fbpx

Relawan Selamat Pulang Dari Afghanistan

Relawan Selamat Pulang Dari Afghanistan

Relawan Selamat Pulang Dari Afghanistan

SEPANG, 19 Nov 2015 — Dua orang relawan HALUAN yang menyertai misi kemanusiaan gabungan NGO-NGO Islam ke Afghanistan selamat tiba di tanah air pada 18 November.

Mereka disambut oleh beberapa orang perwakilan diketuai Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, Dr. Baharudin Suri, dan pasukan mediaHALUAN. Encik Safiuddin Suruji, 25, dan Encik Abdullah Abrar Haron, 22, telah menyertai lapan lagi relawan NGO lain diketuai Yayasan Amal dalam menyantuni mangsa gempa bumi di Afghanistan di wilayah Hindu Kush. Termasuk dalam pasukan itu adalah dua orang doktor serta beberapa orang paramedik.

Menurut Encik Safiuddin, mereka sempat melaksanakan misi perubatan di tiga buah tempat di sana, Jalalabad, Kandahar dan di Timur Kabul, dengan memberi rawatan kepada 280 orang secara percuma, hasil derma prihatin rakyat Malaysia.

“Kami berkerjasama dengan pihak NGO Aghanistan yang berpengaruh di sana. Kami disantuni dengan baik dan mendapat maklumat yang berguna daripada mereka terutama di segi keselamatan kerana terdapat ramai kumpulan bersenjata yang bergerak di sana. Tetapi yang mengharukan adalah trend terkini di mana puak-puak bertelagah di sana sudah pun nampak ingin mula bersatu, seolah-olah mereka sudah jelak dengan perbalahan yang tiada kesudahan. Kami dapati mereka kini sangat serius ingin membina semula institusi pendidikan mereka agar rakyat Afghanistan kembali terdidik. Ilmu semakin dirasakan penting dan mereka sedang cuba membina semula prasarana seperti sekolah sehinggalah universiti agar suasana mentaliti ingin berbalah akan berkurangan dengan terdidiknya masyarakat,” jelas beliau.

Di segi rawatan kesihatan pula, Safiuddin yang merupakan seorang jururawat terlatih lelaki memberitahu bahawa mangsa sedang berada di fasa rehabilitasi di mana pesakit peringkat akut sudah berkurangan. Mangsa gempa yang dirawat adalah lebih kepada yang bermasalah kesihatan kronik seperti darah tinggi, diabetes dan masalah kanak-kanak. Ini adalah misi besar kedua buat Safiuddin setelah pernah menyertai misi kemanusiaan gempa di Nepal baru-baru ini serta banjir di Terengganu.

Bagi Abdullah Abrar, misi Afghanistan ini adalah yang pertama bagi beliau setelah tamat pengajian di Jordan. Pengalaman di Afghanistan tersebut amat bermakna buat anak muda ini demi meningkatkan ilmu kesukarelawanan beliau bersama HALUAN.

“Asalnya kami ingin pergi ke kawasan epicentre gempa tetapi dikatakan kawasan itu tidak selamat, baik di segi gempa susulan mahupun keselamatan. Maka kami bertumpu di wilayah Jalalabad. Mereka kini sedang berada di fasa ketibaan musim salji, maka dengan gempa yang telah terjadi mereka akan menghadapi kesukaran yang lebih terutama di segi perlindungan atau shelter serta memperolehi bekalan makanan yang mencukupi,” kata beliau selaku ahli data logistik.

Menurut Dr Baharudin, HALUAN sebagai sebuah NGO yang menyantuni mangsa bencana alam dalam dan luar negara sentiasa mengalukan derma dan sumbangan masyarakat untuk disaluragihkan kepada mereka yang benar-benar layak disantuni. Dalam kes musim salji yang mendatang di Afghanistan, rakyat di sana amat memerlukan khemah musim sejuk, bekalan makanan yang mencukupi serta bahan bakar untuk memanaskan badan. Beliau menyeru agar rakyat Malaysia terus menyumbang untuk tujuan tersebut, untuk HALUAN salurkan kepada mangsa di sana melalui kerjasama NGO tempatan yang diyakini dapat membantu mereka di lokasi.

Sumbangan ikhlas tuan-puan kepada mereka yang memerlukan boleh disumbangkan melalui:

Nama Akaun: Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Berhad

*Sila emel slip/resit sumbangan [Gempa Afghan] ke unit.kewangan@haluan.org.my

Hubungi kami untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut:
✔Hotline: +60182401141 (Call/SMS/Whatsapp) – 24jam
✔Phone: +60389268892
✔Fax: +60389266892
✔Email: info@haluan.org.my

Semoga sumbangan anda dirahmati Allah SWT.


Laporan Umar Ismail, mediaHALUAN