fbpx

Sukses Intervensi Pasca Banjir Kuala Krai

Sukses Intervensi Pasca Banjir Kuala Krai

Sukses Intervensi Pasca Banjir Kuala Krai

kklw-kkrai0KUALA KRAI, KELANTAN 23 Mei 2016 – Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bencana. Dua tahun telah berlalu sejak banjir besar melanda Kuala Krai yang meninggalkan kesan kepada lebih 110,000 orang penduduk dalam mengharungi keperitan serta kesedihan.

Banjir getir Disember 2014 itu bagaikan mimpi ngeri yang membawa seribu satu peringatan bahawa musibah boleh menimpa sesiapa sahaja pada bila-bila masa dengan izin Allah SWT. Manusia hanya mampu merancang sedangkan ketentuannya tetap di sisi Tuhan seluruh alam.

HALUAN Malaysia adalah salah sebuah NGO yang secara aktif turun ke padang dengan gelombang sukarelawannya yang didatangkan dari seluruh negara semasa bencana itu tiba.
Kini, sebagai sebahagian daripada aktiviti suadayanya, HALUAN dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah melaksanakan projek susulan iaitu Program Intervensi Pasca Banjir dengan cara melaksanakan Khidmat Kesihatan di bawah program Pembangunan Minda Insan kementerian berkenaan.

Pasukan HALUAN yang terdiri daripada penggerak Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) telah mengunjungI kembali dua buah kampung yang pernah disantuni, Kampung Pasir Kelang dan Kampung Kuala Nal. KKH telah menyalurkan pasukan relawan perubatan dan kesihatan yang besar secara serentak di kedua-dua buah kampung berkenaan pada 21 Mei lepas dari 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

“Aktiviti khidmat kesihatan ini adalah pelengkap kepada aktiviti intervensi pasca banjir yang melibatkan aktiviti wanita dan pembangunan sahsiah remaja yang dibiayai oleh KKLW melalui NGO HALUAN. Tujuan aktiviti ini adalah agar penduduk Kampung Pasir Kelang dan Kuala Nal mendapat kemudahan rawatan kesihatan dan pergigian oleh doktor-doktor daripada HALUAN yang sebahagiannya adalah doktor pakar,” jelas ketua rombongan KKH, Dr Wan Muhaizan Wan Mustafa yang turut serta dalam program berkenaan.

Walaupun penduduk kampung mempunyai kemudahan klinik berdekatan, namun sebahagian daripada mereka menghidapi penyakit yang tidak terkawal seperti kencing manis dan darah tinggi. Kehadiran pasukan HALUAN kali ini mengimbau kembali kedatangan relawan HALUAN dua tahun lepas yang jelas menggembirakan penduduk sekitar. Peserta yang terdiri daripada semua peringkat umur, orang tua sehinggalah kepada kanak-kanak seakan-akan menanti ketibaan relawan HALUAN.

Di Kampung Kuala Nal, 99 orang telah menerima rawatan percuma. Mereka terdiri daripada 30 orang lelaki dan 35 wanita. Sebanyak 30 pemeriksaan gigi dan empat lawatan ke rumah telah diadakan di sana.

“Dahulu kami hanya mampu menawarkan perkhidmatan perubatan di misi bencana atau kemasyarakatan. Kini dengan pertambahan para doktor pergigian dalam HALUAN, kami dapat pula menawarkan rawatan pergigian untuk masyarakat,” katanya lagi.

Di Kampung Pasir Kelang pula, KKH telah merawat 102 orang. Seramai 40 orang kanak-kanak telah diberikan ubat anti-cacing.

Uniknya aktiviti HALUAN kali ini ialah buat pertama kalinya pemeriksaan kesihatan dan dental dilakukan di bawah pokok kelapa sawit semasa berbakti di Kampung Pasir Kelang. Manakala perkhidmatan di Kampung Kuala Nal pula dilakukan di sekolah berdekatan.

“Daripada awal lagi, kami telah merancang untuk membahagikan perkhidmatan secara saksama kepada kedua-dua buah kampung dengan memecahkan pasukan kami untuk berkhidmat secara serentak. Relawan kami hanya tidur di dalam bas dalam perjalanan dari Bangi dan terus berkhidmat sesampai paginya di Kelantan. Ini memang sebahagian daripada latihan kesukarelawanan HALUAN. Syukur pasukan kami kali ini ramai disertai oleh para doktor dan dentist muda serta para pelajar klinikal perubatan yang memudahkan tugasan kami. Mereka inilah yang akan meneruskan perjuangan HALUAN menyantuni masyarakat dikala mereka memerlukan nanti,” jelas Dr Wan Muhaizan, seorang doktor pakar patologi.

Terdahulu, program ini telah dirasmikan oleh YDP HALUAN Kelantan, Ustaz Mohd Noor Awang Kecik. Turut berucap adalah Dr Wan Muhaizan selaku pengerusi KKH dan pengarah program. Penduduk kampung yang disantuni amat berpuas hati dengan kunjungan serta perkhidmatan yang telah HALUAN berikan. Lawatan ke rumah pesakit turut dilakukan. Mereka juga berhasrat agar program sedemikian dapat diteruskan lagi pada masa depan.

Salah seorang pegawai perubatan yang turut serta, Dr Nurhidayati Zainal menyuarakan pengamatannya. “Saya sudah beberapa kali turun membantu projek sebegini bersama HALUAN. Malah saya juga turun semasa banjir melanda. Masih segar diingatan betapa air dan lumpur tebal yang menyaluti segala yang ada. Orang Kuala Krai ini tabah. Mungkin kerana kepasrahan mereka yang tinggi kepada Allah,” berkata beliau yang berkhidmat di Kelang.

Pelajar perubatan tahun akhir dari Cyberjaya University College of Medical Sciences, Encik Nizar Zubir, berkata ini kali pertama beliau mengikuti misi bersama HALUAN, suatu pengalaman yang amat menginsafkan. Beliau dapati walaupun ada jurang pangkat yang agak jauh antara beliau dengan para doktor profesional, namun demi kerja kebaktian Islam, kerjasama menjadi amat mudah kerana “matlamat kita sama.” Beliau turut teruja dengan pengisian rohani yang telah dibekalkan oleh beberapa orang asatizah dan relawan veteran semasa projek berkenaan.

“Moto HALUAN memang terbaik – Berakhlak, Mendidik dan Berbakti. InsyaAllah dengan adanya kemampuan yang ada buat masa sekarang, marilah kita membuat mana yang termampu. Saya harap HALUAN tidak akan lupa jemput saya lagi di masa depan,” kata bakal doktor berkenaan.

Pengalaman ini akan tetap menjadi kenangan yang akan mematangkan beliau bila sudah bergelar doktor nanti. Bagi jururawat terlatih, Cik Siti Nurshahidah Alias dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, pengalaman mengikuti misi-misi kemasyarakatan dan bencana bersama HALUAN sentiasa terpahat sebagai memori indah yang mendorong untuk terus berbakti di setiap peluang yang ada.

Kuala Krai merupakan salah satu daripada 10 jajahan pentadbiran negeri Kelantan. Ibu daerahnya ialah bandar Kuala Krai. Kuala Krai merupakan jajahan kedua terbesar di Kelantan selepas Gua Musang dengan keluasan 2,287 km persegi. Terdapat tiga daerah utama dalam jajahan ini iaitu Batu Mengkebang, Olak Jeram dan Dabong dengan 35 mukim. Dua sungai utama iaitu Sungai Galas dan Sungai Lebir bertemu di Sungai Kelantan di bandar Kuala Krai, dan pertembungan ini membawa seribu satu rahmat dan juga nestapa.

Laporan Athirah Huzaimi
Setiausaha Projek Misi Intervensi