fbpx

Di Ambang Ramadhan, Muslim Rohingya Berhadapan Dengan Maut

Di Ambang Ramadhan, Muslim Rohingya Berhadapan Dengan Maut

Di Ambang Ramadhan, Muslim Rohingya Berhadapan Dengan Maut

bARAKAN, MYANMAR, 14 Julai 2012 — Rusuhan dan pembunuhan susulan di wilayah Arakan di Myanmar yang meletus sejak 3 Jun lalu masih berterusan. Agensi-agensi bantuan kemanusiaan memberi amaran akan berlakunya tragedi kemanusiaan sekiranya masyarakat dunia tidak menyekat tindakan pihak berkuasa Myanmar meminggir puluhan ribu mangsa keganasan iaitu etnik Rohingya daripada dunia luar.

Keadaan masyarakat Rohingya yang terperangkap di barat Myanmar itu dikelaskan oleh petugas-petugas kemanusiaan sebagai sebuah penjara terbuka. Semalam, Jumaat 13 Julai, seramai 10 petugas bantuan kemanusiaan termasuk lima orang petugas PBB ditangkap oleh pihak berkuasa Myanmar. Tindakan ini menyebabkan usaha bantuan kemanusiaan tidak dapat digerakkan walaupun mangsa-mangsa sedang berhadapan dengan krisis makanan dan kesihatan yang meruncing.

Masyarakat Rohingya berhadapan dengan kelaparan akibat sekatan darurat yang dikenakan ekoran rusuhan tersebut. Menurut wakil NGO Action Against Hunger, Tarik Kadir, mangsa-mangsa kini sedang berhadapan dengan masalah kesihatan dan malnutrisi. “Masalah malnutrisi sudahpun melanda. Kami jangka ia akan meningkat secara mendadak jika bantuan kemanusiaan tidak diberikan secara terus kepada mereka dengan bebas tanpa bertangguh lagi. Petugas-petugas kemanusiaan perlukan jaminan keselamatan,” kata beliau. NGO tersebut terpaksa meninggalkan wilayah utara Arakan itu, di mana terdapat 800,000 Rohingya sedang berhadapan dengan masalah malnutrisi. Dengan kekurangan akses kepada rawatan perubatan, keadaan mereka akan bertambah buruk.

“Dengan musim hujan yang bakal tiba, dalam berhadapan dengan semua masalah ini (keadaan masyarakat Rohingya dan kekangan yang dihadapi oleh NGO), kita tidak perlu sebarang perkiraan, tunggulah ketibaan krisis kemanusiaan”, sambung Tarik Kadir.

Timbalan Pengarah Human Rights Watch (HRW) bagi Asia, Elaine Pearson yang baharu pulang dari lawatan ke Arakan turut mendakwa berlakunya tangkapan beramai-ramai oleh pihak berkuasa Myanmar ke atas masyarakat Rohingya. “Polis, askar dan polis sempadan menembak dan membunuh Rohingya, manakala mereka yang ditangkap dipisahkan dari dunia luar,” kata beliau sebagaimana dipetik oleh akhbar The Guardian UK.

Akhbar The Guardian UK turut melaporkan bahawa seorang penduduk di Maungdaw di utara Arakan melihat sekumpulan lelaki Rohinhya, termasuk kanak-kanak berumur 12 tahun didera di sebuah stesen polis. Setelah menjalani interogasi berkaitan serangan dan rusuhan di bandar tersebut, pihak polis menyerahkan mereka kepada pemuda-pemuda Arakan yang berada di stesen berkenaan. “Saya lihat pemuda-pemuda Arakan membakar kemaluan seorang tua menggunakan cerut (rokok) dan memukul pemuda Islam yang ditangkap itu dengan batang besi dan menjolok dubur mereka menggunakan batang kayu”.

Sebuah lagi NGO, Arakan Project, mendakwa sekumpulan sami bertindak menyekat bantuan makanan daripada dibawa masuk ke kota Sittwe. Wakilnya, Chris Lewa berkata laporan kejadian serupa turut berlaku di tempat-tempat lain.

Statistik sebenar tentang kemalangan manusia akibat tragedi ini sukar untuk dikumpul kerana pihak berkuasa Myanmar menghalang pemerhati luar daripada memasuki wilayan utara Arakan, tempat masyarakat Rohingya berteduh. “Kita bimbang tidakan ini adalah usaha untuk menyekat Rohingya daripada makanan dan menyebabkan kebuluran, seterusnya menyebabkan mereka berhijrah lari keluar,” kata Lewa.

Bayangkanlah bagaimana masyarakat Rohingya berhadapan dengan tindakan zalim pihak pemerintah sejak tahun 1942 lagi. Ramadhan yang bakal menjelang disambut gembira oleh kita di Malaysia, namun mereka mungkin tidak sempat untuk memikirkan perkara lain selain menjaga survival akidah dan keluarga mereka. Yang pasti, kita sebagai seorang yang beriman tidak boleh berdiam diri. Sekurang-kurangnya hulurkanlah munajat dan doa ikhlas sepanjang Ramadhan, semoga Allah mengampunkan kealpaan kita dan memberi kedamaian kepada masyarakat Rohingya, saudara seakidah kita.

Sebarang derma dan sumbangan untuk membantu masyarakat Rohingya ini bolehlah disalurkan melalui:

“Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN” di Maybank bernombor 5622 6350 2611.


Sumber disusun oleh Nizam Awang daripada Majlis Ulama Rohingya dan The Guardian UK.