fbpx

Sekolah Islam Swasta Perlu Kuasai Bahasa Inggeris Dan Ceburi TVET – Dr Maszlee Malik

Sekolah Islam Swasta Perlu Kuasai Bahasa Inggeris Dan Ceburi TVET – Dr Maszlee Malik

Sekolah Islam Swasta Perlu Kuasai Bahasa Inggeris Dan Ceburi TVET – Dr Maszlee Malik

PUTRAJAYA, 24 Mei 2019 – YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia menekankan dua pendekatan bagi memperkasakan Institusi-institusi Pendidikan Islam Swasta agar terus kekal relevan pada masa akan datang.

Dua pendekatan teras itu adalah menguasai Bahasa Inggeris dan menceburi bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Sikap kita harus terbuka jika ingin melihat Malaysia berjaya sebagai negara maju maka penguasaan bahasa Inggeris juga perlu baik. Institusi pendidikan swasta perlu kuasai bahasa Inggeris agar terus releven.” katanya ketika slot Bicara Minda sempena Majlis Berbuka Puasa Amal Perdana di BoraOmbak Marina Putrajaya hari ini.

Sambil menekankan ianya asas kepada perjalanan masa depan tanpa mengabaikan bahasa Malaysia sebagai bahasa ibunda dan juga bahasa arab sebagai bahasa Al Quran. Beliau percaya sistem pendidikan TVET akan terus berperanan sebagai ‘game changer’ dalam menghasilkan modal insan berkemahiran tinggi.

Bila ditanya apakah objektif sebenar dasar pendidikan negara, Dr Maszlee menegaskan bahawa dasar pendidikan negara adalah hendak “Memanusiakan manusia”. Jelasnya lagi, Institusi Pendidikan Islam berperanan besar dalam menerapkan nilai-nilai ‘Kegembiraan, Kasih Sayang dan Saling Menghormati’ dalam ruh pendidikan.

“Kita hendak mengembalikan nilai murni ini bagi memastikan kita mempunyai paksi moral yang menjadi intipati kepada kemanusiaan,” tegas beliau lagi.

Turut bersama Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, Penaung Persatuan Cendekiawan Muda Shariah Malaysia sebagai moderator slot bersama Dr Maszlee tersebut.

Majlis Berbuka Puasa Amal anjuran Institusi-institusi Pendidikan Islam Swasta itu dihadiri hampir 500 orang penaja yang hadir menyumbang dana bagi penyaluran bantuan ke sekolah-sekolah Islam swasta.

Sekolah-sekolah yang terlibat adalah Institusi Pendidikan Hira, Sekolah Menengah Ibnu Khaldun, Sekolah Rendah Ibnu Khaldun dan Sekolah Rendah Islam Integrasi Ibnu Kathir. Turut bersama dua yayasan pendidikan iaitu Yayasan Pendidikan Islam Aman dan Yayasan Takmir Pendidikan. Kutipan berjumlah RM 386,000 berjaya dikumpul hasil jualan 70 meja dengan kehadiran hampir 800 orang tetamu.

Majlis sebelum itu diserikan dengan tazkirah Ramadan oleh Imam Muda Asyraf dan persembahan nasyid oleh kumpulan Mirwana dan Hafiz Hamidun.

Setiausaha Agung HALUAN, Sr. Mohd Sabbri Md Yudin turut hadir dalam majlis ini. HALUAN menyokong penuh usaha memperkasakan institusi-institusi pendidikan islam swasta di Malaysia. Inisiatif penganjuran acara sebegini mampu memantapkan lagi jalinan kerjasama Institusi Pendidikan Islam dan secara tidak langsung memberikan pendedahan terkini kepada masyarakat berkaitan usaha-usaha pembangunan sekolah-sekolah Islam swasta di Malaysia.

Dengan penubuhan Institut Pengajian Tinggi Integrasi (IPTI) kelolaan HALUAN dan beberapa sekolah rendah dan menengah angkat HALUAN di setiap negeri, HALUAN percaya bahawa pendidikan yang terancang serta holistik meliputi setiap aspek fakulti keinsanan mampu membina peradaban manusia yang kukuh selari dengan tuntutan agama

Oleh sebab itu, aspirasi institusi HALUAN ini adalah akademik cemerlang, akhlak terpuji dan hidup sentiasa memberikan khidmat serta manfaat kepada komuniti masyarakat.



Laporan Media HALUAN