fbpx

Tekad Menjadi Insan Rabbani

Tekad Menjadi Insan Rabbani

Tekad Menjadi Insan Rabbani

BANDAR BARU BANGI, 18 Nov 2015 — Program Intervensi Anak Yatim HALUAN dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri telah diteruskan dengan penganjuran bagi siri ke empat iaitu Modul Sahsiah.

Tujuan utama program ini adalah –memupuk nilai diri peserta sebagai insan rabbani dan menjadikan Rasulullah SAW sebagai uswah hasanah. Objektif modul ini adalah bagi mendedahkan kepada peserta supaya mengenali potensi diri seterusnya menghargai diri mereka sendiri. Peserta juga dapat menyedari akan hakikat kebersamaan Allah SWT dalam kehidupan dan mampu mendidik serta membimbing diri ke arah kebaikan.

Modul kali ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh Ustaz Adni Abd Razak yang merupakan tenaga pengajar di Sekolah Menengah Ibnu Khaldun. Beliau telah dibantu oleh beberapa orang dari pasukannya iaitu Ustaz Muhammad Izzudin Md Adi, Ustaz Muhammad Umar Aiman Osman dan En Ismail Mustafa Kamal.

Slot pertama dimulakan dengan slot Ice Breaking oleh En Ismail Mustafa Kamal. Beliau telah membuka minda peserta bahawa setiap masalah yang kita hadapi di dalam kehidupan ini pasti ada jalan penyelesaiannya. Banyak video-video klip tentang hakikat kehidupan yang telah dipertontonkan kepada peserta sebagai medium pengajaran yang mesra remaja dan efektif. Selepas solat maghrib, aktiviti diteruskan dengan kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Adni Abd Razak yang bertajuk Nabi Anak Yatim. Seusai solat Isyak, pengisian diteruskan dengan penyampaian yang bertajuk ‘Kenal Rasul Cinta Rasul’. Kemudian, slot ini dirumuskan melalui aktiviti latihan dalam kumpulan serta pembentangan yang dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Umar Aiman.

Keesokkan harinya selepas solat subuh berjamaah, para peserta dihidangkan lagi dengan santapan rohani yang bertajuk “Ihfazillah Yahfazka” disampaikan oleh Ustaz Muhammad Umar Aiman. Slot ini menekankan akan kepentingan memelihara diri dengan segala aturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Barang siapa yang memelihara hak Allah SWT, maka Allah SWT akan menjaganya di dalam kehidupan.

Sejurus sarapan pagi, para peserta telah memulakan aktiviti Kenali Diri & Explorace merentas alam secara berkumpulan. Terdapat lima checkpoint yang perlu dilalui oleh setiap kumpulan iaitu check point alam roh, alam rahim, alam dunia, alam kubur dan alam akhirat. Di setiap check point peserta perlu menyelesaikan tugasan yang disediakan untuk mereka, di samping setiap fasilitator membuat penerangan mengenai alam-alam tersebut.

Slot pengisian terakhir bagi modul sahsiah ini disampaikan oleh Ustaz Adni dengan tajuk “Menjadi Insan Rabbani”. Beliau menerangkan hakikat kehidupan dan tujuan kehidupan kita di dunia. Betapa besar tujuan manusia diciptakan oleh Allah SWT dan sebaik-baik manusia adalah mereka yang benar-benar memperhambakan dirinya hanya kepada Allah SWT.

Di penghujung program, majlis penutupan telah disampaikan oleh Puan Alfiah Samingan. Kebanyakkan peserta merasa gembira dengan modul kali ini kerana terdapat aktiviti luar dewan yang memberikan kelainan berbanding modul-modul sebelumnya. Check point-check point tersebut memberi banyak ilmu pengetahuan kepada mereka bahawa kehidupan di dunia ini bukan hanya terhenti di alam ini sahaja. Malah ,kita akan melalui alam kubur hinggalah ke alam akhirat dan yang menentukan pengakhiran kehidupan kita adalah bergantung kepada sebanyak mana bekalan yang diusahakan sepanjang tempoh hidup di dunia.

Ternyata, rata-rata peserta memperolehi manfaat yang sungguh banyak dari program kali ini. Pulangnya mereka dengan sebuah kesedaran yang menginsafkan bahawa peluang hidup di dunia ini perlu dioptimumkan dengan satu tekad yang ampuh – menjadi insan Rabbani!

Semoga bertemu lagi bagi siri modul seterusnya.


Laporan Ummu Hani Mohd Nasaruddin, Setiausaha Kerja Biro HALUANITA