fbpx

BHF Lancar Latihan Sayap Pemuda-pemudi

BHF Lancar Latihan Sayap Pemuda-pemudi

BHF Lancar Latihan Sayap Pemuda-pemudi

KUALA LUMPUR, 12 Mei 2018 – Penggerak sayap pemuda-pemudi Biro HALUAN Fitrah (BHF) telah mengadakan Program Lawatan Sambil Belajar (LSB) serta Muzakarah Penggerak Pemudanya bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan di sini pada 12 Mei lepas.

Mereka terdiri daripada 35 orang perwakilan beberapa buah negeri dan zon seluruh Malaysia. Program bermula jam 10.30 pagi dengan ketibaan dan pendaftaran peserta, diikuti dengan sesi pengenalan dan aktiviti LSB yang dikendalikan oleh sukarelawan Masjid Tour Guide (MTG) Masjid Wilayah Persekutuan, Puan Rusniyah Ahmad serta Puan Wan Nor’Aidah Wan Ibrahim. Sepanjang sesi LSB, para peserta disajikan dengan ilmu pengenalan dan cara untuk menyantuni para pelancong bukan muslim yang datang ke masjid sambil berdakwah kepada mereka tentang keindahan Islam. Sesi LSB diakhiri dengan penyampaian cenderahati daripada pihak BHF kepada pihak Masjid Wilayah dan Sukarelawan MTG.

Aktiviti BHF diteruskan dengan Program Muzakarah yang bermula jam 3.00 petang dengan bacaan doa diikuti dengan perutusan Setiausaha BHF, Encik Muhammad Afiq Jamarudin dan dipengerusikan oleh ahli Exco BHF, Encik  Mohamad Najib Mohd Nor.

Antara agenda muzakarah pemuda penggerak BHF julung kali ini ialah perancangan strategik 2018 BHF, penerangan projek-projek utama BHF, perkongsian pengalaman dan ide-ide tentang aktiviti pemerkasaan dakwah di kawasan masing-masing.

Menurut pandangan seorang peserta Cik Nur Haniza Azhar, program begini diperlukan kerana ia memberi kesedaran kepada pemuda-pemudi tentang kepentingan dakwah kepada kelompok bukan Islam di tempat masing-masing, baik di kampus mahupun di tempat kerja. Seorang lagi peserta, Muhammad Izzat Ibrahim yang juga merupakan penulis bebas, berkata, program sebegini perlu diteruskan dan diadakan secara konsisten agar pemuda–pemudi di luar sana yang ingin bergiat dalam kegiatan dakwah dibimbing dan dididik dengan kaedah yang terbaik.

Gandingan sukarelawan muda dan veteran BHF dari pelbagai negeri dan daerah yang hadir pada muzakarah pertama  ini adalah demi melaksanakan sumbang saran terbaik agar dakwah kepada generasi muda Not Yet Muslims akan dapat disusun dengan sistematik. Muzakarah tamat pada jam 5.30 petang dengan diakhiri amanat daripada Timbalan Ketua Biro, Encik  Wan Rafi Wan Hussin. Beliau berpesan kepada peserta pemuda-pemudi agar balik ke daerah masing-masing dan merangka pelan tindakan mikro bersesuaian dengan realiti dan peluang yang ujud di sana. Mereka tidak harus segan-silu untuk menghubungi BHF Pusat untuk ide ataupun tunjukajar.


Laporan 
Muhammad Afiq Jamarudin, Setiausaha Biro HALUAN Fitrah

Haniza membentangkan perkongsian aktivtiti dakwah
Muhammad Afiq menyerahkan cederahati kepada wakil MTG Puan Rusniyah Ahmad
Muhammad Izzat Ibrahim berkongsi pengalaman dakwah beliau di Eropah
Syed Asyraf membahaskan pendapat tentang aktiviti dakwah
Sesi fotografi peserta bersama wakil Masjid Tour Guide (MTG)
Timbalan Ketua BHF Wan Rafi Wan Hussin menemani Muhammad Afiq serahkan cederahati kepada Puan Wan Nor’Aidah Wan Ibrahim