fbpx

Al-Fatihah Buat Almarhum Dr Abdul Karim Zaidan

Al-Fatihah Buat Almarhum Dr Abdul Karim Zaidan

Al-Fatihah Buat Almarhum Dr Abdul Karim Zaidan

zaidan-01BANDAR BARU BANGI, 28 Jan 2014 — HALUAN Malaysia merakamkan rasa sedih serta takziah di atas pemergian seorang ulamak dan intelek besar Islam, Dr Abdul Karim Zaidan, ke rahmatullah semalam.

Almarhum yang merupakan mantan Muraqib Am Ikhwanul Muslimin di Iraq telah meninggal dunia semalam di Sanaa, ibukota Yaman, pada usia 97 tahun.

Dr Abdul Karim dilahirkan di Baghdad pada tahun 1921. Pada tahun 1992 beliau terpaksa berhijrah meninggalkan Iraq dan seterusnya bertugas di Universiti Al-Iman di Yaman. Beliau telah memberikan sumbangan yang sangat besar dalam pemikiran dan pendidikan Islam, di mana pandangan beliau digunakan bagi menjawab permasalahan semasa umat Islam.

Beberapa buah kitab karangannya juga digunakan sebagai sukatan pelajaran di kebanyakan universiti serta aktivis dakwah serata dunia. Di antara karya beliau yang terkenal ialah Usul al-Da’wah, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, al-Wajiz fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, Nizhom al-Qadha’ dan al-Mufasshal.

Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab. Rahman menyifatkan pemergian cendekiawan dan pemimpin ini adalah satu kehilangan amat besar kepada umat Islam yang sedang dilanda pelbagai tribulasi saat ini. Katanya lagi, sudah menjadi kewajipan kita untuk mendalami dan mengamalkan mutiara ilmu yang beliau telah tinggalkan. HALUAN melahirkan rasa terharu di atas pemergian Allahyarham dan mendoakan agar ruh dan jasad almarhum dirahmati Allah SWT. serta kaum keluarga beliau dianugerahi dengan kesabaran dan redha yang mendalam.

Semoga Allah merahmati Almarhum Dr Abdul Karim, diberi keampunan, diberkati ilmu yang diwariskannya dan diterima semua amal solehnya serta ditempatkan beliau di syurga.

Al-Fatihah.