fbpx

Futsal HALUAN Himpun 180 Pemain Muda

Futsal HALUAN Himpun 180 Pemain Muda

BANGI, 19 Jan 2014 – Bertemakan ‘Riadah Is Ibadah’, Kejohanan Futsal HALUAN Negeri Selangor telah berlangsung dengan jayanya pada 18 Januari lepas. Seramai 180 orang pemuda yang mewakili 21 pasukan dari daerah-daerah di negeri Selangor telah berkumpul dan ‘berjuang’ mempamerkan kemahiran permainan yang hebat sambil memelihara ukhuwah di dalam gelanggang. Ternyata kejohanan ini berjaya menjadi pentas mempamerkan bakat dan menguji ketahanan dan stamina individu.

Kejohanan kali ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua HALUAN Selangor, Encik Zainusham Yusof dan turut menyediakan slot penerangan ringkas tentang HALUAN daripada Biro Penerangan yang diwakili oleh Ketua Bironya, Encik Khairul Azman Ahmad Abkari. Kejohanan peringkat negeri yang dikendalikan oleh Biro Sukan Dan Rekreasi telah diselenggara oleh Ketua Bironya, Encik Abd Hafidz Hamzah yang bertindak selaku Pengarah Kejohanan. Di dalam ucapan perasmiannya, Encik Zainusham menerangkan secara ringkas bahawa tujuan riadah adalah untuk mendapat tubuh badan yang sihat serta mampu menjadikannya wasilah untuk menguatkan ukhuwah Islamiyah di kalangan masyarakat.

Sebelum kejohanan bermula, sesi regangan telah dikendalikan oleh Encik Saiful Kareem diikuti dengan sesi fotografi. Pertembungan secara ‘round-robin’ ini menyaksikan lapan pasukan telah berjaya ke peringkat suku akhir dan di peringkat separuh akhir telah menemukan pasukan-pasukan yang terdiri daripada Klang A, Bangi B, Rawang C dan Gombak C. Keputusan akhir menobatkan Gombak C selaku Juara, Klang A sebagai Naib Juara, Rawang C di tempat ketiga dan Bangi B di tempat keempat.

Rata-rata peserta kejohanan gembira dengan inisiatif HALUAN menganjurkan kejohanan ini dan mencadangkan agar ditambah acara sukan seperti badminton, bola tampar, bola sepak dan lain-lain. Encik Hafidz yang merupakan Pengarah Program menambah, “Kesinambungan dari kejohanan futsal ini, HALUAN akan menganjurkan Liga Futsalnya sendiri yang mungkin akan berlangsung dalam tempoh enam bulan dan lokasi pertandingan akan diadakan di setiap daerah di negeri Selangor ini. Pasukan yang terlibat di kejohanan ini akan dijemput untuk menyertai liga tersebut.”

Kejohanan yang berakhir pada 5.00 petang itu telah disempurnakan penutupannya oleh Ketua Biro Pemuda, Encik Hasri Ahmad. Semoga dipertemukan lagi di dalam kejohanan-kejohanan yang akan datang. Mari Bersukan Dan Beriadah Bersama HALUAN.

Laporan Unit Media, Biro Sukan & Rekreasi