fbpx

Kem IBROH Sediakan Pendidikan Anak-Anak Yang Seimbang

Kem IBROH Sediakan Pendidikan Anak-Anak Yang Seimbang

Kem IBROH Sediakan Pendidikan Anak-Anak Yang Seimbang

SIMPANG RENGGAM, JOHOR, 14 Oktober 2012 – Kesungguhan Biro Pemuda HALUAN Cawangan Johor dalam mendampingi kanak-kanak dan remaja terserlah dalam Kem Ibadah Bestari Anak Soleh Siri 1 (IBROH 1) yang telah diadakan di Masjid Jamek As-Sobirin Kampung Sahari di sini.

Program sepanjang hari yang disertai oleh 16 orang kanak-kanak lelaki berumur dari 10 hingga 13 tahun ini dianjurkan secara kerjasama dengan Biro Pendidikan dan Dakwah Masjid Jamek As-Sobirin. Seramai lima orang fasilitator dari Biro Pemuda HALUAN Cawangan Johor bagi Zon Utara telah mencurahkan bakti menjayakan IBROH 1.

Pihak masjid juga telah memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap program ini, di mana Setiausaha Masjid, Mejar (B) Hj. Mohd Said Jupri, dan Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan dan Dakwah Masjid, En. Hasani Ariffin turut hadir memerhati perjalanan program.

Para peserta telah melalui pelbagai aktiviti yang disusun dengan seimbang bagi merangkumi aspek silaturahim, pengukuhan akidah, akhlak mulia dan juga kecergasan fizikal. Antara lain, mereka telah bersama-sama mengikuti program gotong-royong membersihkan masjid bagi menanam akhlak mulia dan meningkatkan kecergasan fizikal. Mereka juga disajikan dengan tayangan-tayangan video tarbawi dan montaj bagi memantapkan kefahaman tentang sejarah Islam. Selain daripada mengikuti aktiviti seharian seperti solat dan makan secara berjamaah, kanak-kanak ini juga telah bersaing dalam pertandingan memasak. Kemuncaknya, satu sesi perkongsian pintar bersama ibu bapa peserta turut diadakan.

Dalam komentar beliau terhadap usaha menjayakan IBROH 1 ini, Mejar (B) Hj Mohd Said menaruh harapan supaya setiap ibubapa memberikan anak-anak mereka pendidikan, perhatian, kasih-sayang, hikmah dan pengetahuan yang betul agar tahap perkembangan mereka seimbang dari segi fizikal, mental dan emosi. “Justeru program seumpama ini sangat perlu diadakan, dan saya berharap akan ada lagi siri kedua dan seterusnya,” ujar beliau.

IBROH 1 telah berjaya mendekatkan relawan Pemuda HALUAN dengan anak-anak kariah dan menyediakan medan untuk mereka terus mendidik dan berbakti kepada masyarakat. Anak-anak kariah Masjid Jamek As-Sobirin akan menanti khidmat mereka di masa akan datang, bak kata salah seorang peserta, “Pakcik, bila lagi nak buat siri kedua pula? Seronok la kem ni!”


Laporan oleh Khairy Jaafar, MediaHALUAN Cawangan Johor.