fbpx

Tun Ahmad Sarji Sertai “Komitmenku Buat Palestin”

Tun Ahmad Sarji Sertai “Komitmenku Buat Palestin”

Tun Ahmad Sarji Sertai “Komitmenku Buat Palestin”

JPMPT IntroNILAI, 2 Mei 2014 — Seiring dengan kesedaran dan penglibatan masyarakat yang semakin meningkat dalam permasalahan Palestin, HALUAN melalui Biro HALUAN Palestin telah melancarkan projek “Komitmenku Buat Palestin” sebagai langkah memangkinkan komitmen mereka membela nasib rakyat Palestin yang tertindas di bumi sendiri.

Turut terpanggil menyemarakkan projek ini adalah Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abd Hamid yang sudi merasmikan Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN ke-25 di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor di sini. Beliau yang mengunjungi gerai pameran Biro HALUAN Palestin (BHP) telah mengambil kesempatan menyertai projek tersebut.

Menurut Pengarah Pameran BHP, Ahmad Shahbuddin Abu Bakar, program “Komitmenku Buat Palestin” bertujuan menyediakan landasan bagi masyarakat prihatin Palestin memberikan perhatian secara aktif dan konsisten dalam membantu rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

“Yang penting bagi kita adalah untuk memberi perhatian secara berterusan dan semoga isu penindasan bumi Palestin ini di mana terletaknya Masjidil Aqsa sentiasa berada di dalam hati mereka, walaupun dari segi nilai sumbangan wangnya tidaklah begitu besar,” kata beliau. Setiap peserta hanya perlu menyumbang sebanyak RM10 sahaja setiap bulan bagi menjayakan projek-projek bantuan utama.

Menurut Ahmad Shahbuddin lagi, para peserta projek ini ditawarkan peluang menyertai modul kuliah bulanan yang merangkumi pengajian menyeluruh dan kedudukan sebenar tentang Palestin. “Dengan komitmen ini, kita juga berharap para peserta dapat menjadi relawan bersama kami menjayakan kempen-kempen kesedaran dan bantuan yang akan diadakan dari masa ke semasa di seluruh negara.” Mereka juga bakal mendapat diskaun pembelian barangan jualan HALUAN dari kedai-kedai terpilih. Setiap peserta yang mendaftar akan diberikan sekeping kad keahlian.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, “Amal yang paling disukai Allah adalah amal yang dilakukan secara terus menerus sekalipun sedikit.” Ayuh kita sahut seruan tersebut.

Orang ramai yang ingin menyertai program ini atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-51660599 atau melayari facebook.com/haluanpalestin.

Melawan Pameran BHP
Tun Ahmad Sarji mengunjungi pameran Biro HALUAN Palestin diiringi Ahli Kehormat HALUAN, Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abd. Aziz (berbaju Melayu putih)

Tun Ahmad Sarji mengisi borang
Tun Ahmad Sarji mengisi borang penyertaan.

Kad Komitmenku
Tun Ahmad Sarji (tengah) menerima Kad Komitmenku daripada Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman, sambil diperhatikan oleh Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan.

Sumbangan
Tun Ahmad Sarji menyerahkan sumbangan beliau melalui tabung Komitmenku Buat Palestin


Laporan Muhammad Musab Sa’ari
Unit Media Biro HALUAN Palestin.