fbpx

UTeM Sumbang Untuk Rohingya

UTeM Sumbang Untuk Rohingya

UTeM Sumbang Untuk Rohingya

MELAKA, 2 Julai 2015 – Penderitaan dan penindasan yang dihadapi oleh etnik Rohingya di negara mereka sendiri telah menjadi perhatian ramai pihak di Malaysia. Penghapusan etnik oleh pelampau Buddha di Myanmar itu mendapat perhatian dunia.

Dalam satu Majlis Iftar anjuran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Masjid Sayyidina Abu Bakar, sumbangan buat Tabung Rohingya berjumlah RM10,000 telah diserahkan kepada Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN). Tabung berkenaan diserahkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Ahmad Zaidee Laidin kepada Setiausaha Agung HALUAN, Sr. Mohd Sabbri Md Yudin dan disaksikan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata tabung berkenaan telah dilancarkan tiga minggu lepas dan ia adalah sumbangan kakitangan dan pelajar universiti itu. “Sumbangan ini adalah tanda keprihatinan warga UTeM dalam usaha meringankan beban dan kesengsaraan yang ditanggung pelarian Rohingya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar UTeM di sini.

“Kami memulakan kempen tersebut atas kesedaran bahawa etnik Rohingya sedang ditindas dan berada dalam keadaan sengsara. Maka kami memulakan kutipan ini dengan mensasarkan semua warga kerja UTEM, para pensyarah serta pelajar,” menurut Prof Shahrin.

“Sebagai sebuah NGO berdaftar yang aktif menyantuni masyarakat tertindas dan ditimpa bencana, HALUAN berterima kasih di atas komitmen yang diberikan oleh Universiti Teknikal Melaka daripada aspek promosi dan kutipan dana. Kami sentiasa berharap lebih banyak aktiviti bersama dapat kita jalankan dengan pihak universiti ini pada masa akan datang. Semoga lebih banyak pihak akan dapat mencontohi usaha murni yang dijalankan oleh UTEM ini,” berkata Sr. Mohd Sabbri.


Laporan oleh Muhammad Shakir Sabarudin, Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan