fbpx

Kedutaan Malaysia di Turki Sanjung Peranan HALUAN

Kedutaan Malaysia di Turki Sanjung Peranan HALUAN

Kedutaan Malaysia di Turki Sanjung Peranan HALUAN

ANKARA, 22 Okt 2015 — Kedutaan Malaysia di sini amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan HALUAN dalam program kebajikan dan pembangunan pelajar Malaysia di Turki.

Dalam satu kunjungan hormat ke pejabat kedutaan di sini diketuai oleh Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman, Duta Malaysia Dato’ Amran Mohamed Zin melahirkan rasa besar hati untuk bekerjasama dalam program latihan kesukarelawanan untuk para pelajar, agar masa terluang mereka sepanjang berada di Turki dapat dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat.

Kerjasama HALUAN dengan beberapa NGO, yayasan wakaf dan institusi pendidikan serta Persatuan Pelajar Antarabangsa di Turki selama ini akan dapat memberi peluang keemasan kepada para siswazah Malaysia untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam pengurusan dan kepimpinan, khususnya dalam kerja amal kemasyarakatan dan bantuan kemanusiaan.

Menurut Dr Abdullah Sudin, program seumpama itu telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas bagi pelajar Malaysia di Jordan. “Kita lihat masyarakat Turki begitu terkehadapan dalam hal kebajikan dan kemasyarakatan, sehingga ke peringkat antarabangsa. Dengan bimbingan yang diberikan melalui kerjasama erat HALUAN dan pihak kedutaan, siswazah diharapkan akan dapat membina jati diri mereka, dan pada masa yang sama mengelakkan risiko atau gejala negatif yang ada di sekeliling mereka,” kata Dr Abdullah Sudin. “Di samping memberi perhatian sepenuhnya terhadap kecemerlangan akademik, para pelajar sewajarnya menimba pengalaman dan kemahiran hidup sebagai persiapan menjadi pemimpin di masa hadapan.”

Kerjasama di antara HALUAN dan pihak kedutaan juga akan melibatkan hal berkaitan kebajikan pelajar Malaysia di sana.


Laporan Mohd Nizam, Biro Penerangan HALUAN, Ankara, Turki.