31/05/2019 In Berita
Sumbangan Anda Sampai ke Iftar Cox’s Bazaar
COX’S BAZAAR, BANGLADESH, 31 Mei 2019 – Langkah prihatin HALUAN bersama para penderma budiman dari Malaysia sekali lagi mampu menyantuni sambutan Ramadan di kem pelarian rakyat Rohingya di sini.
HALUAN, sebuah NGO yang cakna serta prihatin akan isu kemanusiaan, saban tahun melaksanakan program bantuan Ramadan berupa iftar dan serahan pek makanan kepada mereka yang amat memerlukan di dalam dan di luar negara. Di luar negara khususnya, HALUAN melalui Biro Misi Kemanusiaan (BMK) menyantuni kelompok pelarian di Syria, Lubnan, Yemen dan juga Rohingya di Bangladesh.
Di Cox’s Bazaar, lebih 1.2 juta pelarian Rohingya masih mendiami kem-kem pelarian sejak peristiwa pembunuhan dan pengusiran besar-besaran ke atas mereka dari daerah Rakhine oleh regim Myanmar sejak bulan Ogos 2017. HALUAN sehingga ke hari ini merupakan salah sebuah NGO dari Malaysia yang aktif melaksanakan pelbagai aktiviti bantuan kemanusiaan termasuklah pembinaan rumah sementara, bekalan air bersih, bantuan pek makanan dan pakaian serta pendidikan anak-anak Rohingya.
Sebuah pusat pendidikan, Village of Hope Education Centre, telah diasaskan oleh HALUAN di sana pada Disember 2017. Pusat ini memberikan pendidikan kepada lebih 200 anak-anak Rohingya dalam bidang pendidikan membaca, menulis dan mengira di samping penekanan pada aspek kerohanian dan agama Islam.
Alhamdulillah, melalui kerjasama erat dengan NGO tempatan, HALUAN pada Ramadan 1440H ini telah menjayakan bantuan iftar dan serahan pek makanan untuk anak-anak serta keluarga pusat pendidikan VOH Educare Center. Dua sesi iftar telah dilaksanakan di pusat berkenaan melibatkan semua pelajar dan ibubapa mereka. Sebanyak 213 pek makanan untuk keluarga pelajar juga diagihkan. Pek ini terdiri daripada beras 3kg, susu 2 tin, gula 1kg, minyak masak 1L, garam 1kg, bawang 1kg dan bawang putih 0.5kg.
Selain di VOH Educare Center, bantuan Ramadan juga telah di serahkan di sebuah madrasah tahfiz Allama Sayedul Amin Shakir Education Centre yang juga di Cox’s Bazaar. Seramai 95 pelajar dan 80 ibubapa telah menikmati iftar dan sahur yang telah diadakan pada 25 Mei lalu.
Masyarakat pelarian Rohingya khasnya di pusat pendidikan dan madrasah tahfiz yang di kendalikan oleh HALUAN mengucapkan jutaan terima kasih di atas sumbangan dan bantuan yang dihulurkan serta ingatan kepada mereka yang hidup serba kekurangan sempena bulan Ramadan yang penuh barakah ini. Mereka mengharapkan agar HALUAN dan masyarakat Malaysia akan terus menghulurkan bantuan kemanusiaan bagi mereka meneruskan penghidupan sebagai pelarian di negara jiran itu.
Laporan Fatin Athirah Abdul Sani, Setiausaha Kerja, Biro Misi Kemanusiaan