fbpx

UTeM dan HALUAN Lancarkan Misi Kemanusiaan Syria

UTeM dan HALUAN Lancarkan Misi Kemanusiaan Syria

UTeM dan HALUAN Lancarkan Misi Kemanusiaan Syria

SEPANG,14 Mac 2014 – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama HALUAN telah menghantar lima orang aktivis, dua orang dari HALUAN dan tiga orang dari UTeM, ke kem-kem pelarian Syria di Jordan bagi menyalurkan bantuan perubatan dan pakaian bagi menghadapi musim sejuk. Umat Islam Syria kini berada dalam kesusahan dan penderitaan akibat penindasan dari rejim Bashar Asad.

Sebelum bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur para aktivis diberi taklimat ringkas oleh Dr. Syed Muhamad Haleem Syed Hassan selaku relawan yang berpengalaman dalam menjalankan misi kemanusiaan peringkat antarabangsa. Taklimat ini adalah prosedur biasa yang akan dilalui oleh para relawan misi kemanusiaan sebagai persediaan awal sebelum berlepas.

Misi pada kali ini diketuai oleh Ketua Biro Misi Kemanusiaan Cawangan Negeri Sembilan, Encik Shahkirin Mohd Shah, Setiausaha Kerja Biro Kemanusiaan, Encik Zulkifli Willi dan tiga orang wakil UTeM iaitu Pengarah Pusat Islam UTeM, Dr. Radzuan Nordin, Timbalan YDP Majlis Perwakilan Pelajar UTeM sesi 2013-2014, Encik Muhammad Zharif Md Zaidon dan Mantan YDP sesi 2010-2011 Encik Ahmad Saufi Ahmad Jawahir.

Ketua misi menggariskan beberapa objektif misi antaranya membawa sumbangan lebih kurang RM100,000 yang disumbangkan oleh pihak UTeM dan orang ramai untuk membeli bahan-bahan bekalan seperti ubat-ubatan dan pakaian musim sejuk untuk dibawa ke kem-kem pelarian Syria di Jordan.

Kerjasama antara UTeM dan HALUAN pada kali ini dilihat dapat mengeratkan lagi hubungan yang telah sedia terjalin sebelum ini. Dalam melakukan kerja-kerja kesukarelawanan ini, kerjasama amat diperlukan bagi memudahkan projek atau program bantuan yang hendak disampaikan tanpa mengira agensi, NGO mahupun institusi pendidikan seperti universiti.

Dengan bantuan yang dihulurkan ini, ia dapat meringankan bebanan, kesusahan dan keperitan hidup yang dialami oleh saudara seaqidah kita. Persoalan yang harus sentiasa bermain di hati kita, adakah kita semua peduli akan nasib saudara-saudara kita yang berada dalam kesusahan seperti di Syria? Semua ini akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Sebagai anggota relawan yang terpilih untuk memikul amanah pada misi kali ini, Encik Ahmad Saufi sangat bersyukur kepada Allah SWT atas pemilihan ini dan beliau berharap agar bantuan ini akan sampai terus kepada mereka yang memerlukan dan tentunya misi kali ini akan mengharumkan UTeM serta secara tidak langsung ia akan memberikan inspirasi kepada universiti lain untuk sama-sama membantu rakyat Syria ini.

Bagi Encik Zarif pula, beliau berharap agar misi ini berjalan dengan lancar dan tercapai objektif seperti yang diharapkan.

Menurut Dr. Radzuan, beliau mengajak umat Islam seluruh dunia bersama-sama UTeM dalam menyumbang apa sahaja yang termampu dan merasai keperitan rakyat Syria di Jordan. Program ini adalah program julung-julung kali diadakan oleh UTeM dalam membantu rakyat Syria di Jordan. Mudah-mudahan, misi ini menjadi langkah permulaan UTeM bersama HALUAN berkerjasama di lapangan dalam menjalankan misi-misi kebajikan ke seluruh dunia dan tidak terhenti setakat ini sahaja malahan dapat di teruskan pada masa-masa mendatang.

Bagi ketua misi pula, harapan beliau agar mangsa kekejaman mendapat keperluan yang sangat mereka dambakan dari misi ini. Berdasarkan maklumat terkini, mereka berada dalam musim sejuk dan antara keperluan mendesak yang sangat dihajati ialah beberapa peralatan bagi menghadapi musim sejuk seperti baju sejuk, alatan pemanas dan ubat-ubatan.

Anggota misi berlepas menuju ke Jordan pada jam 3.00 pagi dari KLIA dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia pada jam 4:30 petang. Semoga perjalanan dan misi mereka ini dapat disempurnakan dengan jayanya dan mereka akan perlu ke tanah air pada 20 Mac dengan selamat.

Masyarakat prihatin yang ingin membantu rakyat Syria melalui misi bantuan HALUAN Malaysia boleh menyalurkannya melalui:

Nama Akaun: Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Berhad


Laporan oleh Encik Muhammad Mus’ab Sa’ari