fbpx

HALUAN PJ Iftar Bersama

HALUAN PJ Iftar Bersama

HALUAN PJ Iftar Bersama

PETALING JAYA, 1 Julai 2015 – Ukhwah bertaut bila kerap berjumpa. Begitulah resamnya di Petaling Jaya bila setiap kali Ramadan tiba, ahli-ahli HALUAN daerah ini akan bertemu sahabat dan sahibah mereka dalam majlis iftar perdana mereka berserta ahli keluarga masing-masing.

Iftar kali ini berlangsung pada sebelah petang 20 Jun lepas di Pejabat HALUAN Unit PJ di Subang Perdana. Hampir 40 orang ahli HALUAN PJ termasuk ahli keluarga mereka menghadiri iftar ini yang turut disertai oleh beberapa mahasiswa Universiti Malaya dan UiTM Sungai Buloh.

Program bermula dengan sesi bermukhalatah beramai-ramai sebelum beriftar. Di samping itu, ahli juga bertadarus al-Quran sesama mereka. Lewat petang, para peserta membantu mempersiapkan tempat dan makanan untuk iftar dan musolla. Iftar bermula dengan yang ringan dahulu iaitu kurma, kuih muih, minuman dan bubur lambuk Pantai Timur.

Selesai bersolat maghrib berjamaah, barulah hidangan berat disajikan. Dalam tazkirahnya, Pengerusi HALUAN Unit PJ Encik Azman Mohd. Ali berpesan agar ahli menggencarkan pelbagai ibadah untuk diri sendiri sepanjang Ramadhan ini. Katanya Ramadhan ibarat sebuah depot khas yang Allah sediakan untuk tiap ahli masuk memeriksa hati naluri masing-masing, dan memperbaiki mana yang tidak elok agar perjalanan menyelusuri 11 bulan di hadapan akan lancar dan diberkati Allah setelah Ramadhan memperbetulkannya. Para ahli pun melaksanakan solat isyak dan tarawih sebelum pulang ke rumah masing-masing dengan kepuasan ukhwah yang dipupuk.

Laporan Nurul Shahridah Md Saleh, Pejabat HALUAN Unit PJ