fbpx

Memperkasakan bekalan menempuh cabaran alam kerjaya di HAK ’12

Memperkasakan bekalan menempuh cabaran alam kerjaya di HAK ’12

Memperkasakan bekalan menempuh cabaran alam kerjaya di HAK ’12

SHAH ALAM, 8 Julai – Menyedari keperluan persediaan para pendakwah muda selepas alam kampus terutamanya transformasi ke alam kerjaya dan alam rumahtangga, seramai 56 orang peserta terdiri daripada penuntut tahun akhir dan graduan yang baru memasuki alam kerjaya telah menyertai program Hijrah Alam Kerjaya 2012 (HAK’12) pada 7 hingga 8 Julai yang lalu bertempat di Anjung Ilmu, Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor. Program 2 hari 1 malam ini telah dianjurkan dengan jayanya dengan kerjasama di antara Biro Pemuda HALUAN, HALUANITA dan HALUANSiswa.

Sesuai dengan tema program ini iaitu “Memperkasakan Pemuda, Membangunkan Ummah” program ini menekankan beberapa aspek penting melalui objektifnya iaitu meneruskan proses dakwah dan tarbiyah di alam kerjaya, melahirkan pemuda rabbani yang menjadi contoh yang baik kepada masyarakat dan memperkasakan pemuda dengan ilmu dan kemahiran yang berkaitan. 3 fokus utama ditekankan dalam program ini iaitu kepentingan penerusan dakwah dan tarbiyah selepas alam kampus, kemahiran yang diperlukan di alam kerjaya dan pembentukan rumahtangga dakwah.

Program dimulakan dengan ucaptama yang disampaikan oleh Hj Zainusham bin Yusuf, Naib YDP HALUAN Selangor. Beliau telah menegaskan bahawa keperluan penerusan dan kesinambungan proses tarbiyah selepas tamat pengajian di alam kampus melalui pengalaman bersama generasi awal dalam dakwah dan tarbiyah.

Peserta program, Sdr Muhammad Radhi Abdul Rahman, seorang juruteknik Sepang Aircraft Engineering berkata, “Program ini telah memberi banyak input persediaan bagi pemuda dalam membina bekalan menempuh alam kerjaya dan rumahtangga dakwah”.

Syazwani binti Yusof, mahasiswi UPM jurusan Sains Pertanian berkata, “Program ini telah membuka minda peserta mengenai cabaran dan halangan di alam kerjaya dan rumahtangga. Ia memberi panduan untuk para pendakwah muda untuk bersiap sedia dengan bekalan agar mampu menghadapai pelbagai ujian yang mendatang.”

Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah sangat kagum dengan pemuda yang tiada keruntuhan akhlak pada dirinya.” Hadits Riwayat Ahmad dan Abu Ya’la. Abdullah Nasih ‘Ulwan pernah menyebut, “Di sebalik keagungan ilmu dan ketamadunan Islam, maka kita dapati generasi pemudalah yang dianggap telah memainkan peranan yang begitu hebat, sehinggakan keagungan Islam tercapai di tangan mereka. Niat mereka sungguh suci. Ketabahan hati mereka amat mengkagumkan sekali. Mereka tidak tertipu dengan kemewahan yang mereka perolehi di dunia ini. Mereka terus berusaha, bekerja dan berJihad untuk berdakwah ke jalan Allah, sehinggalah tercapai segala hasrat dan cita-cita mereka yang suci murni itu.”


Laporan oleh: Abu ‘Ubaidah Sharudin