fbpx

Perasaan Tanggungjawab Mentarbiyah Anak

Perasaan Tanggungjawab Mentarbiyah Anak

Perasaan Tanggungjawab Mentarbiyah Anak

Perasaan tanggungjawab mesti mempunyai sumber, iaitu sumber tempat seseorang itu meneguk semangat dan memuaskan dahaganya. Kemudian, dia merasakan dan meyakini bahawa apa yang ia perbuat itu bermanfaat serta mempunyai nilai tersendiri.

Adalah mustahil jika Allah SWT mencipta manusia, menempatkannya di muka bumi, dan mengutuskan para rasul kepada mereka dan menurunkan kitab-kitab suci, namun kemudiannya tidak meminta pertanggungjawaban manusia atas perintah dan larangan-Nya itu.

Sumber-sumber yang darinya pertanggungjawaban Islam itu tumbuh, atau sumber yang mewajibkan kepada individu muslim untuk memiliki rasa tanggungjawab di hadapan Allah SWT, tentang apa yang ia katakan atau ia tidak perkatakan, serta apa yang ia kerjakan dan apa yang ia tidak kerjaka bersesuaian dengan perintah dan larangan Allah SWT berpangkal pada dua sumber iaitu:

[1] Al Quranul Karim
[2] Sunnah Rasulullah SAW.

Dari dua sumber yang pokok ini tumbuh rasa tanggungjawab. Ini adalah kerana rasa tanggungjawab adalah hasil daripada sikap yang merupakan natijah untuk menjalankan seluruh perintah dan larangan. Dan pastinya, segala perintah serta larangan itu hanya diketahui melalui Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Tanggungjawab ini didasarkan pada nas-nas al Quran dan Sunnah, yang menuntut kaum muslimin untuk beramal dan memberitahukan kepada mereka serta menekankannya bahawa mereka akan diminta pertanggungjawabannya atas seluruh amal perbuatan mereka

Sekiranya seseorang telah beriman, maka ia mempunyai tanggungjawab untuk membuktikan keimanannya itu, iaitu dengan melaksanakan ibadah kepada Allah SWT dan melakukan amal-amal yang selari dengan tuntutan Allah SWT. Dengan perbuatan tersebut, mereka akan mendapat balasannya sama ada balasan keimanan atau kekufuran mereka.

Tanggungjawab Keibubapaan

Tanggungjawab ibu dan ayah terhadap anaknya adalah satu tanggungjawab yang sangat besar dan sangat berat, khususnya kepada mereka yang membuat persiapan untuk memikul tanggungjawab ini. Ianya bukanlah hanya memenuhi keperluan kehidupan duniawi anak-anak semata-mata sebagaimana yang kita amati apa yang berlaku di sekeliling kita dewasa ini tetapi tanggungjawab ayah ke atas anaknya merangkumi segala persiapan dan persediaan yang diperlukan untuk menyediakan anak menjadi mukmin yang memahami tuntutan keimanan dan keislaman dalam kehidupannya di dunia ini.

Disamping, perlu melengkapi dirinya dengan persediaan-persediaan yang memampukannya melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut dengan menepati kehendak Rabbnya dengan penuh redha dan ikhlas.

Allah SWT telah berfirman mengenai pertanggungjawaban ini, di dalam ayat-ayat al Quran yang berikut:

“Maka demi Tuhan engkau, sunggguhnya Kami benar-benar akan menanyakan mereka seluruhnya (mengenai segala tanggungjawab) terhadap apa yang mereka lakukan.”

(Surah al Hijr 15 : 92-93)

“dan kamu akan ditanya apa yang kamu kerjakan”

(Surah an-Nahl 16 : 93)

“Allah telah mewasiatkan keatas kamu tentang anak-anak kamu.”

(Surah An-Nisa 4 : 11)

Manakala di dalam hadith-hadith yang sahih, Rasulullah SAW menggariskan mengenai kepentingan tanggungjawab mentarbiyah anak. Di antaranya ialah:

“Lengkapkanlah anak-anak kamu dengan tiga perkara: cinta terhadap Nabi kamu, cinta terhadap ahli rumahtangganya, dan selalu membaca al Quran.”

(Hadis riwayat ath-Thabarani)

“Seandainya seorang lelaki itu dapat mengajar anaknya, adalah lebih utama daripada dia bersedekah dengan satu sha’.”

(Riwayat at-Termidzi)

Diperturunkan di bawah ini beberapa ungkapan kata-kata para ulama berhubungan dengan perkara ini.

Imam al Ghazali telah berkata:

“.. anak adalah amanat bagi orang tuanya, hatinya bersih dan suci. Kosong dari segala ukiran dan gambaran. Anak akan selalu menerima segala yang diukirnya, dan akan cenderung terhadap apa saja yang mempengaruhinya.”

Abul ‘Ala berkata dalam syairnya:

“..akan tumbuh dan berkembang seorang anak sebagaimana pelakuan orang tuanya terhadapnya; Anak tidak akan menjadi hina dan tercela dengan tiba-tiba, tapi orang terdekatnyalah akan menjadikannya hina dan tercela.”

Dr Muhammad Nur Abd Hazidz telah menulis:

“..wahai penanggungjawab pendidikan, apabila engkau menyerahkan kehidupan anak di dalam persemaian yang buruk, saya takut engkau akan menghadapi balasan buruk yang berlipat ganda. Engkau akan diazab oleh Allah disebabkan telah menjerumuskan permata yang sangat berharga dan mulia ke dalam kesesatan yang nyata…”

Ibn Qayyim menegaskan:

“Sebahagian ulama mengatakan bahawa Allah pada hari kiamat nanti akan meminta pertanggungjawaban setiap orang tua tentang apa yang mereka telah lakukan terhadap anaknya, sebelum meminta pertanggungjawaban anak terhadap orang tuanya. Ini adalah kerana sesungguhnya sebagaimana orang tua memiliki hak dari anaknya, demikian pula sebaliknya seorang anak memiliki hak dari orang tuanya.”

Ibn Qayyim juga telah berkata:

“Barangsiapa membiarkan anaknya tidak terdidik dengan pendidikan yang bermanfaat dan meninggalkannya tanpa mendapatkan apapun, dia telah melakukan puncak kejahatan.”

Al marhum Dr Abdullah Nasih Ulwan telah menulis:

“Berpandu kepada petunjuk-petunjuk Al Quran serta hadith-hadith Rasulullah SAW ramai dari para pendidik telah mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak mereka generasi demi generasi.”

Penutup – Rasai Tanggungjawab Ini

Beza antara mengetahui, merasai dan melaksanakannya. Pembuktian tanggungjawab ini adalah satu amanah yang besar, berat dan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak.

Justeru, sewajarnya sebagai ibu dan bapa – kita wajib menyelami, menghayati dan merasai sedalam-dalamnya akan hakikat pertanggungjawaban ini dengan penuh kesedaran, kefahaman dan keyakinan yang membulat.

Hal ini kerana ia berkait rapat soal masa hadapan kita di akhirat kelak. Inilah kehidupan sebenar kita. Untung rugi kita di sana sangat berhubung kait dengan segala amanah, tugas dan tanggungjawab yang dipikul semasa di alam dunia yang fana ini.

Tulisan Encik Rosdi Baharom. Boleh ikuti sentuhan mata pena beliau di ruangan Tarbiyatuna di website kekeluargaan: www.familimithali.com