fbpx

Krisis Kemanusiaan Gaza Makin Meruncing

Krisis Kemanusiaan Gaza Makin Meruncing

Krisis Kemanusiaan Gaza Makin Meruncing

gaza-01GAZA, 18 Mac 2014 – Disekat di utara oleh Israel dan di selatan oleh orang Islam sendiri iaitu negara Mesir yang tunduk kepada yahudi, Semenanjung Gaza yang terkepung bak kambing kurus tanpa rumput dalam kandang semakin tertekan.

Krisis saraan hidup dan bantuan kemanusiaan di sana semakin kritikal. Pintu-pintu utama yang biasa memasukkan bekalan ubat-ubatan, makanan dan bahan bakar kini sepi dikawali tentera bersenjata berat. Jaringan terowong bawah tanah yang saban tahun menjadi talian hayat kepada penduduk Gaza dimusnahkan hampir semuanya, untuk memastikan wilayah seluas 360km persegi itu menjadi sebuah negara merdeka tetapi terjajah kebuluran.

Ibarat Malaysia disekat pintu masuk darat, laut dan udaranya dan tiada apa yang boleh masuk atau keluar. Dan ketika itu juga, satu dunia hanya dapat mengenalpasti negara di utara iaitu Thailand dan di selatan iaitu Singapura. Malaysia terpadam daripada peta dunia. Sukakah kita begitu? Begitulah hasrat dan cita-cita yahudi Israel dan kuncu-kuncunya termasuklah Amerika, Kesatuan Eropah dan Mesir sendiri. Biar Gaza lenyap dari peta dunia dan biar Palestin menjadi satu nama yang tidak tersebut dalam kalam sejarah.

Apa yang berlaku di Gaza akibat pembisuan dunia adalah suatu krisis tragedi yang amat menyayatkan hati. Namun tiada jaringan televisyen kabel yang ingin memancarkan berita sedih ini ke setiap ceruk rantau dunia. Tiada nilai berita. Gaza dan Palestin adalah bumi pariah yang jengkel disebut-sebut maka usah diulang-ulangi lagi. Biarkan dia begitu saja kerana tidak mendatangkan apa-apa keuntungan komersil jika disebut-sebut.

Namun yang tinggal merempat di Gaza dek kepungan yahudi dan Islam sekularis Mesir itu bukanlah kambing, tetapi manusia. Mereka terdiri daripada lelaki, wanita, kanak-kanak, dan warga emas, sesetengah mereka Kristian Palestin. Tetapi dunia Barat dan Arab pro-sekular tidak mengkategorikan mereka sebagai manusia. Yang mereka hendak ialah tanah barakah warisan anbiya itu kembali kepada yahudi agar sekularis Muslim di sekitarnya akan terus mendapat saraan berbilion daripada yahudi sedunia melalui institusi mereka di Eropah dan Amerika. Mesir sendiri sebuah negara subsidi tajaan mereka, dan mengekalkan pemerintahan sah Islam di sana melalui peti undi dianggap sebagai suatu pengkhianatan terhadap periuk nasi puak-puak tertentu yang sekian lama sudah terbiasa turun-temurun hidup bagaikan dubuk pemakan sisa bangkai.

Menurut wakil mediaHALUAN di Gaza, krisis kemanusiaan di sana semakin meruncing. Ketika musim sejuk hujung tahun lalu, zionis Israel dengan sengaja melepaskan takungan empangannya dengan niat menenggelamkan Gaza biar mati kesemua rakyatnya. Belum lagi bangkit daripada bencana yang disengajakan itu, jerutan bekalan makanan dan air bersih dikenakan hingga ramai yang mati dek lapar dan sakit. Yahudi dan Mesir sama-sama gembira.

50% daripada 1.7 juta rakyat Gaza yang hidup di wilayah idaman Israel ini terpaksa menjadi penganggur. Kadar pengangguran yang tinggi serta kos bahan makanan dan bakar yang sukar diperolehi lagi mahal amat mencengkam rakyat negara merdeka kecil ini.

Sejak zionis Israel lari diusir pejuang mujahidin Islam pada tahu 2006, Gaza tidak pernah aman daripada serangan senjata mahupun sekatan ekonomi dan kemanusiaan. Dan setiap kali relawan HALUAN ke sana untuk menghulurkan bantuan, setiap kali itu juga kesukaran timbul bila mahu memasuki ke dalam Gaza walau oleh rejim tentera Mesir sendiri. Barangan kami bawa digelidah, diimbas dan kami disoal siasat menanyakan motif kami hendak masuk ke situ. Ubat-ubatan dilarang sama sekali daripada dibawa masuk oleh rejim Mesir hinggakan jarum dan alat suntikan glucometer untuk memeriksa kadar gula dalam darah hampir-hampir dirampas seluruhnya. Ini baru Mesir. Belum lagi Israel.

Penarikan keluar pendatang haram yahudi dari Semenanjung Gaza yang amat subur itu menancapkan zon merah serta garis penambah derita nestapa bagi rakyat Palestin. Bermulalah episod penderitaan dan kematian akibat kepungan tersebut, berkata Abdillah Onim wakil mediaHALUAN yang menetap di Gaza. Aktiviti kemasyarakatan disempitkan, ekonomi menjadi lumpuh, pendidikan anak-anak dan remaja terbantut dan pengangguran memuncak.

Bekalan elektrik hampir tiada mengakibatkan ramai mati di hospital walaupun dikatakan bahawa para doktor Palestin adalah yang terpandai di rantau sana walau berbanding dengan doktor yahudi Israel sendiri. Israel dan Mesir memastikan bahawa Gaza bergelap.

Selain itu, operasi penangkapan tanpa sebab serta intimidasi terhadap rakyat Palestin dan pembunuhan bagaikan hak rutin harian pihak tentera Israel hinggakan ia tidak lagi menjadi bahan berita. Sedangkan jika ini berlaku di negara lain, satu dunia bagaikan digerakkan untuk mengutuk dan menghalangnya.

Begitulah malangnya nasib Palestin hinggakan negara-negara Islam sendiri memaling muka mereka daripada membantu. PBB sendiri tahu akan kejahatan serta kezaliman zionis Israel akan tetapi mendiamkan diri dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana ancaman kekuasaan zionis se dunia.

Ramai para janda tidak mendapat pembelaan sewajarnya selepas suami mereka terkorban di medan pertempuran dengan tentera zionis Israel atau akibat runtuhan rumah yang dibedil roket dan bom.

Terdapat lebih daripada 10,000 janda di Gaza dan 23,000 anak-anak yatim yang hidup di wilayah yang masih di kepung Israel ini. Kalau dulu NGO seperti HALUAN dapat menghulurkan bantuan sekurang-kurangnya melalui pintu Rafah di sempadan Gaza dan Mesir, akan tetapi saat ini pintu Rafah telah ditutup selama 40 hari berturut-turut dan bantuan kemanusiaan tidak dibenarkan masuk ke Gaza lagi oleh rejim tentera haram As-Sisi yang telah merampas kuasa daripada presiden pilihan awam, Presiden Mohammed Mursi.

Akibat daripada penutupan pintu Rafah dan penghancuran terowong saluran makanan bawah tanah, para janda dan anak yatim serta keluarga fakir miskin menghadapi risiko tidak menerima bantuan saraan makanan seperti setahun yang lepas.
Dari segi kesihatan pula, tidak sedikit yang mati begitu sahaja kerana terputus bekalan ubatan serta peralatan rawatan di hospital-hospital Gaza. Ramai yang mati di sempadan Israel dan Mesir sendiri kerana dikenakan sekatan birokrasi sebelum diizinkan masuk untuk mendapat rawatan perubatan di seberang sempadan.

Ironisnya, di Tebing Barat sebahagian perawat kepada orang yahudi sendiri adalah doktor-doktor berbangsa Palestin yang merawat dengan penuh profesional dan keprihatinan. Sebaik selepas bertugas dan keluar dari hospital untuk memasuki semula rumah-rumah mereka, para doktor yang berbakti kepada yahudi itu dilayan bagaikan anjing kurap oleh tentera Israel yang mengawal setiap pintu masuk keluar di sana. Hina sungguh bangsa yahudi ini.

“Dua hari lalu saya melakukan kunjungan ke salah satu NGO perubatan bukan milik kerajaan. Bangunannya sangat besar akan tetapi pesakit boleh dikatakan tidak ada. Setelah saya siasati, rupanya tidak ada pesakit bukan kerana rakyat Gaza sihat semuanya akan tetapi mereka terpaksa memilih menderita di rumah kerana tidak cukup kewangan untuk berubat. Sedangkan NGO berkenaan mengenakan harga yang terjangkau tanpa keuntungan,” jelas Abdillah.

Pada dua hari lepas, seorang bayi tiga bulan terkorban akibat hati membengkak. Beliau menderita sakit kekejangan dan susah bernafas tanpa bantuan oksigen, menurut sumber Hospital Syifa di Gaza City. Raut wajah bayi Ahmad Omar Abo Nahl berubah menjadi biru dan pucat kerana peralatan rawatan di Gaza tidak memadai untuk merawatnya maka beliau perlu dirawat di Mesir.

Hospital di Gaza siap berunding dengan pihak imigresen Mesir, tapi usaha mereka gagal kerana ditolak oleh imigresen Mesir di Rafah. Hari berikutnya mereka cuba lagi tetapi tetap tidak dibenarkan masuk ke Mesir.

Dengan demikian, pihak perubatan berpatah balik arah untuk cuba melintasi pintu Erez di sempadan utara Gaza dan Israel, akan tetapi pihak Israel tidak mengizinkan si Ahmad untuk mendapatkan rawatan di Tebing Barat. Ahmad pun meninggal dunia dalam pelukan ibunya. Bayangkanlah apa yang akan dijawab oleh pemerintah Mesir apabila mereka dalam kubur nanti. Kita tidak akan sanggup mendengar raungan mereka.

Kata ibu Ahmad dengan linangan air mata, “saya ingin agar seluruh negara Arab mengetahui, jika mereka tidak mahu mengambil tahu maka Allah SWT Maha Mengetahui”. Kata bapanya sambil menangis: “Saya ingin agar dunia tahu tentang Ahmad dan bayi-bayi lainnya yang mati di hospital kami akibat tidak dapat dirujuk ke hospital di luar Gaza. Di mana tanggungjawab dunia antarabangsa? Jika anda tidak beragama, maka sekurang-kurangnya anda perlu memiliki rasa persaudaraan dan peduli atas kemanusiaan. Jika anda tidak peduli akan urusan negara Arab maka setidak-tidaknya pedulilah akan kemanusiaan”.