fbpx

Perutusan Bersempena Aidiladha 1431H

Perutusan Bersempena Aidiladha 1431H

Perutusan Bersempena Aidiladha 1431H

Pengorbanan Prasyarat Kemenangan

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana pada tahun ini kita ummat Islam di seluruh dunia dapat menyambut satu lagi perayaan di dalam Islam iaitu Aidiladha. Perayaan ini seharusnya di sambut dengan penuh kesyukuran, kehambaan dan keimanan kepada Allah SWT


.

Hari raya Aidiladha merupakan salah satu dari hari kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islam.

Anas bin Malik r.a berkata : Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya perayaan ini mereka (bergembira) pada waktu  zaman jahiliah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” (Hadis riwayat al-Nasaai, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959.)

Perayaan ini merupakan kesinambungan perayaan-perayaan yang disambut sebelum zaman nabi Muhamad SAW Namun, kehadiran Islam telah membentuk satu sambutan perayaan yang berteraskan keimanan dan perhambaan kepada Allah SWT semata-mata.

Ibadah korban dilakukan bersempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s kerana taat kepada perintah Allah. Namun, berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini maka Allah telah menggantikannya dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim sudah bersedia menyembelih anaknya itu.

Di sebalik sirah ini, dapatlah kita memperolehi suatu gambaran berkaitan suatu hakikat pengorbanan yang tulen, ikhlas dan bersungguh-sungguh hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT  Inilah hasilan daripada keimanan yang hidup dan mampu melaksanakan suatu perintah Allah SWT tanpa ragu-ragu.

Pengorbanan sebegini harus kita jelmakan di dalam kehidupan seharian di dalam usaha menjadikan seluruh kehidupan ini sebagai medan berubudiyah kepada Allah SWT.

Pengorbanan seseorang mukmin yang dilakukan sama ada dari aspek wang ringgit, harta, tenaga, buah fikiran, masa dan sebagainya perlu dilakukan tanpa rasa terbeban dan terpaksa. Keikhlasan di dalam melakukan pengorbanan akan dihiasi dengan perasaan senang hati, jiwa yang bahagia serta hati yang tenteram. Baginya, pengorbanan itu adalah suatu kenikmatan dan kemanisan dalam proses penghambaan kepada Allah SWT.

Ini sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”  (At-Taubah (9) :111)

Sesungguhnya, di dalam menggapai kemenangan, proses perlaksanaan pengorbanan sangat-sangat dituntut. Pengorbanan merupakan prasyarat kepada kemenangan. Pengorbanan yang ikhlas dan mendambakan keredhaan Allah SWT akan disusuli dengan bantuan dan pertolongan Allah SWT.

Akhirnya, kemenangan itu akan disambut  dengan laungan takbir membesarkan Allah SWT dan ucapan tasbih memuji keagungan Allah SWT Marilah kita pertingkatan pengorbanan kita dalam melaksanakan tuntutan ubudiyah ini dengan harapan hanyasanya untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

Salam Aidiladha buat seluruh ummat Islam di seluruh dunia dan khususnya di Malaysia.

Semoga ruh pengorbanan yang sejati akan menjelma pada setiap tindakan seharian kita. InsyaAllah
 

Dr Abdullah Sudin Abd Rahman
Presiden HALUAN Malaysia

10 Zulhijjah 1431H
17 November 2010