fbpx

Kerjasama HALUAN Malaysia dan SAHABAT Terjalin

Kerjasama HALUAN Malaysia dan SAHABAT Terjalin

Kerjasama HALUAN Malaysia dan SAHABAT Terjalin

KOTA KINABALU, 9 Dis 2012 – HALUAN Malaysia telah mempereratkan kerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita (SAHABAT) Kota Kinabalu dengan menganjurkan Seminar Kepimpinan khusus untuk ahli-ahli SAHABAT.

Seminar tersebut bertujuan memberikan kefahaman Islam yang sebenar kepada ahli-ahli SAHABAT yang merupakan saudara baru Islam (muallaf) sesuai dengan tema program iaitu “Menjana Modal Insani”. Seramai 92 orang ahli SAHABAT telah menyertainya yang sebilangan besar adalah wanita.

SAHABAT merupakan satu badan bukan kerajaan yang ditubuhkan sebagai platform menjaga kebajikan ahli-ahlinya. Ia juga berperanan dalam melaksanakan program-program memantapkan kefahaman asas Islam, seperti mengajarkan Al-Quran dan solat serta ibadah lain melalui kelas mingguan yang telah disusun oleh pertubuhan ini, jelas Presiden SAHABAT, Encik Abu Bakar Ongkosin dalam ucapan alu-aluan beliau.

Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada HALUAN Malaysia yang telah mengatur program tersebut. Beliau juga merasa terharu kerana ini julung-julung kalinya program ini diadakan khusus tertumpu kepada ahli-ahli SAHABAT itu sendiri.

Program ini sarat dengan pengisian ilmu melalui pembentangan kertas kerja yang disampaikan oleh penceramah jemputan seperti, Ustaz Dr. Akram Bahaman (Universiti Utara Malaysia, UUM), Ustaz Haji Salleh Saad (Pegawai Penyelaras JAKIM), dan Ustaz Mohd Khusyairei Marzuki (UiTM Kota Bharu).

Ucaptama program telah disampaikan oleh Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, Presiden HALUAN Malaysia. Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada SAHABAT kerana telah memberi peluang dan kepercayaan kepada HALUAN Malaysia bagi melaksanakan program seumpama ini. Beliau juga berharap agar hubungan baik dan kerjasama antara HALUAN Malaysia dan SAHABAT akan berterusan.

Program ini telah menerima respon yang baik daripada kalangan peserta. Bagi mereka ia merupakan peluang dan ruang yang sangat bermanfaat bagi menambahkan ilmu pengetahuan khususnya dalam mendalami ilmu agama Islam. Program tersebut dijayakan oleh Kelab Siswa HALUAN Negeri Sabah yang diketuai oleh Encik Jumat Mat Salleh.


Laporan oleh Jumat Mat Salleh