fbpx

3M Buka Minda Persada Kesukarelawanan

3M Buka Minda Persada Kesukarelawanan

3M Buka Minda Persada Kesukarelawanan

BANDAR BARU BANGI, 16 Mei 2014 – Mahasiswa yang berjaya adalah mereka yang mampu memanifestasikan ilmu yang dimiliki untuk manfaat ummah. Justeru itu, menyedari hakikat kepentingan menyumbang pada masyarakat, Kelab Siswa HALUAN Health Sciences (HS²) telah menganjurkan program Motivasi Minda Medik atau 3M Siri III 2013/2014 yang bertempat di ibu pejabat HALUAN di sini pada 4 Mei lepas.

Program 3M ini bagi memperkasakan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar-pelajar berlatarkan pengajian sains kesihatan. Seramai 25 orang peserta telah menyertainya.

Program dimulakan dengan ucapan pendahuluan oleh Ketua HALUANSiswa Health Sciences (HS²), Ahmad Ashraf Ilman Zulbahri bagi mengalu-alukan kedatangan para peserta yang datang dari pelbagai IPT seperti USIM, MSU, UPNM, UPM, MAHSA, UiTM, UTM dan AUCMS.

Slot pertama dimulakan dengan ceramah oleh Dr Faridah Md Adnan yang bertajuk “Psychological First Aid: Menangani Stres di Lapangan”. Melalui slot ini, para peserta dapat mengetahui teknik-teknik yang betul dalam menangani psikologi mangsa sepanjang berada di lapangan.

Program kemudiannya diteruskan dengan sesi “sharing moment” khas bersama Dr Suraiya Ibrahim, seorang Pakar Konsultan Radiologi daripada Hospital Putrajaya. Beliau telah berpengalaman menyertai misi bantuan kemanusiaan sejak tahun 2004 lagi. Perkongsian bersama beliau telah mengobarkan semangat peserta untuk turut sama menyertai misi kesukarelawanan pada masa akan datang.

“The moment you get involved in volunteerism, that is the time where your perception on life will change.You won’t complain about life anymore,” -Dr Suraiya Ibrahim.

Slot kemuncak iaitu sesi forum “Alim Mujahid” bersama Dr Azizan Ahmad, Dr Roniyuzam Abd Malek dan Dr Fatimah Zanirah Nordin diteruskan lagi bagi mencapai salah satu daripada objektif program kali ini iaitu memupuk sifat alim mujahid dalam kalangan peserta.

“Belajar bersungguh-sungguh, dan transform ilmu yang kita dapat untuk berkhidmat kepada masyarakat, semata-mata kerana Allah,” pesan Dr Azizan, mengobarkan lagi semangat mahasiswa untuk terus menyumbang bakti kepada masyarakat.

Setelah selesai para peserta disajikan dengan ilmu teori, program diteruskan pula dengan sesi praktikal iaitu bengkel “Hands-On” pada sebelah petangnya. Melalui slot ini, para peserta dapat mendalami tentang ilmu dan persediaan yang diperlukan ketika berada di lapangan melalui stesen-stesen checkpoint yang disediakan. Antaranya ialah pengetahuan asas first aid, wound dressing, medical checkup dan cardiopulmonary resuscitation yang dikendalikan oleh Dr Siti Mariam Ahmad, Dr Wan Muhaizan Wan Mustaffa, Dr Suraiya Ibrahim, Dr Hudzaifah Nordin dan Dr Fatimah Zanirah Nordin.

Program kemudiannya diteruskan dengan sesi kalimah akhirah oleh Profesor Dr Zamrin Dimon, Ketua Biro Profesional yang juga menaungi Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) yang dipengerusikan oleh Dr Wan Muhaizan Wan Mustafa.

“Kita menyertai kesukarelawanan kerana kita mahu melahirkan pekerja-pekerja sains kesihatan yang tidak berkira dalam bekerja,” pesan Dr Zamrin bagi merumuskan keseluruhan slot dalam program kali ini, sebelum 3M siri III 13/14 melabuhkan tirainya.

Sementara itu, salah seorang peserta bernama Muhamad Zullhelmi daripada UPNM melahirkan rasa keterujaan beliau menyertai program ini buat pertama kali. “Program ini sedikit sebanyak telah membantu saya untuk recall ilmu-ilmu yang telah dipelajari dalam bidang ini dan saya sangat bertuah kerana dapat bertemu dengan doktor-doktor yang hebat,” ujarnya lagi.

Seorang peserta lagi bernama Syazwina Zamri, yang juga pelajar UPNM menyatakan slot forum telah membuka fikirannya tentang kesukarelawanan. Slot sharing moment juga turut membakar semangatnya untuk menyertai program kesukarelawanan.

Begitu juga dengan peserta lain yang turut melahirkan rasa syukur kerana dapat menyertai program ini buat kali kedua. Hal ini kerana, beliau dapat memahami konsep baru tentang kesukarelawanan. “Saya berhasrat untuk sertai lagi program ini pada masa akan datang,” tambah Dr Umar Hakimin dari Universiti Kaherah, Mesir.

Menurut Tiara daripada MSU, beliau berharap agar jaringan mengenai program-program kesukarelawanan diperluaskan lagi. “Saya mencadangkn agar HALUAN diperkenalkan di MSU dengan cara menubuhkan Kelab HALUAN supaya pelajar-pelajar di sana tahu tentang kewujudan NGO ini, kerana ini merupakan kali pertama saya menyertai program HALUAN dan cakna tentang hal-hal seperti ini.”

Semua peserta merasa bersyukur dan berharap untuk menyertai lagi program ini di lain kesempatan.

Laporan oleh Mariam Sohor,
Setiausaha HALUANSiswa Health Sciences.