fbpx

TOP 2018 Siagakan Doktor Muslim

TOP 2018 Siagakan Doktor Muslim

TOP 2018 Siagakan Doktor Muslim

BANGI, 18 Nov 2018 – Biro Kesihatan HALUAN telah menganjurkan bengkel Transition Orientation Programme (TOP) semalam untuk 20 orang peserta terdiri daripada graduan perubatan dan pergigian seluruh negara.

Antara objektif bengkel di Kolej Teknologi Darulnaim Kuala Lumpur, Bangi ini adalah untuk mendedahkan tugas, peranan dan survival sebagai HO dan NDO dalam sistem kesihatan di Malaysia di samping membantu golongan muda profesional muslim di peringkat awal kehidupan dalam aspek peribadi, kerjaya, pengurusan kewangan  dan keluarga.

TOP adalah program tahunan yang bertujuan menghimpun graduan perubatan dan kesihatan muslim bagi mendapat pencerahan awal realiti menempuhi alam kerjaya yang serba mencabar di samping menunaikan amanah Allah sebagai khalifah di muka bumi.

Program ini telah bermula seawal 8.30 pagi dengan sesi mindsetting oleh Prof. Madya Dr. Engr Solehuddin Shuib. Beliau menerangkan tentang tajuk “I’m a Holistic Muslim Doctor”. Program diteruskan dengan slot “Stress Management” yang telah disampaikan oleh pensyarah pelatih Jabatan Psikiatri, UNISZA, Dr. Abdul Hafizh Mohd Zubir. Program dirasmikan oleh Ketuai Biro Kesihatan HALUAN, Dr. Ahmad Zabidin Zakaria. Beliau menegaskan bahawa seorang doktor muslim perlu memiliki ketrampilan dan sikap yang baik dalam berkhidmat kepada masyarakat.

Sesi pagi diakhiri dengan slot berkembar yang memisahkan antara peserta daripada jurusan perubatan dan pergigian. Bagi peserta perubatan, mereka didedahkan tentang perjalanan kerjaya dalam slot yang bertajuk “Career Pathway”, disampaikan oleh Dr. Fatimah Zanirah Nordin, manakala peserta pergigian mendapat taklimat berkenaan dengan New Dental Officer Programme (NDOP) oleh Dr. Nusaibah Mutmainnah Mohamad Azmi.

Pada sesi petang,  forum bertemakan Life As a Houseman yang menampilkan beberapa orang panel yang hebat diadakan. Mereka adalah Ketua Jabatan Ortopedik Hospital Shah Alam, Dr. Basir Towil, Dr. Nurulhuda Ahmad Sani dan Dr. Mohamad Suaidi Mohamad Sazali. Peserta daripada jurusan pergigian menyertai slot Primary Care Survival Kit yang telah disampaikan oleh Dr. Saabirah Khadeejah Mohd Sidek.

Program ini diakhiri dengan slot Financial Programme yang telah disampaikan oleh Prof. Dr. Mohd Zamrin Dimon. Beliau menerangkan tentang keperluan dan kaedah dalam menguruskan kewangan bagi seorang pegawai perubatan. Para peserta daripada jurusan pergigian pula mengikuti slot forum bertajuk Career Pathway menampilkan para panelis terdiri daripada Dr. Maryam Jamilah Mubarak, Dr. Nusaibah Mutmainnah dan Dr. Pengiran Muhammad Badiuzzaman.

Menurut Pengarah Program TOP 2018, Encik Muhammad Mudzaffar Mansor, bengkel tahun ini berjaya membina kefahaman jelas di kalangan bakal doktor muda yang bakal memasuki era kerjaya. “Saya  sangat berbangga dengan penganjuran program sebegini bertujuan mendedahkan kepada para peserta bakal Houseman dan NDO tentang kerjaya masing-masing dan kepentingan memiliki peribadi doktor muslim dalam berkhidmat kepada masyarakat secara optimum. Bengkel ini kami anjurkan secara terbuka; tidak hanya untuk ahli HALUAN sahaja. Saya berharap semua peserta telah mendapat manfaat daripadanya dan bersedia untuk khidmat dengan penuh kefahaman dan dedikasi.”

_
Laporan Dr. Mohd Afham Mohd Ariff

Biro Kesihatan HALUAN