fbpx

HALUANITA Pulau Pinang Anjur Wanita Jadi Sihat

HALUANITA Pulau Pinang Anjur Wanita Jadi Sihat

HALUANITA Pulau Pinang Anjur Wanita Jadi Sihat

BUKIT MERTAJAM, 30 Nov 2012 – Wanita harus menjaga kesihatan diri untuk memupuk keharmonian rumahtangga dan ini boleh dicapai dengan senaman yang cukup serta cara pemakanan yang seimbang lagi menyihatkan.

Untuk mengajak wanita pelbagai umur agar berganjak ke arah kehidupan yang lebih sihat, HALUANITA Pulau Pinang telah mengambil inisiatif dengan melancarkan Program Jom Sihat Bersama HALUANITA Pulau Pinang pada 24 November lalu di Mengkuang Dam di sini, suatu kawasan riadhah yang sangat popular. Bermula daripada 7.30 hingga 11.30 pagi, program yang disertai lebih 30 orang ahli ini melibatkan senaman pagi, ceramah kesihatan dan Pertandingan Menyediakan Menu Sihat (3 dalam 1).

“Objektif program ini ialah untuk mengeratkan ukhuwah sesama ahli HALUANITA negeri, memberi pendedahan ilmu tentang menu sihat serta beriadah bersama,” berkata penyelaras Biro Riadhah HALUANITA Pulau Pinang, Cikgu Arifah Abdul Kadir.

Untuk itu, pertandingan menyediakan menu sihat telah dibukakan kepada semua ibu-ibu dan pemudi mengikut daerah masing-masing. Menu yang perlu disediakan ialah sandwich, jus dan gubahan buah-buahan.

Program tersebut diserikan oleh seorang penceramah iaitu Dr. Faridah Adnan dan tiga orang pengadil iaitu Encik Othman, M. Anis Abdullah dan Dr Faridah sendiri. Lima kumpulan telah menyertai pertandingan ini. Tempat pertama dimenangi oleh kumpulan Nisa’ yang terdiri daripada Fathilah Said, Hafizah Haron, Jamilah Bee dan Solehah Hassan. Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Mawaddah yang terdiri daripada Rafidzah Hanum, Marhani dan Norlela, manakala tempat ketiga jatuh kepada kumpulan Humaira yang disertai Norazlina Ishak dan Fatimah Ishak. Dua kumpulan lagi mendapat saguhati iaitu kumpulan Asma’ dan Rumaisa’.

Program sulung ini mendapat sambutan yang baik dan semua peserta berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Semoga Allah menerima amal kita sebagai amalan yang soleh.