fbpx

Tiga Tunjang Asas Pembangunan Pemuda HALUAN

Tiga Tunjang Asas Pembangunan Pemuda HALUAN

Tiga Tunjang Asas Pembangunan Pemuda HALUAN

BANGI, 28 April 2018 – Persiapan membangunkan ummah tidak lengkap tanpa perbincangan mengenai barisan pemuda yang akan mengemudi masyarakat pada masa akan datang.

Selaras dengan fokus kerajaan dalam agenda Transformasi Nasional (TN50) mensasarkan pembangunan belia yang holistik dan berdaya saing, satu Muktamar Pemuda telah dianjurkan bersempena Mesyuarat Tahunan Perwakilan (MTP) HALUAN Kali-29.

Dengan tema “Pemuda Pewaris Pembangunan Umat”, Naib Presiden 2 HALUAN, Prof. Dr. Mohd Zamrin Dimon memulakan ucap utamanya dengan ekspresi keterujaan melihat para pemuda dan orang lama saling bekerjasama berganding bahu memastikan MTP kali ini berjalan dengan lancar dan teratur.

Prof. Zamrin memberi penekanan berkaitan tahun 2018 yang merupakan tahun ke-29 HALUAN berada di persada Malaysia dengan Misi “Dakwah Mengubah Masyarakat, Tarbiyah (Pendidikan) Melahirkan Pemimpin”. Ini merupakan suatu umur di mana para ahli HALUAN daripada kalangan pemuda seharusnya telah bersiap sedia mengisi jawatan dan peranan utama dalam organisasi di samping menerima bimbingan dan tunjuk ajar daripada kepimpinan sedia ada sebagai kesinambungan bagi mencapai visi utama “Menjadi Khairu Ummah yang menghayati Islam secara menyeluruh”.

“Dua asas utama perlu menjadi fokus Biro Pemuda HALUAN bagi memacu pergerakan pemuda yang memenuhi hasrat ummah; menjana generasi pemuda yang berkualiti, mempunyai kefahaman dan penghayatan yang jelas, serta melahirkan para pemuda yang bersedia untuk menerima tanggungjawab (masuliyah) kepimpinan,” ujar beliau.

Di akhir ucapan penangguhan MTP, Ketua Biro Pemuda HALUAN Encik Hasri Ahmad menggariskan tiga tunjang utama sebagai resolusi muktamar hasil rumusan perbincangan serta cadangan wakil-wakil Biro Pemuda negeri iaitu menjana istiqamah dalam kehidupan berorganisasi, memastikan peningkatan tahap kerjaya selaras dan di tunjangi dengan peningkatan tarbiyah & jati diri dan menguruskan perbezaan pendapat dengan santun dan beradab.

Resolusi Muktamar Pemuda ini diakhiri dengan ungkapan “Orang lama yang merasa serba tahu dan berpengalaman dan pemuda yang merasai lebih mengenali zaman ke hadapan perlu ditangani dengan keikhlasan. Pemuda jangan takut buat kesilapan, dan orang lama jangan melihat kesilapan itu suatu yang kekal.”

Semoga Resolusi Muktamar Pemuda ini dapat dihayati dan diaplikasikan oleh para pemuda dan kepimpinan HALUAN samada di peringkat pusat mahupun negeri bagi memperkukuh asas organisasi dalam menghadapi cabaran dunia global.


Laporan Muhammad Hasan Ahmad Bahari, Setiausaha Kerja 6