fbpx

Masyarakat Prihatin Malaysia Bantu Sekolah Untuk Anak-Anak Pelarian Syria

Masyarakat Prihatin Malaysia Bantu Sekolah Untuk Anak-Anak Pelarian Syria

Masyarakat Prihatin Malaysia Bantu Sekolah Untuk Anak-Anak Pelarian Syria

ANTAKYA, 6 Mei 2012 — Amanah masyarakat prihatin Malaysia yang disalurkan melalui HALUAN bagi membantu pelarian Syria telah berjaya dilaksanakan di sini. Bantuan tersebut berbentuk dana kepada sekolah darurat Al-Basyair yang memberi pendidikan kepada anak-anak mangsa keganasan rejim Syria di kem pelarian di sempadan Turki-Syria.

Penyampaian bantuan ini dikendalikan oleh rakan NGO HALUAN iaitu Al-Sarraa Foundation for Humanitarian Relief yang mempunyai perwakilan di Istanbul. Bagi memastikan sekolah ini dapat beroperasi dengan berkesan melalui dana yang mengcukupi, HALUAN juga bekerjasama dengan NGO Sahabat Al-Aqsho Indonesia.

Bantuan itu digunakan untuk membeli makanan dan alat-alat tulis kepada para pelajar.

Sekolah yang beroperasi sejak 8 bulan lalu itu menempatkan seramai 180 orang pelajar yang berusia dari 7 hingga 15 tahun. Kira-kira 15 ribu pelarian terpaksa tinggal di sempadan Turki-Syria sejak meletusnya kekejaman ke atas rakyat Syria pada bulan Februari 2011.

Pada akhir bulan Mac lalu HALUAN Malaysia telah menghantar pasukan peninjau Misi Kemanusiaan Pelarian Syria ke Jordan. Pasukan tersebut telah meneliti situasi di sempadan Jordan-Syria dan menyampaikan bantuan kepada pelarian di Mafraq dan Ramsa. Berdasarkan fakta yang diperolehi daripada NGO yang beroperasi di sempadan, bantuan sangat diperlukan di kem-kem pelarian di Turki dan Lubnan.

Semoga sedikit bantuan yang disalurkan melalui HALUAN ini akan dapat mengubat kepedihan pelarian Syria di sempadan Turki seterusnya memastikan generasi muda mereka tidak terpinggir daripada pendidikan. Kami di HALUAN Malaysia mendoakan agar krisis dan kezaliman di Syria akan berakhir segera dan membawa kemenangan kepada umat Islam seluruhnya.