fbpx

Sukarelawan HALUAN tiba di Istanbul untuk misi gempabumi Turki

Sukarelawan HALUAN tiba di Istanbul untuk misi gempabumi Turki

Sukarelawan HALUAN tiba di Istanbul untuk misi gempabumi Turki

ISTANBUL, 31 Oktober, 2011 — Pasukan sukarelawan HALUAN misi bantuan kemanusiaan untuk gempabumi di timur Turki telah selamat tiba di Istanbul.


Pasukan peninjau yang dipimpin oleh Dr Syed Muhamad Haleem Syed Hasan itu bakal bekerjasama dengan NGO tempatan Turki bagi meneruskan misi ke lapangan, iaitu di wilayah Van dan Ercis di timur negara tersebut.

Dr Syed Muhamad Haleem bersama rakan sukarelawan, Mohd Fazlon Abd Rahim, telah disambut oleh Timbalan Presiden Insani Yardim Vakfi (IHH), Huseyin Oruc, di pejabatnya di Fateh, Istanbul. IHH telah mengerahkan sukarelawan-sukarelawannya ke lapangan sejak dari mula gempabumi berlaku, di mana mereka membantu operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan oleh pihak berkuasa dan NGO lain.

Pada jam 5.30 petang semalam waktu tempatan, pihak berkuasa Turki telah menghentikan semua operasi mencari dan menyelamat bagi memberi laluan kepada bantuan pemulihan. Sukarelawan HALUAN akan bekerjasama dengan IHH bagi membantu mangsa-mangsa dalam fasa pemulihan ini. “HALUAN belum mempunyai kepakaran untuk bantuan dalam fasa dalam mencari dan menyelamat, jadi ketibaan kami di sini sangat tepat pada waktunya apabila pihak berkuasa Turki memulakan bantuan bagi fasa pemulihan mangsa-mangsa gempa. InsyaAllah kami akan mendapatkan fakta yang secukupnya untuk menyusun pasukan-pasukan bantuan yang seterusnya,” jelas Dr Syed Muhammad Haleem.

Sehingga 30 Oktober, jam 5.34 petang waktu tempatan, seramai 601 orang telah terkorban, manakala 4,152 orang yang lain tercedera. Sekurang-kurangnya 8,321 keluarga tidak boleh menduduki semula kediaman mereka.

Mangsa-mangsa sangat memerlukan bantuan selimut dan khemah, begitu juga makanan dan rawatan perubatan. Wilayah yang terletak di tanah tinggi ini turut mengalami hujan batu dan salji, menjadikan suhu mencecah hampir ke tahap beku.

Masyarakat prihatin boleh bersama-sama menjayakan usaha murni ini dengan menyalurkan sumbangan melalui akaun HALUAN di Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 14-023-01-002571-8.