fbpx

HALUAN Buka Peluang Siswazah Latih Kesukarelawanan Di Turki

HALUAN Buka Peluang Siswazah Latih Kesukarelawanan Di Turki

HALUAN Buka Peluang Siswazah Latih Kesukarelawanan Di Turki

ÌSTANBUL, 23 Okt 2015 — Siswazah diseru merebut sepenuhnya kesempatan untuk mempelajari selok-belok seni kesukarelawanan terutama oleh masyarakat Turki yang rela menyantuni lebih 100 buah negara yang rakyat mereka ditimpa derita. Ini agar mereka kelak akan kembali ke tanah air sebagai pemimpin yang boleh menyantuni masyarakat dan memberikan sumbangan bakti secara terlatih.

Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman, dalam ucapan aluannya di majlis ramah mesra bersama pelajar Malaysia di Istanbul hari ini menasihati mereka supaya sentiasa menumpukan perhatian dan mengejar kecemerlangan akademik dan pada masa yang sama, peka kepada kerja kesukarelawanan agar dapat memahami dan menyelami kemahiran khusus yang perlu ada kepada amilin Islam semasa di lapangan. Mereka juga perlu peka dengan apa yang berlaku di dalam masyarakat dunia. Turki yang pernah menjadi tonggak kepimimpin dunia Islam yang hebat di era pemerintahan Uthmaniah masih mewarisi kehebatan dalam hal kepimpinan dan kemanusiaan, jelas beliau.

Menurut Dr Abdulah Sudin, HALUAN dengan itu telah menjalinkan kerjasama rasmi dengan IHH Humanitarian Relief Foundation (IHH), sebuah NGO antarabangsa Turki yang sangat terkenal yang berpengkalan di Istanbul, untuk memberi latihan dan penglibatan secara amali di lapangan kepada pelajar Malaysia di Turki.

“Dengan kepakaran dan pengalaman mereka di lebih 100 buah negara, IHH akan melatih peserta dalam hal pengurusan dan pelbagai kaedah dalam menyantuni mereka yang ditimpa bencana atau berhadapan dengan masalah, dengan berteraskan kepada tauhid,” jelas Dr Abdullah Sudin.

Menurut beliau lagi, latihan tersebut akan bermula pada awal tahun 2016. Terdapat banyak aktiviti bantuan kemanusiaan di Turki yang boleh dilibati oleh peserta, terutamanya dalam menyantuni anak-anak yatim dan pelarian.

Terdahulu, Dr Abdullah Sudin bersama delegasi HALUAN telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Kedutaan Malaysia di Ankara. Kedua-dua belah pihak bertukar pandangan dan telah bersetuju untuk bergandingan dalam menjayakan program kesukarelawanan ini untuk meningkatkan lagi kemahiran pelajar Malaysia di sana.

“Masyarakat kita dan umat Islam umumnya masih lemah dalam bidang pengurusan, ekonomi, sosial, politik dan juga akhlak. Oleh itu kita perlu melahirkan pemimpin masa hadapan yang sedar serta tidak alpa terhadap tauhid, agar kejayaan mereka akan dapat dikongsikan oleh masyarakat. Mereka tidak hanya pulang ke tanah air sebagai orang yang berjaya mencapai cita-cita akademik, tetapi juga boleh memberi sumbangan ide dan tenaga, empati dengan masalah masyarakat dan memimpin mereka kembali ke arah kebaikan yang mengEsakan Allah SWT,” kata beliau memberi nasihat. “Umat yang terbaik adalah mereka yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.”

Seramai 25 orang pelajar Malaysia telah hadir di majlis yang diadakan di ibu pejabat IHH itu. Turut hadir adalah Timbalan Presiden HALUAN, Profesor Emeritus Dato’ Dr Abu Azam Mohd Yasin; Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, Dr Baharudin Suri, Ketua Biro Relawan, Hasri Ahmad dan beberapa orang ahli Exco HALUAN yang lain.


Laporan Mohd Nizam Awang, Biro Penerangan HALUAN, Istanbul, Turki.