fbpx

Ilmu, Teras Muktamar Wanita HALUAN 2018

Ilmu, Teras Muktamar Wanita HALUAN 2018

Ilmu, Teras Muktamar Wanita HALUAN 2018

BANDAR BARU BANGI, 28 April 2018 – Elemen ilmu, akhlak yang mulia dan kemahiran yang khusus menjadi teras penggerak Biro HALUANITA agar ia benar-benar ahli dalam melaksanakan tanggungjawabnya sama ada untuk diri atau masyarakat.

Biro HALUANITA telah menganjurkan Muktamar Wanita yang bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bandar Baru Bangi, Selangor bersempena Mesyuarat Tahunan HALUAN dari 27-29 April.

Bertemakan “Wanita Berilmu Pemacu Ketinggian Ummah”, muktamar ini menggariskan kualiti ahli yang didambakan oleh HALUAN, bersesuaian dengan cabaran yang melanda masyarakat kini. Acara gilang-gemilang tersebut dihadiri hampir 250 orang para perwakilan dan pemerhati HALUANITA dari seluruh negara yang terdiri daripada para wanita, pemudi dan siswi yang terlibat aktif dengan aktiviti dan program organisasi di pelbagai peringkat.

Pengarah program merangkap Ketua Biro HALUANITA, Dr. Zurina Muda dalam ucapan alu-aluan beliau memperjelaskan objektif muktamar kali ini iaitu berkaitan dengan hala tuju organisasi amnya dan Biro HALUANITA khususnya, sebagai platform perbincangan tentang kepentingan ilmu dan pendidikan yang bersepadu. Ini bagi membina potensi wanita yang mapan, serta mempersiapkan tokoh wanita dalam memacu pembangunan ummah demi kelestarian Islam.

Majlis diteruskan dengan ucap utama dan perasmian oleh Timbalan Presiden HALUAN, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abu Azam Md Yassin. Beliau telah mengupas tajuk “Wanita Berilmu Pemacu Ketinggian Ummah”. Dr. Abu Azam membawa contoh wanita Islam di abad ke 20 yang memperjuangkan Islam dengan diri dan kehidupan mereka seperti Zainab Al-Ghazali dan Mariam Jamilah. Beliau memberi penekanan tentang kemampuan dalam melaksanakan amal Islami ini diukur pada tahap kemampuan ilmu, di samping keutuhan iman dan kemantapan akhlak.

Pada sesi petang, ahli muktamar telah menyaksikan pembentangan perbahasan oleh para perwakilan HALUANITA yang terdiri daripada 12 perwakilan dari setiap negeri. Sesi perbahasan yang menyaksikan penglibatan aktif dari setiap perwakilan membentang isu-isu semasa dari setiap negeri ini penting sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memperkukuhkan gerak kerja HALUANITA di seluruh negara.

Muktamar Wanita 2018 tamat dengan pembentangan resolusi dan penutup. Resolusi Muktamar dibentangkan oleh Dr. Zurina hasil daripada kesemua persoalan dan perbincangan sepanjang muktamar berlangsung. Antara ucapan beliau yang menarik perhatian peserta adalah “beauty with brain and with a big heart.” Wanita berilmu menjadikannya pakej lengkap dan lebih holistik – cantik menarik, mempunyai akhlak terpuji, dan bijak akal fikiran. Inilah bakal pemimpin yang ingin HALUANITA lahirkan agar menjadi pemacu ketinggian dan kemuliaan ummah islam.

Majlis penutup disampaikan dalam bentuk amanat dan perutusan Naib Presiden 4 HALUAN, Puan Alfiah Samingan. Penganjur berharap resolusi muktamar ini dapat dirujuk dan dihadam oleh semua perwakilan dan pemerhati HALUANITA untuk dilaksanakan dalam strategi perancangan, pembentukan dan pembangunan ahli HALUANITA dalam kesemua aspek fakulti insan. Ia harus boleh menjurus kepada aspek pembentukan dan pendidikan Deen untuk individu, keluarga, masyarakat; pembangunan industri dan ekonomi serta pembinaan potensi dan kompetensi diri secara global.


Laporan: Siti Farhana Lokman
Jurufoto: Shatirah Zakaria