fbpx

Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN Ke 29

Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN Ke 29

Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN Ke 29

BANDAR BARU BANGI, 27 Apr 2018 – Mesyuarat Tahunan Perwakilan (MTP) HALUAN kembali lagi untuk tahun ke-29 bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini.

MTP yang berlangsung dari 27 hingga 29 April itu turut diwarnai dengan Muktamar Pemuda dan Muktamar Wanita. Seramai kira-kira 500 orang perwakilan dan pemerhati telah berkampung di ILIM. Tema MTP tahun ini ialah “Pembangunan Insan Tonggak Khairu Ummah”.

MTP ke 29 kali ini telah dirasmikan oleh Pengarah ILIM, Puan Zaiton Abd Rahman yang mewakili Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Di dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan tentang pentingnya kolaborasi antara JAKIM dan NGO khususnya HALUAN dalam menangani isu dan keperluan masyarakat Islam di Malaysia. Beliau menyifatkan HALUAN sebagai sebuah NGO non-partisan yang terkehadapan dalam menyantuni hal ehwal masyarakat Islam secara khusus dan rakyat Malaysia umumnya, dan HALUAN sangat relevan sebagai agen penyampai pihak kerajaan.

Menyentuh pelbagai isu yang dihadapi JAKIM, agensi tersebut mempunyai kaedah atau tatacara dalam menanganinya. Kewujudan agensi tersebut tidak perlu disamakan seperti pertubuhan atau syarikat bernuansakan keuntungan sedangkan amanah yang tergalas adalah begitu besar, lebih daripada satu pertubuhan mahupun satu transaksi perniagaan. Tambah Zaiton lagi, HALUAN dilihat sangat positif dengan usaha JAKIM dan sering menjadi rakan berbincang yang sangat berkesan.

Muktamar Pemuda menyaksikan perkongsian melalui ucap utama yang disampaikan oleh, Naib Presiden 2 HALUAN, Prof. Dr. Mohd Zamrin Dimon yang menyentuh tajuk ‘Pemuda Pewaris Pembangunan Umat’.Satu sesi santai ‘Hi Tea Bersama Presiden’ turut diadakan. Ruang ini telah digunakan sebaik mungkin oleh para pemuda HALUAN bertanyakan pelbagai isu dengan lebih dekat.

Di waktu yang sama, Muktamar Wanita juga berlangsung. Ucap utama telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden HALUAN, Prof. Emeritus Dato. Dr. Abu Azam Md Yassin, dengan tajuk ‘Wanita Berilmu Pemacu Ketinggian Ummah’. Selain pemuda, wanita atau HALUANITA adalah sayap terpenting HALUAN.

MTP kali ini dikendalikan sepenuhnya oleh sayap pemuda HALUAN. Ini menyaksikan transformasi modal insan yang sangat ketara di dalam HALUAN. Di dalam ucapan penggulungan Presiden, Dr. Abdullah banyak berkongsi betapa peralihan kepimpinan kepada golongan muda sangat perlu berlaku dan itulah yang sedang terjadi dalam HALUAN. Para pemuda dan pemudi perlu bersedia melihat pembangunan insan atau anggota berlaku dengan lebih positif, sesuai dengan kekuatan dan fokus organisasi.

Seramai kira-kira 500 orang perwakilan dan pemerhati hadir
Ucap utama Presiden HALUAN
Pengarah ILIM, Puan Zaiton Abd Rahman yang mewakili Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Majlis turut diwarnai dengan Muktamar Pemuda (MP) dan Muktamar Wanita (MW)
Perasmian Majalah Remaja HALUAN


Laporan Biro Penerangan HALUAN