fbpx

Ucapan Penutup SEMAI 2010

Ucapan Penutup SEMAI 2010

Ucapan Penutup SEMAI 2010

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis,
Para pembentang kertas kerja, para peserta, penghargaan buat seluruh ahli jawatan kuasa seminar dan sidang hadirin Seminar Pembangunan Modal Insan ke-2 2010.


Pertama dan selamanya, marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas ketentuan dan ketetapanNya, Alhamdulillah dengan kesungguhan dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak, seminar pada kali ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Semoga apa yang dibentangkan dan dikongsikan pada seminar kali ini, memberi banyak pendedahan kepada para peserta berkaitan pembangunan modal insan bagi mencapai kecemerlangan di masa hadapan. Segala hasil penyelidikan dan kertas kerja yang  dibentangkan, dibincangkan dan dibicarakan mampu dijadikan bahan-bahan yang berguna agar dapat membantu pihak yang bertanggung jawab menggubal dasar dan pentadbiran negara mencapai tahap kecemerlangan modal insan.

Sidang hadirin sekalian,
Dalam, membicarakan soal pembangunan ia perlulah dilihat secara menyeluruh. Pembangunan tidak hanya terbatas kepada sesuatu aspek tertentu sahaja. Pembangunan jika dilihat secara makna dan ertinya ialah sesuatu yang sedang berkembang dan meningkat naik. Dalam konteks pembangunan negara dan bangsa, pembangunan modal insan adalah sesuatu yang penting dan ia tidak harus diketepikan.

Pembangunan modal insan adalah suatu perkara yang sangat penting kepada pembangunan sesebuah ummah dan ketamadunan. Perkara ini telah menjadikan penekanan utama kepada Baginda Rasulullah SAW dalam membangunkan ketamadunan Islam suatu masa dahulu. Sebenarnya, baginda Rasulullah SAW harus dijadikan contoh, role model serta qudwah dalam apa jua bentuk perkara termasuklah dalam soal pembangunan insan ini.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud “ Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasullullah itu contah ikutan yang baik…” (al-Ahzab: 21)

Dalam ayat lain yang bermaksud “ Katakanlah (wahai Muhammad) Jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku, Allah nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkankan segala dosa-dosa kamu.” (Al-‘Imran: 31)

Seharusnya, dalam membangunkan modal insan ini kita perlu mengambil contoh yang terbukti kejayaan dan kebenaran.  Rasulullah SAW telah berjaya membangunkan satu kelompok kemanusiaan yang pada awalnya digambarkan tidak mempunyai akhlak, ketamadunan yang hampir lumpuh serta keadaan masyarakat yang huru hara. Tentunya, terdapat aspek-aspek yang menjadi fokus baginda Rasulullah SAW dalam memberi penekanan bagi membangunankan keinsanan yang selari dengan tuntutan deen Islam.

Sidang Hadirin sekalian,
Modal asas kepada pembangunan modal insane perlulah melihat kepada asas ini. Asas yang dirintis oleh baginda Rasulullah SAW iaitu asas Manhaj Rasulullah SAW.

Seharusnya, jalan, kaedah, cara dan juga panduan yang ditunjukan oleh Rasulullah SAW dijadikan kaedah utama dalam membentuk generasi yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Perkara inilah yang seharusnya menjadi perkara utama yang kita tekankan dan fokuskan sekiranya kita ingin membina semula generasi Islam yang dapat mengembalikan kegemilangan Islam. Hasilnya lahirlah suatu generasi yang diiktiraf oleh Allah SWT sebagai sebaik-baik ummah.

Firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran : 110 yang bermaksud :
“ Kamu ( umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kerana (kamu) menyuruh berbuat yang maruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah SWT. Sekiranya ahli kitab yang beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik.”

Fokus penekanan Rasulullah SAW adalah membangunkan sumber manusia itu sendiri. Inilah modal utama pembangunan dan pembinaan ketamadunan Islam. Peringkat awal perkembangan Islam, tapak asas kepada tamadunan Islam yang dibina oleh Rasulullah SAW adalah penanaman ‘aqidah yang jitu dan kukuh di dalam jiwa dan hati para sahabat dan pengikut Rasulullah SAW. Kekuatan aqidah inilah yang menjadi tonggok utama kepada penyebaran dan perjuangan Rasulullah SAW di dalam mengerakan jentera dakwah selepas era dakwah rahsia kepada dakwah terbuka.

Seharusnya, pembinaan sumber manusia bermula dengan aspek aqidah dan kepercayaan ini. Ia boleh diserapkan melalui proses pendidikan kerohanian dan ini wajar dicontohi dan dilaksanakan oleh Ummat Islam di dalam kehidupan seharian mereka.

Seharusnya inilah penghayatan yang perlu dilakukan oleh Ummat Islam dalam mencontohi perjuangan Rasulullah SAW. Sunnah yang paling besar yang ditinggalkan oleh baginda Rasulullah SAW adalah perjuangan dan penyebaran ajaran Islam itu sendiri. Lantas, segala kehidupan yang ditunjukan oleh baginda mestilah difahami, dihayati dan dilaksanakan dalam kehidupan seharian secara penuh sedar dan faham. Inilah kejayaan utama yang harus dilihat secara serius dan seterusnya dilakukan sebagai agenda utama dalam kehidupan kita.

Kesimpulannya, model terbaik yang boleh dicontohi kepada modul itu ialah model pembangunan modal insan zaman Rasulullah s.a.w. Model ini mencakupi semua aspek merangkumi Shari’ah (deen) sebagai asas, pembangunan pendidikan, pembangunan sahsiah, pembangunan siasah dan persaudaraan ummah.

Sidang hadirin sekalian,
Saya ingin melontarkan suatu pandangan, sekiranya para penyelidik dan pengkaji dapat melaksanakan  suatu penyelidikan yang baru dalam lingkungan persekitaran kita. Sebagai contoh, kita sehingga kini tidak mempunyai data secara terperinci berkaitan data golongan agamawan di negara kita seperti data berfakta untuk golongan professional. Kita boleh dapat maklumat berkaitan jumlah peratus akauntan untuk golongan Melayu di Malaysia, tetapi maklumat berkaitan golongan ahli agamawan seperti pakar hadis dan pakar Al-Quran agak sukar diperolehi secara mudah. Fakta-fakta serta kajian sebegini harus dilaksanakan untuk perancangan dan pelaksanaan pembangunan modal insan di masa hadapan.

Harapan saya, marilah sama-sama kita lakukan usaha ini walau sekecil mana bentuk usaha yang kita sumbangkan. Seperti satu kata-kata : “ No one is better than everyone.” Tidak ada siapa yang lebih hebat dari yang lain, kita semua perlu sinergi dalam usaha mencapai cita-cita murni ini. Semoga hasil kajian dan pembentangan ini boleh memberi manfaat kepada pembuat dasar.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, dengan lafaz bismillahirahmanirahim saya merasmikan penutupan Seminar Pembangunan Modal Insan ke-2 bagi tahun 2010. Semoga apa yang dilaksanakan ini mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah SWT.

Sekian
Terima kasih.

Dr Abdullah Sudin Abd Rahman
Presiden HALUAN Malaysia