fbpx

HALUAN Jalin Persefahaman Dengan Dua Universiti Turki

HALUAN Jalin Persefahaman Dengan Dua Universiti Turki

HALUAN Jalin Persefahaman Dengan Dua Universiti Turki

ISTANBUL, 23 Okt 2015 — HALUAN terus melangkah maju dalam usaha berbakti kepada masyarakat, kali ini khusus untuk golongan siswazah dengan termeterainya persefahaman dengan institusi pendidikan tinggi di Turki.

Perjanjian persefahaman dengan dua buah universiti di Istanbul itu, iaitu Marmara Üniversitesi dan Fatih Sultan Mehmet Vakıf Üniversitesi, akan sekaligus meluaskan peranan HALUAN untuk membantu pembangunan mahasiswa dan kakitangan serta bekerjasama dalam bidang pendidikan.

Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman mengetuai satu delegasi kunjungan hormat ke Marmara Üniversitesi di Kadıköy dan disambut oleh Timbalan Rektor, Prof. Dr. Recep Bozlagan. Antara lain, mereka berbincang tentang program membantu pelajar dalam pencapaian akademik dan juga pembinaan jati diri serta kepimpinan melalui kerjasama program kesukarelawanan. Korporat, akademia, mahasiswa serta masyarakat umum Turki sangat sinonim dengan sifat kesukarelawanan yang tinggi hingga mampu bergerak ke seluruh kancah dunia.

Marmara Üniversitesi yang tertubuh pada tahun 1883 merupakan salah satu institusi pendidikan tinggi tertua dan terbesar di Turki.

Dokumen Persefahaman telah ditandatangai oleh Dr Abdullah Sudin dan Rektor Universiti Marmara, Prof.Dr. M. Emin ARAT.

Terdahulu, delegasi HALUAN telah juga mengadakan kunjungan hormat ke Fatih Sultan Mehmet Vakıf Üniversitesi di Topkapi. Institusi pendidikan yang mempunyai enam kampus di Istanbul ini juga telah menandatangani persefahaman serupa dengan HALUAN. Adalah difahamkan bahawa HALUAN telah terkehadapan di kalangan NGO Malaysia dalam mengorak langkah kerjasama sedemikian di Turki.

Semoga kehadiran HALUAN secara lebih proaktif di Turki akan dapat melahirkan graduan yang cemerlang dalam akademik dan bersedia untuk berbakti kepada tanah air satu hari nanti.


Laporan Mohd Nizam Awang, Biro Penerangan HALUAN, Ankara, Turki.