklah sebaik yang diharapkan.

Alangkah ruginya perjalanan gerak kerja organisasi dakwah yang mengabaikan kepakaran dan potensi anak-anak buahnya. Dakwah susah untuk berkembang luas, banyak bidang kemahiran diabaikan, organisasi dakwah menjadi mundur dan tidak begitu dikenali pula oleh masyarakat.

Penutup : Uruskan Sumber Manusia Di Setiap Peringkat Organisasi

Di setiap peringkat organisasi baik di peringkat kepimpinan, ahli, para syuyukhnya, pemudanya mahupun remajanya, maka pengurusan sumber manusia tidak wajar diabaikan.

Setiap peringkat itu mempunyai sasaran perkembangan dakwahnya yang tersendiri. Maka, memberdayakan sumber manusia sesuai dengan potensi, kepakaran dan kemahirannya adalah sesuatu yang penting agar dakwah kita dapat berkembang baik di setiap peringkat.

Jangan abaikan, sekat apalagi membunuh potensi sumber manusia yang ada pada kita. Barangkali kita akan menghadapi masalah perselisihan faham dan sebagainya dalam menguruskan potensi yang ada di dalam organisasi kita ini, tetapi rawatlah perselisihan dan segala penyakit yang timbul dengan tarbiyah dan tazkiyah.

Dakwah harus terus dikembangkan. Pembinaan harus terus dilakukan.

Jangan kerana masalah-masalah kecil menimpa kader-kader dakwah lantaran perbezaan faham menghalang gerak kerja yang lebih besar. Jangan sampai masalah antara kader menyebabkan kita merasa hasad terhadap saudara kita sendiri sehingga kita tidak lagi meletakkannya sesuai dengan posisi yang selayaknya bagi dirinya dalam gerak kerja dan strategi dakwah.

Uruskan dan susun atur sumber manusia dengan baik di samping jangan melupakan aspek penerusan tarbiyah dan tazkiyah (penyucian jiwa) agar yang menjadi frontline dakwah tidak melampau sampai melebihi batas, agar yang bekerja di belakang tabir tidak merasa rendah diri sehingga mahu berhenti.

Seimbangkan susun atur sumber manusia dengan penerusan tarbiyah.


Tulisan Oleh Ustaz Afdholul Rahman Bin Che Ani, Pelajar Tahun Tiga
Jurusan Ekonomi dan Perbankan Islam di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan
Aktivis dan pimpinan Kelab Siswa HALUAN Jordan