fbpx

Literasi Media Rakyat Malaysia Rendah

Literasi Media Rakyat Malaysia Rendah

Literasi Media Rakyat Malaysia Rendah

SERDANG, 6 Dis 2017 – Masyarakat Malaysia perlu mendekati kaedah Literasi Media dengan kemampuan melebihi sekadar pembaca dan penonton sahaja. Mereka harus mampu menterjemah maklumat yang disampaikan dan mampu mengguna kembali media untuk membuat koreksi dalam masyarakat.

Dalam konteks zaman ini, pengguna media Malaysia harus berganjak paradigma dengan pantas untuk mampu menguasai maklumat yang diterima secara digital mahupun bercetak, berkata Timbalan Naib Canselor (Industri & Perhubungan Komuniti) Universiti Putra Malaysia, Prof. Ir. Regunath Varatharajoo. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Awam Berkenaan Literasi Media (MEDLIT) Network di sini. Sebanyak enam buah negara bersama sembilan buah universiti negara berkenaan terlibat di dalam program jaringan ini.

Katanya lagi, MEDLIT berperanan mensuadayakan masyarakat untuk memahami dan mengintepretasi bahan berita dan maklumat, mampu menimbangtara pencarian dan penentuan kesahihan sumber berita, meletakkan tahap integriti dan kebolehpercayaan sesuatu bahan berita yang di terima serta menilai samada sesuatu bahan berita itu telahpun melalui saringan keseimbangan ataupun fairplay.

“Dalam era terkini di mana media cetak seperti suratkhabar sudah semakin tidak mendapat perhatian majoriti masyarakat kita sehinggakan jualan mereka susut hingga sepertiga daripada kebiasaan dengan jualan pengiklanan yang merudum, kita sebagai pengguna berita harus pantas dan bijak menyusun langkah untuk memastikan era media digital ini digarapi oleh masyarakat dengan kaedah yang betul dan professional, bukan songsang mahupun sensasi,”jelas beliau.

Sebelum itu, Pengurus Projek UPM-MEDLIT, Prof. Dr Ezhar Tamam menjelaskan bahawa ini adalah kali pertama Projek MEDLIT ini dibawa ke persada masyarakat setelah sekian lama menjadi buah kajian di pelbagai menara gading serantau. Malaysia diwakili oleh Jabatan Komunikasi UPM. Antara teras utama projek ini adalah untuk mengenalpasti metod untuk mengintepretasi pengurusan dan penggunaan media di dalam dan di luar negara.

“Literasi media untuk masyarakat ini kita bawa keluar daripada bilik kuliah untuk disuadayakan dengan konteks sosio-kebudayaan sesuatu masyarakat itu, dengan mendidik mereka agar celik media dan mampu berinteraksi serta memanfaatkan keberadaan media untuk pembaikan dan perkembangan sesebuah komuniti. Ilmu memainkan peranan penting, begitu juga elemen seperti e-pembelajaraan. Kita mensasarkan golongan muda untuk memainkan peranan dan kami sangat berharap pengamal media dalam semua negara ahli MEDLIT untuk tampil menjayakan projek ini,” jelas beliau dalam pembentangan pembukaannya, Media Literacy as a Media Competence Program for Social Change.

Sesi perkongsian khas telah disampaikan oleh Prof. Thomas Bauer daripada University of Vienna bertajuk Media Literacy – The concept behind the MEDLIT project. Beliau menekankan kepentingan keberanian untuk masyarakat berubah dari segi berkomunikasi dan cara berfikir agar menuju ke arah yang objektif dan lebih memikir serta menimbang sesuatu dengan ilmu.

Selain UPM, universiti terkemuka dunia lain yang turut serta adalah Universitat Wien (Vienna), Open Universiteit (Belanda), Zeppelin University (Germany), Chulalakorn University (Thailand), Srinakharinwirot University (Thailand), Universiti Malaysia Kelantan, Academy of Journalism and Communication (Vietnam), University of Social Sciences and Humanities (Vietnam), dan Wiener Zeitung (Austria). Di acara berkenaan, dua anggota Biro Penerangan HALUAN hadir sebagai tetamu jemputan.


Laporan Ahmad Fatihin Fuzi, Biro Penerangan HALUAN

Prof. Ezhar memberi pengenalan awam berkenaan MEDLIT kepada hadirin
Prof. Regunath merasmikan seminar MEDLIT
Prof. Thomas Bauer, University of Vienna membuat perkongsian