fbpx

“Soul searching” di JDK Besut

“Soul searching” di JDK Besut

“Soul searching” di JDK Besut

Besut, 4 Jan  – Disiplin yang tinggi, pemantapan kerohanian serta intim dengan Al-Quran menjadikan pelatih JDK 2010 Besut, Terengganu antara yang paling mantap di kalangan belia lepasan SPM tahun lepas.


Pelatih seramai 77 orang itu sejak dari hari pertama telah dilatih supaya bangun awal, masuk perbarisan roll-call serta bergegas sedia ke surau untuk solat tahajud dan witir masing-masing. Ini sebahagian daripada usaha HALUAN untuk membiasakan remaja ini untuk menjatikan diri menjelang kemasukan mereka ke IPT nanti, menurut komandan kem berkenaan, Encik Ali Irfan Jamaluddin.

Rutin ini diselitkan dengan bacaan al-maksurat setiap subuh dan asar, berserta hafalan ayat-ayat Quran lazim serta hadith-hadith pendek sebagai bekalan hidup mereka. Ketika ditemui semasa perjalanan modul Kelab HALUAN Fitrah (KHF), para pelatih telah melahirkan rasa puashati dengan program JDK selama tiga minggu itu yang buat kali keduanya diadakan dengan kerjasama erat di antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan HALUAN.

”Pada minggu pertama, penekanan kami adalah disiplin diri yang ketat kerana tanpanya setiap pelatih tidak mungkin dapat bertahan dengan program yang intensif ini. Tetapi setelah masuk minggu kedua, mereka sudah boleh serasikan diri dan bersemangat dengan modul-modul yang diketengahkan oleh berbagai fasilitator yang datang dari seluruh negara,” katanya kepada HALUAN Media semasa ditemui di pusat latihan JDK di kompleks Insititut Latihan Islam (ILIM), Terengganu.

Di antara modul yang diketengahkan adalah kursus sehari semalam oleh KHF di mana peserta didedahkan kepada pelbagai aliran agama utama di Malaysia iaitu Kristianiti, Hindu dan Buddhism serta aliran kepercayaan masyarakat Cina yang lain. Juga diajarkan adalah kefahaman orang-orang asli di Malaysia.

Menurut timbalan pengerusi KHF, Encik Wan Rafi Wan Hussin, pelatih perlu memahami secara asas agama-agama selain daripada Islam sebagai dasar membina hubungan baik di antara kaum masyarakat majmuk semasa pergaulan di kampus nanti. Kegagalan memahami agama dan adat resam ini boleh menimbulkan kerenggangan di antara pelbagai etnik kaum di kampus lantas merencatkan usaha-usaha dakwah di dalam kampus mereka.