fbpx

Proses Pentarbiahan Madrasah Ramadhan (Bahagian Akhir)

Proses Pentarbiahan Madrasah Ramadhan (Bahagian Akhir)

Proses Pentarbiahan Madrasah Ramadhan (Bahagian Akhir)

Ibadat puasa itu sendiri merupakan sumber motivasi dalam membina potensi, semangat dan kekuatan muslim. Sekiranya ia dilakukan dengan penuh kesedaran dan dilaksanakan dengan perlaksanaan yang terbaik maka jiwa manusia dapat dibebaskan daripada kongkongan nafsu yang bersifat keduniaan dan kebendaan.


Berikut ialah aktiviti-aktiviti ibadah yang boleh dilaksanakan sepanjang proses pendidikan jiwa dan pembersihan hati di dalam bulan Ramadhan:

BilAktiviti IbadahKeterangan
 1Persiapan Ilmu dan ImanIlmu adalah input, eleman dan unsur terpenting bagi memandu manusia untuk melaksanakan sesuatu ibadah dengan betul dan sempurna. Dengan ilmu, ibadah tersebut akan dilaksanakan dengan bersumberkan Al-Quran dan As Sunnah. Persediaan iman merupakan pra syarat utama bagi melayakan individu muslim menerima amanah Ramadhan ini. Seharusnya, satu perancangan dilakukan dengan meletakan matlamat, strategi, pelan tindakan, dan kawalan
 2SolatPertingkatkan ibadah solat dari segi kesempurnaan, dan banyak melaksanakan solat secara berjemaah. Pada masa yang sama juga lazimkan diri dengan memperbanyakan solat-solat sunat seperti solat sunat taubat, hajat dan dirikan solat malam sepanjang bulan Ramadhan
 3PuasaPuasa merupakan medan untuk membulatkan keazaman, kesabaran, dan ketabahan hati kepada Allah SW. Puasa ini merupakan medan latihan yang memerlukan ketabahan dalam menanggung kesusahan dan menghadapi kesulitan. Tingkatkan mutu dan kualiti ibadah puasa dengan sentiasa menyemaknya dari semasa ke semasa.
 4Al-QuranBulan Ramadhan adalah bulan Al-Quran. Bulan kita dianjurkan untuk perbanyakan membaca dan mentadabur Al-Quran. Bukan sahaja membaca tetapi juga, memahami erti Al-Quran, dan mengamalkannya dalam kehidupan. Al-Quran merupakan jalan pembersihan hati , terkandungnya pelbagai hikmah, punca pancaran hidayah, sumber penawar sanubari dan kaedah menghidupkan hati yang sangat penting bagi seluruh manusia.
 5Solat sunat terawihSolat sunat terawih adalah solat sunat mu’akadah yang sangat dituntut dan boleh dikerjakan sendiri atau berjemaah. Ia adalah syiar dan memberi kesan yang sangat besar dalam kehidupan muslim.Dan solat sunat ini hanya ada semasa bulan Ramadhan sahaja. Terawih bermaksud rehat. Kerehatan yang memberikan kemanisan beribadah dan menyegarkan jiwa serta hati kepada sesiapa yang melaksanakannya dengan ikhlas.
 6MuhasabahMenghisab dan memperbaiki hubungan kita dengan Allah SWT adalah jalan-jalan membina rasa kehambaan kepada Allah SWT. Ia adalah sesuatu yang sangat penting bagi melahirkan rasa kekerdilan diri dan membina jiwa kehambaan. Koreksi diri dan menilai diri terhadap diri, amalan dan segala kehidupan di dunia ini setiap malam adalah amalan para nabi,para sahabat dan juga generasi salaful soleh.
 7ZikrullahFungsi hati yang utama ialah mengingati Allah SWT. Dengan mengingati Allah SWT jiwa dan hati terisi dengan sesuatu yang abadi dan ia adalah lambang kebersihan dan kejernihan.Sekiranya hati tidak disisi dengan sesuatu kebaikan, nescaya ia akan terisi dengan kemaksiatan dan kemungkaran.
 8TaubatTaubat adalah lambang kerendahan dan sifat kehambaan. Taubat bererti penyesalan dan keinsafan. Bulan Ramadhan adalah bulan memperbanyakan taubat dan mengembalikan jiwa kepada kesucian fitrah yang asal. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW telah bersabda : “ Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.” (Diriwayatkan oleh Imam Nasai’, Ibnu Habban dan Baihaqi)
 9SedeqahTujuan sedeqah, adalah untuk membersihkan diri daripada perbuatan sia-sia, dari perbuatan keji , memperhambakan diri kepada dunia, dan membantu orang yang tidak mampu seperti golongan miskin serta anak-anak yatim. Amalan sedeqah ini harus dirancang serta dimasukan di dalam perancangan kewangan harian, mingguan, bulanan dan tahunan kita secara nyata bagi membuktikan ia sebahagian daripada kerja yang wajib dilaksanakan.
 10SabarLatihan ibadah di bulan Ramadhan terutamanya puasa kerana ia mampu melemahkan kekuatan syahwat dan kemarahan. Dalam masa yang sama, puasa mendidik kesabaran dan latihan mengendalikan nafsu di samping sanggup menanggung derita lapar, sabar dalam ketaatan, sabar untuk menjauhi maksiat dan sabar menghadapi kesusahan.
 11Doa dan MunajatFirman Allah bermaksud : “ Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara perlahan.” ( Al-Araf 7 : 55) Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mustajab untuk berdoa. Terutama di waktu fajar, selepas qiamullail dan tahajud.
 12Menanti-nanti Lailatul QadarLailatul Qadar adalah malam yang penuh keberkatan yang mempunyai keistimewaan malam lebih baik dari seribu bulan. Rasulullah SAW pernah bersabda : “ Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir. Jika salah seorang di antara kalian tidak mampu atau lemah, maka hendaklah dia tidak ketinggalan untuk mengejar tujuh malam yang tersisa.” (HR Bukhari dan Muslim)
 13IstighfarMemperbanyakan beristighfar kerana ia akan menyinari hati agar terus hidup dan segar serta membangkitkan perasaan untuk mengerjakan kebaikan dan kebenaran. Firman Allah SWT bermaksud : “ Dan mohonlah ampun kepada Allah. Sesungguhnya Allah Pengampun Lagi Maha Penyayang.” ( An-Nisa’ : 106)

 Outcome dan Natijah Ramadhan

Madrasah Ramadhan yang dilalui dengan keikhlasan, keimanan dan kesungguhan akan menghasilkan seorang mukmin yang bertaqwa dan terdidik dengan didikan keimanan kepada Allah SWT. Inilah “outcome” daripada madrasah Ramadhan. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” ( Al- Baqarah 2 : 183)

Bulan Ramadhan melahirkan peribadi bertaqwa, bebas dan merdeka. Ramadhan adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh mukmin sejati untuk melatih diri untuk mencapai taqwa seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Hasilan inilah yang ingin dicapai agar segala yang dilaksanakan di dalam bulan Ramadhan membuahkan natijah yang nyata dan diredhai oleh Allah SWT.

Sifat-sifat orang-orang yang bertaqwa

Pengertian Taqwa kepada Allah SWT ialah melaksanakan segala yang wajib dan meninggalkan segala yang haram seperti yang digariskan oleh syara’. Perlaksanaan ini tetap disempurnakan dengan tidak memilih waktu dan tempat, malah harus dilakukan di mana sahaja seseorang itu berada.

Inilah gambaran orang bertaqwa yang digariskan oleh Allah SWT :

Maksudnya :

“Iaitu mereka yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dan mereka yang beriman dengan Kitab al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka meyakini akan adanya (kehidupan) akhirat, Mereka itulah yang mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang beroleh kejayaan.” (Al-Baqarah 2 : ayat 2-5)

Al-Quran di dalam Surah Al- Baqarah ayat 177 juga menjelaskan :

Maksudnya :

“ Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan ke barat, tetapi kebajikan itu ialah (kebajikan) orang yang beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat-malaikat, kitab-kitab, dan nabi-nabi, dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang yang dalam perjalanan (musafir), peminta-peminta, dan untuk memerdekakan hamba sahaya, yang melaksanakan salat dan menunaikan zakat, orang-orang yang menepati janji apabila berjanji, dan orang yang bersabar dalam kemelaratan, penderitaan, dan pada masa peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar, dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.” ( Al- Baqarah 2 : 177)

Rasulullah SAW juga bersabda di dalam aspek ini dalam hadis baginda yang bermaksud :

Dari Abu Dzar Jundub bin Junadah dan Abu Abdul Rahman Mu’adz bin Jabal radiyallahu anhuma dari Rasulullah SAW sabdanya :

“ Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja engkau berada. Dan ikutilah kejahatan dengan mengerjakan kebaikan, nescaya menghapuskannya. Dan berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik.” ( Diriwayatkan oleh At – Tarmizi)

Berdasarkan ayat-ayat di atas, dapatlah kita fahami bahawa di antara sifat-sifat orang yang bertaqwa yang ada hubungkaitnya dengan keimanan dan amal ibadah adalah seperti berikut;

  1. Beriman dengan perkara-perkara ghaib, iaitu percaya kepada perkara-perkara yang telah diberitahu oleh Allah melalui lidah rasulNya SAW, di mana perkara-perkara tersebut tidak mampu difikirkan oleh akal dan pancaindera manusia, seperti zat Allah Azza wa Jalla, Alam Akhirat, Malaikat, Syurga, Neraka, Alam kubur, Alam Mahsyar, Titian Sirat, Jin-jin, Siksaan Kubur, Arasy Allah dan lain-lain lagi.
  2. Mendirikan solat dalam ertikata yang sebenar, dengan memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat sahnya, termasuk mendirikannya dengan penuh kekhusukan dan ketawadukan.
  3. Menafkahkan sebahagian rezeki yang Allah telah anugerahkan dalam bentuk zakat wajib atau zakat sunat (sedekah) kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir ( yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta dan untuk memerdekakan hamba-hamba sahaya.
  4. Beriman kepada kitab al-Quran dan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, termasuk suhuf-suhuf yang diturnkan oleh Allah kepada para nabi dan rasul, melalui perantraan Jibrail A.S.
  5. Mengimani dan meyakini adanya kehidupan di akhirat setelah berakhirnya kehidupa di duni ini. Di sanalah segala amalan kita akan dinilai dan dihisab dengan penilaian dan penghisaban yang maha adil, kemudian akan dibalas oleh Allah dengan balasan yang setimpal dengan apa yang kita kerjakan didunia ini. Samada berbahagia dan bergembira dengan mendapat balasan syurga atau menderita dan tersiksa dengan mendapat balasan neraka.
  6. Orang-orang yang menepati janji apabila berjanji. Ini adalah lambang sahsiah orang bertaqwa dan ia berakhlak dengan akhlak Islamiyah. Dalam soal ini, ia akan mencontohi akhlak Baginda Rasulullah SAW dan meletakan keperibadian Rasulullah sebagai asas sahsiah dan dicontohi segenap aspek kehidupan baginda untuk diterapkan di dalam kehidupan seharian.
  7. Bersabar dalam menghadapi apa jua bentuk ujian, cabaran dan dugaan yang ditimpakan oleh Allah SWT kepadanya. Dunia ini adalah pentas ujian baginda orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Ia adalah kayu ukur keimanan dan ketaqwaan di dalam kehidupan. Ujian ini haruslah dihadapi dengan ketabahan, kecekalan dan kepasrahan yang berteraskan keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT.
  8. Menghiasi dirinya dengan keperibadian yang baik dan berakhlak dengan akhlak Islamiyah seperti berbakti kepada ibu bapa, bantu-membantu, sentiasa tersenyum, memudahkan urusan orang lain, suka menderma dan sebagainya.

Mukmin bertaqwa inilah impian dan cita-cita yang kita hajatkan. Ianya bukan satu ilusi semata-mata. Meraih taqwa memerlukan kesungguhan, keikhlasan, keyakinan dan kefahaman bagi membolehkan segala yang dikehendaki Allah SWT itu benar-benar dibumikan di dalam kehidupan ini. Ayuhlah kita berlumba-lumba mengerjakan kebaikan dengan semangat kesungguhan.

Rugilah sesiapa yang biarkan Ramadhan itu berlalu begitu sahaja tanpa pertambahan amal dan mendapat pengampunan Allah SWT. Sekaranglah masanya untuk kita mempersiapkan bulan anugerah Allah ini. Semoga kita benar-benar dapat menuai buah taqwa. Sekaranglah masa untuk kita persiapkan diri kita bahkan masa untuk kita mengulangkaji kelebihan bahkan amalan manakah yang bertepatan sunnah Rasulullah SAW.

Penutup

Semoga proses pentarbiyahan di dalam bulan Ramadhan akan menghasilkan taqwa dalam erti kata yang syamil dan kamil serta memenuhi tuntutan untuk membentuk seseorang individu sebagai seorang hamba Allah SWT. Justeru, inilah hakikat perhambaan Allah SWT yang sebenarnya iaitu di mana ubudiyah itu berlaku pada setiap masa, ketika dan waktu. Semoga ruh Ramadhan, membuahkan kemenangan di pagi bulan Syawal yang penuh barakah dan diteruskan di dalam bulan-bulan yang lain. InsyaAllah.

—————————————————

Oleh: Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman (Presiden HALUAN Malaysia)