fbpx

Tugas Muslim Perbaiki Persepsi Non-Muslim

Tugas Muslim Perbaiki Persepsi Non-Muslim

Tugas Muslim Perbaiki Persepsi Non-Muslim

fitrahjohor-01SKUDAI, JOHOR, 27 Jan 2014 – Kekeliruan dan salah maklumat mengenai Islam mengakibatkan terlalu banyak salah faham mengenai agama itu lantaran tercetusnya persepsi yang negatif di kalangan rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama.

Kecelaruan yang berlaku mengenai maklumat umum tentang Islam dan sikap pasif atau agresif Muslim itu sendiri sering menakutkan penganut agama lain yang kerap tidak mendapat gambaran sebenar. Menyedari hakikat ini, Kelab HALUAN Fitrah (HALUAN Fitrah) menggesa aktivitisnya untuk mempertingkatkan ilmu aqidah Islam serta ilmu perbandingan agama untuk menjawab sebarang kemusykilan yang boleh memberikan pencerahan kepada golongan non-Muslims di negara ini, khususnya kaum India dan Cina.

Di Skudai, pasukan HALUAN Fitrah Pusat mengambil peluang menziarahi aktivis HALUAN Fitrah Johor pada 26 Januari untuk mempelajari kejayaan teknik mereka berdakwah kepada masyarakat India di sana. Lawatan seramai 11 orang Exco HALUAN Fitrah itu disambut oleh Ketua Biro Perhubungan dan Seranta HALUAN Johor, Dr Baharudin Suri. Beliau menggesa agar para aktivis HALUAN untuk terus-menerus melaksanakan kerja-kerja dakwah kepada golongan non-Muslims.

“HALUAN Fitrah memainkan peranan yang cukup penting dalam dakwah rentas-agama ini. Kita ada tugas dan amanah besar untuk mempersembahkan gambaran yang sebenar tentang Islam agar mereka mendapat pencerahan yang benar. Kita juga berharap agar usaha-usaha ini akan memberikan kesan yang besar dan positif kepada senario dakwah non-Muslims di Johor,” tambah beliau.

Pengerusi HALUAN Fitrah, Dr Jamaludin James Laeng Abdullah dalam ucapannya berkata kedatangan pasukan beliau di Johor adalah untuk mempelajari kejayaan HALUAN Fitrah negeri tersebut dalam berdakwah kepada masyarakat India di negeri itu. Dari sebuah keluarga empat orang yang didakwahkan lebih tiga tahun lalu, HALUAN Fitrah Johor kini telah menginspirasikan sekitar 140 mualaf baru dari kelompok etnik tersebut.

“Ini bererti kita sudah ada kekuatan dan kemampuan berdakwah. Sebenarnya, HALUAN telah melaksanakan pelbagai aktiviti dakwah rentas-agama sebelum ini tetapi tidak secara teratur. Misalnya aktivis kita di Perlis telah lama berdakwah kepada kelompok Siam di sana, dan juga kepada orangasli di Perak dan Cameron Highlands dengan kejayaan yang boleh dibanggakan. Cuma kita tidak mencanangkannya,” berkata beliau.

HALUAN Fitrah Johor kini meyantuni sekitar 14 buah keluarga mualaf yang mula dipupuk sejak tahun 2010, terdiri daripada 12 keluarga India, satu Cina dan satu Iban.

Katanya lagi, HALUAN Fitrah Pusat akan sentiasa memberikan sokongan kepada negeri-negeri demi menyuburkan aktiviti dakwah rentas-agama serta mualafah di lokasi masing-masing. Semakin banyak negeri memberikan respon yang positif untuk tujuan tersebut.

“Hasrat HALUAN Fitrah adalah mencari dan mendidik non-Muslims yang sedang mencari hakikat kehidupan sebenar untuk kami bangunkan mereka sebagai dai’e yang boleh berdakwah balas kepada kelompok mereka sendiri dalam bahasa ibunda mereka. Apa yang perlu adalah untuk kita orang Islam meningkatkan usaha dan minat dalam dakwah berbentuk ini,” katanya.
Katanya lagi, HALUAN Fitrah berhasrat melahirkan pakar-pakar perbandingan agama dalam jangkamasa lima hingga 10 tahun akan datang yang mampu membetulkan salah faham terhadap Islam serta menjawab segala tuduhan atau dakyah yang dilemparkan. Di samping itu, kelab berkenaan juga akan meningkatkan kerjasama dengan jaringan NGO-NGO dakwah rentas-agama yang lain.

“Dakwah dan tarbiyah merupakan intipati pendidikan kita untuk mualaf dan non-Muslims. Untuk itu kami sedang bersiap sedia menyediakan barisan pendakwah kami yang terlatih dengan kursus dan latihan di peringkat pusat dan negeri. 2014 ini sasaran minima kita adalah untuk setiap negeri cuba mendapatkan seorang saudara baru yang boleh di Islamkan dan kemudian dididikbangunkan menjadi dai’e dan rijal dakwah,” jelas beliau.

Katanya 2014 merupakan tahun yang bakal memberangsangkan kerana bercambahnya cawangan-cawangan HALUAN Fitrah baru di negeri seperti Negeri Sembilan, Melaka, Perlis dan Sarawak di samping negeri-negeri lain yang semakin rancak beraktiviti.