fbpx

Memperkasa Profesion Perguruan Masa Hadapan

Memperkasa Profesion Perguruan Masa Hadapan

Memperkasa Profesion Perguruan Masa Hadapan

BANDAR BARU BANGI, 10 Feb 2014 – Profesion perguruan adalah satu bidang yang sangat penting dalam dunia pendidikan hari ini terutamanya dalam membangunkan generasi yang berilmu, berakhlak dan bertamadun tinggi. Bertitik tolak daripada hasrat untuk memperkasakan lagi profesion ini, Biro Pendidikan telah menganjurkan satu kursus untuk guru-guru baru Institusi Pendidikan Swasta (IPS) di bawah kelolaan HALUAN yang bertempat di Dewan Seminar Ibu Pejabat HALUAN di sini. Kursus tiga hari bermula 7 Februari ini disertai seramai 105 peserta dari seluruh negera.

Rata-rata peserta adalah para graduan yang baru saja tamat pengajian di peringkat pengajian tinggi dan belum mempunyai pengalaman secara langsung dengan dunia pendidikan. Justeru, kursus ini dapat memberikan pendedahan secara khusus dan kefahaman yang lebih mendalam kepada mereka terutamanya dalam aspek personaliti, perkhidmatan, pengurusan, etika keguruan dan tanggungjawab sebagai seorang guru.

Di samping itu, para peserta berpeluang menimba ilmu tentang teknik pengajaran yang berkesan daripada guru-guru cemerlang dan berpengalaman yang dijemput khas oleh pihak penganjur. Ini sebahagian persediaan satu suntikan baru serta semangat yang tinggi kepada mereka untuk memberikan yang terbaik dalam mendidik para pelajar bagi mencapai tujuan pendidikan yang sebenarnya.

Antara topik-topik yang dibentangkan oleh penceramah adalah Transformasi Minda (Personaliti), Tarbiyah Merentas Kurikulum, Tanggungjawab Sebagai Seorang Guru, Amalan Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan, Pengurusan Bilik Darjah dan Etika Keguruan Serta Dasar Kementerian Pendidikan Malaysia. Selain itu, penceramah juga menekankan tentang aspek penyediaan buku rekod pengajaran dan pengurusan kokurikulum di sekolah.

Sebanyak 14 buah sekolah angkat HALUAN terlibat dalam kursus ini, antaranya adalah Sekolah Rendah Agama Seri Melati (SRATI), Sekolah Rendah Ummi (SeRU), Sekolah Rendah Ibn Khaldun, Sekolah Rendah Ibn Kathir, Sekolah Rendah Islam (SRI) As-Siddiq, Sekolah Rendah Ibnu Abbas (SeRIA), Sekolah Rendah Al Qayyim, Sekolah Rendah Al Hilal, Ma’had atTarbiyah al-Islamiyah (MATRI), Sekolah Menengah Ibn Khaldun (SMIK), Sekolah Menengah Agama Kampung Laut (SMAKL), Ma’had Tahfiz Sains Darul Muttaqin (MASDAR), Sekolah Menengah Agama ‘Ibrah (IBRAH) dan Sekolah Menengah Islam As-Siddiq

Acara penutup kursus telah dirasmikan oleh Yang Bhg. Dr Abdullah Sudin Ab. Rahman selaku Presiden HALUAN. Dalam ucapannya, beliau memberikan satu harapan yang tinggi kepada para peserta agar menjadikan peluang untuk mendidik ini sebagai medan untuk meraih pahala yang berganda daripada Allah SWT. Mereka digesa untuk terus mempertingkatkan kemahiran dan keilmuan diri untuk mendidik para pelajar dengan daya usaha yang terbaik bagi mempersiapkan satu generasi kepimpinan masa hadapan yang mampu membawa satu gagasan perubahan yang selari dengan tuntutan Islam.

Laporan oleh Zaid Mazlan, Setiausaha Biro Pendidikan