fbpx

‘Syria Berdarah’ di Masjid Abu Bakar As-Siddiq Bakar Arang

‘Syria Berdarah’ di Masjid Abu Bakar As-Siddiq Bakar Arang

‘Syria Berdarah’ di Masjid Abu Bakar As-Siddiq Bakar Arang

SUNGAI PETANI, 28 April 2012 — Berbekalkan maklumat mutakhir daripada pasukan peninjau Biro Misi Kemanusiaan HALUAN dari sempadan Syria yang baru pulang awal bulan ini, HALUAN Kedah telah mengadakan satu ceramah isu semasa berkenaan pergolakan yang sedang berlaku di Syria di sini semalam. Ceramah bertajuk ‘Syria Berdarah’ itu diadakan di Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Bakar Arang yang bertujuan mengutip dana untuk Tabung Bantuan Kemanusiaan Pelarian Syria.

Dr Kursiah Mohd Razali mewakili Biro Misi Kemanusiaan HALUAN Kedah memulakan ceramah dengan penjelasan tentang latar belakang dan sejarah pemerintahan diktator rejim keluarga al-Assad di Syria. Pemerintahan kuku besi rejim Syria hari ini bermula dengan Hafez al-Assad yang menjawat jawatan Presiden Syria yang ke-9 selama hampir 30 tahun dari 1971 hingga 2000. Jawatan Presiden Syria sekarang disandang oleh anak beliau, Basher al-Assad sejak kematian ayahnya pada tahun 2000.

Dr Kursiah juga turut menyentuh tentang faktor-faktor kebangkitan rakyat serta bentuk-bentuk kezaliman yang dilakukan oleh rejim al-Assad yang sewenang-wenangnya menggunakan kekuatan ketenteraan negara untuk membantai rakyatnya sendiri. Lebih 5,000 orang awam telah terkorban manakala lebih 100,000 rakyat Syria telah melarikan diri ke negara-negara jiran seperti Jordan, Turki, Lebanon dan Iraq sejak mula tercetusnya kebangkitan rakyat pada awal 2011.

Para hadirin dimaklumkan tentang kerjasama yang telah dijalin antara HALUAN Malaysia dengan NGO tempatan dan İnsani Yardım Vakfı (IHH), sebuah NGO Islam Turki yang beroperasi di Syria, untuk membantu menyalurkan bantuan secara terus kepada mangsa di kem-kem pelarian di sempadan Syria. Persetujuan kerjasama tersebut dibuat ketika pasukan peninjau Misi Bantuan Kemanusiaan HALUAN berada di sempadan Syria-Jordan awal bulan ini.

Sebanyak RM2,074 telah disumbangkan oleh ahli jemaah masjid. HALUAN Kedah merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada jawatankuasa serta ahli kariah masjid di atas sokongan dan dokongan kepada program-program HALUAN Kedah yang diadakan di sini sebelum ini.