fbpx

Kem Smart Solat Sg Raba, Perak

Kem Smart Solat Sg Raba, Perak

Kem Smart Solat Sg Raba, Perak

SUNGAI RABA, GERIK, 15 Nov 2018 – HALUAN cawangan Pulau Pinang sekali lagi telah tampil membantu usaha dakwah kepada orang asli di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Negeri Perak dengan membantu melaksanakan program Kem Ibadah Pelajar (Smart Solat) Sekolah RPS Air Banun di sini.

Pihak HALUAN telah dijemput menjayakan program tersebut khusus untuk pelajar asrama tingkatan satu hingga tingkatan tiga sekolah orang asli berkenaan pada 10 dan 11 November lepas di surau dan dewan umum Kampung Sungai Raba.

Program berkenaan dihadiri Tok Batin Ali Bah Pintu dan pengurus program, Ustaz Khalit Hassan selaku Pegawai Agama Orang Asli serta para penduduk kampung berserta kepimpinan HALUAN, Ustaz Mohd Fazlon Abdul Rahim, dan staf SMA Ibrah, Encik Mohd Riduan Rodzey. HALUAN turut membawa tenaga fasilitator terdiri daripada lima pelajar lelaki dan empat perempuan SMA Ibrah dari Tanjung Putus, Seberang Perai. Program ini telah dihadiri 42 peserta terdiri daripada 14 lelaki dan 28 Perempuan.

Menurut Ustaz Khalit, objektif utama program ialah memperbaiki bacaan dalam solat dan berwuduk peserta dan amalan tertib ibadah yang tersusun.

Slot 1 merupakan Latihan Dalam Kumpulan (LDK 1) Teori Solat dan Wuduk yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Fazlon. Program ini dimulai dengan sesi taaruf terlebih dahulu dan pemberian teori solat dan wuduk buat para peserta. Beliau memberikan penyampaian yang amat baik dan mudah difahami oleh mereka.

Pengalaman pensyarah politeknik ini yang berbentuk bersahaja telah memudahkan mereka untuk mempraktikkan amali solat dan wuduk yang diajar.

Sesi riadah diteruskan pada waktu petang dengan aktiviti bersukan. Para pelajar lelaki bersama-sama menyertai sukan sepak takraw di mana ia berpeluang membentuk sifat kerjasama dan kepercayaan antara satu sama lain. Selesai aktiviti riadah, sesi malam diteruskan lagi dengan tazkirah selepas solat maghrib dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK 2). Para pelajar dilatih dengan sifat peka atau fokus semasa mendapat arahan daripada fasilitator. Latihan ini membentuk sifat saling bantu membantu antara satu sama lain.

Pada hari terakhir, para pelajar melibatkan diri dalam Latihan Dalam Kumpulan (LDK 3) dan aktiviti sukaneka. Aktiviti tersebut dijalankan bersama-sama dan kemeriahan dan kegembiraan para pelajar dan fasilitator jelas tampak di wajah masing-masing.

Menurut para fasilitator, pada hari pertama, peserta agak malu-malu namun semakin menonjol kemesraan dan kerjasama mereka selepas itu. Ini kerana aktiviti ini menguji daya ketahanan fizikal dan mental buat semua yang terlibat. Para pelajar bersama-sama melakukan tugasan demi menyiapkan arahan yang telah diberikan. Selesai solat zohor bersama dan aktiviti sukaneka, program diteruskan dengan penyampaian hadiah dan cenderahati buat semua yang terlibat.

Ustaz Khalit selaku pengarah projek melahirkan rasa puas hati di atas bantuan yang dihulurkan secara percuma oleh para relawan HALUAN Pulau Pinang yang datang dari jauh.

“Ini merupakan kali pertama program sebegini dijalankan dengan sedikit peruntukan yang ada dengan hasrat memberi manfaat buat mereka sebelum datangnya cuti sekolah yang panjang nanti. Alhamdulillah, sambutan mereka amat menggalakkan dan saya berpuashati dengan pencapaian 42 peserta kita. Cara persembahan bahan oleh Ustaz Fazlon amat buat saya tertarik kerana cara penyampaiannya membuat para pelajar tertarik dan tidak merasa bosan dengan aktivti yang dijalankan,” kata beliau yang turut dibantu daripada segi logistik dan makan minum oleh Ustaz Mohd Bahari Latif, pegawai agama yang bertugas di Sungai Raba.

“Daripada segi penerimaan dan kefahaman yang disampaikan buat para pelajar saya dapati ia diterima dengan baik dan tiada masalah. Saya juga berharap program seperti ini dapat dijalankan secara berterusan, menguruskan dan membantu pihak kami di (hutan) sini untuk menjalankan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat buat semua pelajar dan penduduk,” kata beliau.

Menurut wakil pelajar SMA Ibrah, Ammar Haziq Abdul Hadi, “bagi saya kita perlu lagi teruskan kursus pemantapan solat ini dan semestinya kami akan datang lagi jika dipanggil untuk menjadi fasilitator. Harapan saya buat peserta adalah supaya mereka dapat memperbaiki lagi ibadah solat dan wuduk, seterusnya dapat mengajar orang lain pula.”

_
Laporan Ridwan Rodzey
HALUAN Pulau Pinang

Sesi taaruf fasilitator bersama peserta RPS Sekolah Sungai Air Banun
Slot teori solat dan wuduk oleh Ustaz Fazlon
Slot Teori Solat dan Wuduk
Praktikal solat dan wuduk
Demonstrasi kaedah pergerakan solat yang betul
Riuh riang – latihan dalam kumpulan sesi pertama (LDK 1). Ustaz Fazlon gencarkan semangat mahu solat kalangan peserta
Latihan dalam kumpulan sesi pertama (LDK 1). Kita kuat bila kawan kita pun kuat
Sesi riadhah antara pelajar SMA Ibrah dan pelajar Sekolah Sungai Banun
Aktiviti sukaneka pelajar lelaki
Aktiviti sukaneka pelajar perempuan
Semangat kesukanan yang ditonjolkan oleh para pelajar Air Banun
Penyampaian hadiah oleh Ustaz Khalit kepada peserta
Pemberian saguhati buat fasilitator SMA Ibrah (dari kanan) Arifah, Munirah, Nazurah dan Amni
Sesi Fotografi penutup bersama fasilitator HALUAN Pulau Pinang, pelajar SMA Ibrah dan peserta Sekolah Air Banun