fbpx

Tahfiz Al Aqsa Hasrat Lahirkan Huffaz Istimewa

Tahfiz Al Aqsa Hasrat Lahirkan Huffaz Istimewa

Tahfiz Al Aqsa Hasrat Lahirkan Huffaz Istimewa

SHAH ALAM, SELANGOR 10 Jun, 2012 – Siapa tidak mahu jika ada anak-anak mereka menjadi huffaz Quran, apatah lagi jika mereka ini mampu menjadi seorang da’ie dan murobbi yang berkesan di masa hadapan dengan kemampuan berdakwah serentak kepada Muslim dan bukan Muslim?

Separuh hari bersama anak-anak kecil di Maahad Tahfiz Al Aqsa cukup membuktikan yang ianya bukan calang-calang pusat pendidikan Al Quran. Keunikannya terserlah apabila anak-anak seusia tujuh tahun sudah mampu menghafal di antara satu hingga tiga juzuk manakala yang lebih besar sehingga 10 juzuk dalam masa yang agak pendek. Ini bertambah unik bila pelajarnya, seusai menyambung bacaan permulaan atau pertengahan ayat oleh ustaz pengajar secara rawak, boleh pula memberitahu para hadirin nama surah dan nombor ayat yang telah dibacakan oleh beliau itu; semuanya melalui kaedah latihan ingatan yang diaplikasikan khusus di maahad ini. Kaedah ini mempersiapkan pelajar untuk mahir memetik ayat-ayat Al Quran yang sesuai dalam menjadi da’ie yang berkesan di masa hadapan tanpa ragu-ragu.

Kemampuan bersahaja anak-anak yang luhur jiwa mereka ini benar-benar menyentuh hati ibubapa dan masyarakat hadirin di Jalan Kebun di sini semasa majlis Haflah Takrimiyah atau Perayaan Penganugerahan maahad tersebut yang telah diserikan oleh Ketua Kampung Jalan Kebun, Tuan Haji Solehan Hj Tahir, serta Timbalan Presiden HALUAN Malaysia, Al Fadhil Ustaz Darus Senawi, selaku Penasihat Maahad Tahfiq Al Aqsa. Ustaz Darus juga sempat memberikan ceramah keibubapaan berteraskan Al Quran kepada hadirin.

Penubuhan maahad ini bermula dengan persepakatan sekumpulan ibubapa daripada HALUAN Malaysia pada awal tahun 2008. Ianya didaftarkan di bawah kelolaan sebuah entiti bersama dan kini menunggu kelulusan pendaftaran penuh daripada Bahagian Pelajaran Kelang, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurut Pengerusinya, Ustaz Mohd Daniel Salehi, seramai 56 pelajar pra-sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah telah menjadi pelajar di situ di mana semua mereka adalah pelajar harian. Semasa ucapan alu-aluan beliau, Ustaz Mohd Daniel menekankan peri pentingnya ibubapa meletakkan Al Quran sebagai landasan ilmu dan pedoman awal dalam perkembangan minda dan pembelajaran anak-anak di rumah dan sekolah. Sewajarnyalah Al Quran menjadi muqaddimah dan sentuhan lembut bagi anak-anak sejak mereka mula mengenal pendidikan dan ilmu di sekolah lagi.

Semasa temubual MediaHALUAN dengan salah seorang pengasas Maahad Tahfiz Al-Aqsa, pasangan suami-isteri Dr Syed Muhamad Haleem Syed Hassan dan Ustazah Sharifah Nurul Huda Syed Ibrahim berkata hasrat utama mereka adalah untuk menjadikan Al Quran sebagai pelantar kepada sumber tarbiyah (pendidikan) dan ilmu kepada anak-anak seawal mungkin. Inilah yang akan menjadi asas pembentukan sahsiyah dan halatuju kehidupan mereka. Al Quran menjadi rujukan awal mereka, hatta ketika bermain dan berebut, ketika berkawan dan beribadah, sehingga mampu memetik kalam mullah dan kedudukan ayat-ayatnya. Penguasaan Al Quran oleh ulamak terdahulu sejak dari kecil membuktikan betapa pentingnya Al Quran ini sebagai asas dan pencorak di dalam kehidupan mereka hingga berjaya memperkembangkan Islam di segenap benua.

“Kalau kita tengok kepada masyarakat yang memerlukan bimbingan di luar sana, kita akan dapati bahawa terdapat kelopongan dan jurang di antara murobbi dan mad’u dakwah. Mereka yang berinteraksi dengan Al Quran kebanyakannya hanya membaca, menghafal dan menggunakannya ketika bersolat sahaja. Sedangkan Al Quran diturunkan dengan tujuan yang lebih jauh dari itu. Ianya bukan hanya untuk dihafal dan dibaca ketika Ramadhan dan waktu tertentu sahaja, malahan untuk difahami, dihayati dan digunakan Al Quran sebagai pelantar asas dalam setiap bidang ilmu kehidupan. Justeru itulah kita memerlukan generasi huffaz yang rendah hati tetapi pada masa yang sama boleh memetik ayat-ayat Quran ketika berhujjah dan mahir merujuk ayat dan surahnya. Al Quran akan menjadi sumber kepada mana-mana ilmu duniawi, sebagai rujukan asasi yang akan mencorakkan dan mengembalikan kegemilangan Islam,” katanya.

Menurut Ustazah Nurul Huda, maahad yang sangat baru ditubuhkan pada awal 2008 ini memerlukan kerjasama dan pengorbanan para assatizah dalam pelbagai bidang untuk sama-sama mencapai cita-cita murni ini. Maahad ini dirancang agar menjadi pusat ilmu Al Quran yang cemerlang dan memberikan pendidikan percuma di masa akan datang.

“Kami mengalu-alukan penglibatan tenaga sukarela golongan ustaz dan ustazah ahli HALUAN untuk berbakti sedang masyarakat ternanti-nanti sumbangan kita. Datanglah berbakti di sini walaupun semasa cuti semester. Dan kami juga mengalu-alukan sumbangan tenaga, bahan, fikiran dan kewangan daripada segenap lapisan masyarakat untuk membolehkan pusat ilmu ini terus berkembang dan memaksimakan interaksi anak-anak dengan Al Quran sebagai Huda linnas. Hanya dengan usaha secara kolektif yang bersungguh-sungguh ini dan dengan doa dan pengharapan sepenuhnya kepada Allah, perancangan murni ini akan berjaya,“ menurut beliau. Katanya lagi, maahad ini terbuka kepada masyarakat awam.

Sebarang sumbangan kewangan boleh disalurkan kepada Quranuna Resources di Bank Islam Malaysia Berhad no akaun 1203-801010–3325.