fbpx

150 Peserta Pertingkatkan Kemahiran Keibubapaan

150 Peserta Pertingkatkan Kemahiran Keibubapaan

150 Peserta Pertingkatkan Kemahiran Keibubapaan

SUNGAI DUA, 1 Mei 2012 — HALUAN Pulau Pinang telah berjaya menganjurkan satu seminar keibubapaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Murni di sini dengan penyertaan seramai 150 orang peserta.

Seminar Keluarga Cemerlang pada tahun ini menampilkan dua penceramah berpengalaman iaitu Ustaz Sharihan Shahidan, Pengarah Kolej Komuniti Bayan Baru, yang mengulas mengenai Permasalahan Remaja Masa Kini dan Penyelesaian manakala Tn. Hj. Rosdi Baharum yang merupakan Timbalan Pengurus HEP di Kolej Teknologi Darulnaim, Pengkalan Chepa pula mengupas tajuk Peranan Ibu Bapa Dalam Menjana Kecemerlangan Anak-Anak.

Pengarah Program, Saiful Azmi Omar berkata seminar kali ini bertujuan membina kesedaran masyarakat tentang kemahiran keibubapaan dalam mendidik anak terutamanya semasa di peringkat usia remaja.

Beliau berkata, rata-rata peserta yang mengikuti seminar ini memberikan perhatian penuh terhadap penyampaian-penyampaian yang diberikan.

“Saya berharap kemahiran keibubapaan para peserta tertingkat selepas mengikuti seminar ini dan sama-sama kita berusaha untuk meluangkan masa untuk bersama anak-anak,” katanya lagi merujuk kepada salah satu saranan yang dikemukakan oleh Tn. Hj. Rosdi Baharum di dalam penyampaiannya.

Abdul Karim Mohammad, 55, berkata dia telah mempelajari kemahiran keibubapaan yang sangat berharga terutamanya berkenaan kaedah yang berhikmah bagi mengatasi masalah anak-anak yang bermasalah. Beliau menyarankan agar tempoh masa program dipanjangkan lagi pada masa akan datang.

“Saya berharap seminar ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan dilanjutkan lagi tempohnya kerana tidak cukup dalam masa separuh hari,” saran beliau.

Noor Faezah Zaid, 36, berkata dia telah memperolehi kaedah yang baik untuk mendekati anak secara lebih efektif dan seminar seperti ini amat berfaedah bukan sahaja untuk para ibu bapa tetapi juga bagi golongan pemuda dan pemudi yang belum berumahtangga.

“Saya berharap seminar seperti ini turut dipromosikan kepada golongan muda yang belum mendirikan rumah tangga kerana ilmu daripada program seperti ini merupakan sebahagian daripada persediaan yang diperlukan oleh mereka sebelum berkeluarga dan mendapat anak nanti. Program ini juga elok diadakan untuk anak-anak,” katanya lagi.

Seminar Keluarga Cemerlang merupakan program tahunan anjuran HALUAN Pulau Pinang untuk ahli dan juga anggota masyarakat setempat.

Laporan Oleh: Suhaib Alrumy