fbpx

Anak Yatim & Miskin Di Bulan Ramadhan

Anak Yatim & Miskin Di Bulan Ramadhan

Anak Yatim & Miskin Di Bulan Ramadhan

SHAH ALAM, 6 Jul 2015 – Kebajikan untuk mereka yang tidak berkemampuan jangan dilupakan walaupun dalam kesibukan kita berkerja dan beribadah di bulan Ramadan ini. Janji barakah Allah di bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat ini mestilah direbut dengan membuat sebanyak mungkin amal memanfaatkan golongan yang kurang upaya.

Justeru, Biro Kebajikan HALUAN berganding bahu dengan Koperasi Perumahan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Berhad (KOPLIT) dan Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) cawangan Kuala Lumpur dalam melaksanakan projek amal yang bermanfaat demi sekumpulan anak-anak yatim dan fakir miskin. Anak-anak yatim yang menghuni Kompleks HALUAN Penyayang (KHP) diraikan dalam dua majlis berbeza.

‘Projek Aidilfitri untuk KHP’ merupakan inisiatif yang dilaksanakan bagi meraih penajaan pembelian baju raya bagi anak-anak yatim dan fakir miskin di situ. Menurut Setiausaha Kerja Biro Kebajikan HALUAN, Encik Mohd ‘Izzat Mohd Ghani, sasaran kutipan yang ingin diraih adalah sebanyak RM5,000 bagi menjayakan projek tersebut.

“Kita menganggarkan perbelanjaan baju raya bagi setiap penghuni KHP lelaki dan perempuan adalah RM150 seorang. Jumlah ini bergantung kepada sumbangan yang diterima,” tambahnya lagi.

Dengan jangka masa perancangan dan perlaksaan hanya satu minggu, sumbangan yang diterima telah melebihi daripada sasaran. Oleh hal yang demikian pada 5 Julai, seluruh penghuni asrama KHP telah membeli-belah baju raya di pasaraya Mydin Mall di Subang Jaya ditemani sekumpulan staf HALUAN bersama staf KHP. Jelas terpancar keceriaan di wajah anak-anak KHP ini sepanjang projek itu berlangsung. Mereka turut mendapat layanan khas daripada petugas Mydin Mall sepanjang urusan membeli-belah tersebut.

Majlis kemuncak penghargaan kepada anak-anak KHP dilangsungkan pada keesokanya di asrama KHP. Majlis yang dihadiri warga kerja HALUAN, KTD dan KOPLIT dimulai dengan ucapan Pengerusi KHP, Encik Nasaruddin Abd Manaf. Beliau melahirkan rasa penghargaan di atas usaha yang dilakukan oleh tiga pihak berkenaan dan amat berterima kasih di atas kunjungan mereka di bulan Ramadan.

Turut sama memberi ucapan ialah Encik Nordin Endut, Naib Presiden 2 HALUAN. Beliau mengucapkan syabas di atas usaha singkat yang dilakukan tetapi berjaya mencapai objektif. “Ini bukanlah kali pertama usaha ini dijalankan, tetapi yang pasti ia bukan yang terakhir,” rumus beliau.

Majlis turut diserikan dengan penyerahan sumbangan hari raya, penyampaian tazkirah Ramadan dan motivasi oleh Al-Fadhil Ustaz Umar Aiman Osman al-Sudani, majlis berbuka puasa menu makanan arab, sesi membetulkan bacaan Al-Fatihah dan surah lazim bersama seorang huffaz Palestin tajaan HALUAN, Sheikh Belal Al Ramli, dan solat terawih yang diimamkan beliau.

Majlis meraikan anak-anak yatim dan miskin itu berakhir dengan moreh selepas terawih dan sesi bergambar bersama warga staf HALUAN, KTD dan penghuni asrama KHP.

HALUAN terus mengalu-alukan derma sumbangan orang ramai untuk kami terus dapat memberikan sinar harapan kepada anak-anak yatim dan fakir miskin ini. Sudah ramai yang berubah nasib, menghafal Quran dan menjejak kaki ke menara gading atas derma ikhlas daripada orang seperti tuan-puan. Derma ikhlas anda boleh disalurkan kepada:

TABUNG ANAK YATIM DAN MISKIN HALUAN PENYAYANG
12-038-01-008109-8
BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD

HALUAN – Berakhlak, Mendidik, Berbakti