fbpx

Rumahku Syurgaku di KKTM Ledang

Rumahku Syurgaku di KKTM Ledang

Rumahku Syurgaku di KKTM Ledang

MUAR, 10 Nov 2015 — Gabungan sahsiah terpuji dan akademik menjadi kekuatan membentuk pelajar techno daie. Seiring dengan itu, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang bersama HALUAN Johor telah menganjurkan seminar Mahligai Impian 2015 bertemakan “Rumahku Syurgaku” pada 10hb lepas di kolej berkenaan di Ledang, Muar.

Seramai 270 peserta terdiri daripada kalangan pelajar IPT dan juga ibu bapa telah mengikuti seminar tersebut yang dikendalikan oleh 15 orang ahli HALUAN serta beberapa kakitangan KKTM. Seminar telah dirasmikan oleh Pengarah KKTM Ledang, Encik Mahzan Teh.

Program “Mahligai Impian” merupakan aktiviti tahunan Biro HALUANITA Johor yang terangkum dalam agenda Program Pembangunan Remaja dan Keluarga kelolaan HALUAN. Seminar Rumahku Syurgaku ini adalah sebagai penutup tirai bagi tahun 2015 yang merupakan penganjuran kali yang ke tujuh sejak tahun 2008.

Seminar ini memfokuskan memberi kesedaran kepada pemuda, pemudi dan masyarakat tentang kepentingan ilmu dalam persediaan menuju ambang perkahwinan. Ia memberi kesedaran kepada para peserta akan hakikat Islam sebagai satu cara hidup yang syumul (menyeluruh) yang menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Penceramah Encik Noorazman Mohd Samsuddin telah membentangkan kertas kerja pertama bertajuk “Memperkasakan Keluarga Menghadapi Cabaran Masa Kini”. Antara lain beliau mengajak peserta memahami tentang makna keluarga bahagia yang akan terselamat dari neraka Allah SWT, seperti di surah Al-imran 3:185.

“Allah juga berjanji akan memberi pasangan yang terbaik. Matlamat perkahwinan menjadi ibadah bila pasangan itu dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui perkahwinan yang terjalin. Perkahwinan tersebut akan saling membahagiakan, membawa kepada ketenteraman dan ketenangan jiwa dan ruh. Pengembangan generasi dan zuriat juga dapat diteruskan melalui perkahwinan di mana Rasulullah SAW sendiri menyukai umat yang ramai sebagai waris perjuangan menegakkan kalimah Allah,” katanya. “Rumahtangga akan menjadi medan dakwah dan pendidikan untuk melahirkan aset yang bermanfaat kepada semua makhluk di dunia ini dan kesejahteraan di akhirat pula.”

Kertas kerja kedua bertajuk “Teknik Komunikasi Dalam Rumahtangga” telah disampaikan oleh Dr Mohd Razali Maarof. Seorang pendidik yang bijak haruslah seorang pembimbing, bukan pemerintah, memberi teladan bukan pengkritik, menjadi sebahagian dari solusi, bukan sebahagian daripada masalah, dapat mendidik dengan cinta dan kelembutan, bukan dengan celaan dan tuduhan, dapat memimpin dari hati, bukan dari emosi egois.”

Teknik komunikasi dalam rumahtangga adalah penting dalam melahirkan kesejahteraan cinta. Petua pertama komunikasi ialah cinta dari hati yang bersih. Melaluinya, dapat dikembangkan perasaan cinta dan kasih lantas akan muncul suasana komunikasi yang menyenangkan dan melegakan kedua belah pihak, jelas beliau.

Dr Mohd Razali mengajak peserta kepada rukun teras dalam rumahtangga iaitu memahami Allah SWT menciptakan kita sebagai khalifah di muka bumi dan kita hamba kepada Allah SWT, diikuti pula kefahaman bahawa Islam saja sebagai satu sistem panduan hidup. Kita juga perlu merasai bahawa suasana kini meletakkan Islam dalam keadaan dagang dan kita tiada pilihan melainkan bertindak melaksanakan semua teras yang dinyatakan untuk mengembalikan suasana rumahtangga dan masyarakat yang berpegang pada aqidah.

Encik Mahzan mengucapkan terima kasih kepada pihak HALUAN atas kerjasama dengan pihak KKTM merealisasikan program Mahligai Impian tersebut. Katanya, kerjasama ini sebagai satu titik permulaan yang penting untuk menghidupkan suasana taman syurga yang dapat memandu arah ketelusan dan kebenaran perjalanan kehidupan berkeluarga. KKTM akan terus berkerjasama dengan HALUAN Johor dalam menjayakan aktiviti-aktiviti yang memanfaatkan masyarakat.

Peserta seminar berpuas hati dengan program tersebut. Antara lain, mereka mengharapkan agar pihak HALUAN dapat menganjurkan lagi program seumpama ini supaya individu dan masyarakat lebih jelas tentang matlamat hidup berkeluarga dan tidak mudah terpedaya dengan permainan dunia.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi HALUAN Johor, Encik Muhammad Yusuf Kaslan.


Laporan Puan Zainab Mohamed @ Ismail, Biro HALUANITA Johor