fbpx

Memacu Momentum Pengajian Pascasiswazah

Memacu Momentum Pengajian Pascasiswazah

Memacu Momentum Pengajian Pascasiswazah

SHAH ALAM, 9 Feb 2014 – Demi membentuk masyarakat minda kelas pertama, pelbagai inisiatif pembangunan modal insan telah diwujudkan antaranya dengan meningkatkan tahap kelulusan akademik sesebuah masyarakat dan mengoptimumkan penguasaannya dalam sesuatu disiplin ilmu di peringkat tertinggi.

Menyedari akan keperluan ini, Biro Pengajian Tinggi telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Kolokium Pascasiswazah di Dewan Anjung Ilmu, Jalan Kebun pada 8 Februari yang lalu. Antara objektifnya adalah memberi pendedahan kepada para peserta tentang alam pengajian pascasiswazah di samping berkongsi tips dan pengalaman bersama para akademia IPTA. Kolokium tersebut disifatkan sebagai langkah awal yang bertepatan dengan keperluan arus perdana pendidikan tinggi hari ini.

Timbalan Presiden HALUAN, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abu Azam Md Yassin, dalam ucaptamanya menekankan tentang kepentingan dan kelebihan ilmu pengetahuan dalam kehidupan seorang muslim. Menariknya, beliau yang sememangnya berpengalaman luas dalam menyelia para pelajar pascasiswazah tidak lokek berkongsi tujuh rahsia utama bagi menyempurnakan pengajian dalam tempoh yang pantas dengan penyelidikan yang berkualiti.

Selain itu, kolokium ini juga disajikan dengan cetusan-cetusan pengalaman dan idea segar daripada para ahli akademik HALUAN yang berpengalaman yang dijemputkan khas dari beberapa buah universiti di Malaysia. Boleh dikatakan, setiap slot yang disediakan oleh pihak penganjur merangkumi semua aspek yang menyentuh tentang dunia pengajian pascasiswazah.

Kolokium yang dihadiri oleh 70 orang peserta kebanyakannya para pelajar pascasiswah ini telah menerima maklumbalas yang positif. Menurut salah seorang peserta Wan Naim Wan Mansor, kolokium yang disampaikan oleh para pakar ini telah memberikan dimensi yang sangat menarik tentang pengajian pascasiswazah, berbeza dengan program yang pernah disertainya sebelum ini.

Manakala seorang lagi peserta Zawir Amin Ahmad Farid yang bakal menyambung pengajiannya ke Amerika Syarikat pula berpandangan bahawa program seperti ini amat penting bagi meningkatkan motivasi dan momentum pengajian bagi pelajar pascasiswazah.

Melihat kepada maklumbalas yang positif ini, Prof. Dr. Rosni Abdullah yang telah menyampaikan ceramah bertajuk “Surviving Thesis Writing” berharap agar penganjuran Kolokium Pascasiswazah tidak terhenti setakat ini, bahkan diteruskan pada masa akan datang. Hal ini penting bagi menyemarakkan lagi pengajian pascasiswazah yang sangat penting untuk pembangunan negara di masa hadapan. HALUAN berperanan menyahut seruan kerajaan untuk meramaikan lagi bilangan cendekiawan dan ilmuan yang berkelulusan tinggi.

Kolokium ini ditamatkan dengan ucapan penutup oleh Encik Hussein ‘Azeemi Abdullah Thaidi, Pengarah Kolokium Pascasiswazah dengan penekanan terhadap mustahaknya pengajian pascasiswazah dari sudut signifikannya yang terbukti mampu membentuk akal yang matang dan minda yang kritis. Aspek ini amat penting kerana Islam itu sendiri dibina di atas bukti, dalil, analisis fakta serta pemikiran yang matang dan kritis.

Laporan oleh Anaqi Salleh, Setiausaha Kerja Biro Pengajian Tinggi