fbpx

Latihan Pengurusan Bencana Seliaan JPAM Perkasa Relawan HALUAN

Latihan Pengurusan Bencana Seliaan JPAM Perkasa Relawan HALUAN

Latihan Pengurusan Bencana Seliaan JPAM Perkasa Relawan HALUAN

BUTTERWORTH, 1 Mac 2014 – Pelbagai peritiswa yang berlaku dewasa ini khususnya peristiwa bencana alam, peperangan dan isu kemanusiaan memerlukan tenaga sukarelawan untuk tampil membantu masyarakat yang memerlukan bantuan. Sifat kesukarelawanan ini tidak mungkin terbit begitu sahaja tanpa niat, minat, ilmu dan kemahiran.

Pelbagai usaha memperkasakan barisan para relawan HALUAN telah dirancang khusus bagi menepati aspirasi motto HALUAN iaitu Berakhlak, Mendidik dan Berbakti. Lantaran itu, satu latihan khusus mengurus dan menangani bencana telah diadakan pada 28 Februari hingga 2 Mac lalu di Hutan Lipur Cherok To’Kun, Bukit Mertajam. Kursus selama tiga hari ini dihadiri seramai 25 relawan khusus untuk misi kemanusiaan dari seluruh negeri di Malaysia.

Kursus ini menggariskan matlamat untuk mendedahkan para peserta kepada latihan dan kesedaran serta meningkatkan motivasi dalam menghadapi sebarang misi kemanusiaan sama ada di dalam mahupun luar negara. Antara objektif program ini ialah mempersiapkan diri sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawab membantu mereka yang ditimpa musibah dengan berbekalkan ilmu dan kemahiran bagi menjalankan tugas. Program ini menjadi titik syarat penting bagi seseorang relawan untuk menyertai sebarang misi kemanusiaan HALUAN dalam dan luar negara.

Ketua Biro Misi Kemanusiaan, Dr Baharuddin Suri dalam slot perkongsian pertama menceritakan pengalaman misi-misi kemanusiaan HALUAN di dalam dan luar negara serta menekankan kepentingan penglibatan generasi muda dalam kerja-kerja misi kemanusiaan ini. Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang ini tidak jemu untuk berkongsi ilmu, kemahiran dan pengalaman untuk menjadi pedoman kepada relawan muda serta relawan veteran.

Kursus anjuran Biro Kebajikan ini buat julung kalinya membuat latihan khusus memadam kebakaran di bawah seliaan sebuah agensi kerajaan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Seberang Perai Utara. Para peserta didedahkan dengan ilmu teori tentang kebakaran dan cara menghadapinya sebelum diatur untuk latihan praktikal. Kesungguhan yang ditunjukkan dalam setiap latihan termasuk latihan kawad kaki dan latihan kawad pili bomba mendapat pujian para jurulatih JPAM.

Para peserta turut dilengkapkan dengan ilmu lapangan, kemahiran dan peralatan semasa bencana yang disampaikan oleh relawan berpengalaman HALUAN, Dr. Roniyuzam Abd Malek. Penyampaian yang penuh dengan aspek teknikal memperlihatkan kepentingan untuk memiliki ilmu dan kemahiran di samping mempunyai minat, disiplin dan pemeliharaan hubungan dengan Allah SWT.

Sesi mendaki bukit pada pagi hari terakhir program memperlihatkan semangat bersatu padu dan saling bekerjasama antara peserta. Menurut saudara Umar Ismail, relawan HALUAN yang pernah menyertai misi ke Gaza, Rohingya dan Syria, kepentingan memelihara niat ikhlas kerana Allah SWT adalah aspek terpenting dalam mendapat redha Allah SWT semasa melakukan kerja-kerja misi kemanusiaan. Asas ini adalah asas utama kesukarelawanan yang cuba diketengahkan oleh HALUAN kepada ahli-ahlinya dan juga para relawan yang terlibat dalam setiap misi kemanusiaan.

Sesi terakhir kursus ini mendedahkan kepada peserta penambahbaikan yang perlu dilakukan pada masa akan datang hasil pembentangan pengalaman dan gerak kerja HALUAN semasa banjir besar yang berlaku di Pahang pada penghujung tahun 2013 yang lalu. Perkongsian yang disampaikan oleh Ketua Biro HALUAN Palestin Cawangan Pahang, Encik Abd Bashir Abd Ghani, berjaya memperlihatkan keadaan sebenar yang berlaku semasa banjir besar di Kuantan dan Pekan. Beliau berharap peningkatan bilangan relawan dapat direalisasikan pada masa akan datang disamping persiapan bencana yang lebih efisien dan efektif.

Kursus Pengurusan Bencana diakhiri dengan ucapan penutup oleh Yang Dipertua HALUAN Cawangan Pulau Pinang, Encik Che Ani Hashim. Menurut beliau, kursus seumpama ini wajar diteruskan secara bersiri bagi menjamin kesediaan para relawan HALUAN untuk disusun atur bagi menggerakan misi kemanusiaan tanpa lengah dan seterusnya menjayakan misi dakwah kepada masyarakat.


Laporan oleh Muhammad ‘Izzat Mohd Ghani, Setiausaha Kerja Biro Kebajikan