fbpx

Pemuda HALUAN Tingkat Kemahiran Mengurus Acara

Pemuda HALUAN Tingkat Kemahiran Mengurus Acara

Pemuda HALUAN Tingkat Kemahiran Mengurus Acara

SHAH ALAM, 14 Oktober 2012 — Sesuatu aktiviti yang dirancang dan diurus dengan cekap akan membuahkan hasil yang dihajati. Sebaliknya aktiviti yang dilakukan tanpa perancangan rapi dan kerjasama yang erat sering mengecewakan penganjurnya. Menyedari pentingnya kemahiran mengurus aktiviti, Biro Pemuda HALUAN telah menganjurkan bengkel Pengurusan Acara (Event Management) di Dewan Anjung Ilmu, Jalan Kebun, di sini.

Bengkel selama dua hari yang berakhir pada hari ini telah disertai oleh 16 orang wakil Biro Pemuda HALUAN. Turut serta adalah Naib Ketua Biro Pemuda HALUAN, Hasri Ahmad.

Sebanyak empat kertas kerja dalam bidang pengurusan acara telah dibincangkan, menyentuh aspek pengurusan dari perspektif Islam, kepentingan komunikasi yang baik dalam sesuatu acara, pengurusan acara dan juga bagaimana mengurus risiko dan menyelesaikan masalah ketika sesuatu acara sedang berlangsung. Semua kertas kerja dan sesi perbincangan telah dikendalikan oleh jurulatih Biro Latihan HALUAN, Hj Mohamad Ismail Ibrahim. Beliau merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam bidang pengurusan acara dan risiko.

Mengambil contoh daripada Rasulullah SAW, Hj Mohamad Ismail membangkitkan kesedaran dan keinsafan para peserta tentang bagaimana Baginda dan para sahabat membuat perancangan yang sangat rapi dalam setiap urusan kehidupan dan dakwah mereka. Beliau juga melatih para peserta untuk berkomunikasi secara efektif dan berfikir secara berkumpulan dalam menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi. “Pengurusan acara memerlukan fokus dan komitmen sepanjang masa sehinggalah aktiviti yang dirancang terlaksana sepenuhnya,” kata beliau.

Di akhir sesi bengkel tersebut, Hj Mohamad Ismail menasihati para peserta supaya menjauhi sifat-sifat buruk dan sentiasa memperbaiki kelemahan diri. “Seseorang Muslim itu tidak mempunyai sebarang kebimbangan dalam kehidupannya, kecuali sekiranya amalan beliau tidak diterima oleh Allah SWT sebagai amal soleh,” nasihat beliau.

Semoga segala ilmu dan pengalaman yang ditimba sepanjang dua hari ini dapat meningkatkan lagi hasil kerja HALUAN dalam mendidik dan berbakti kepada masyarakat.

Sementara itu, Biro Pemuda HALUAN akan menganjurkan Konvensyen Belia Relawan HALUAN pada 3 dan 4 November nanti. Maklumat lanjut boleh dicapai di http://kobar.haluan.org.my/.


Laporan Mohd Mus’ab Saari.