fbpx

JDK Zon Utara gamat bersemangat

JDK Zon Utara gamat bersemangat

JDK Zon Utara gamat bersemangat

Kuala Kangsar, 7 Jan  –  Semangat yang tinggi. Begitulah gambaran umum sesiapa saja yang menziarahi kem JDK di Batu Ampar, Kuala Kangsar di mana lebih 80 peserta lepasan SPM 2010 berkemah dan memantapkan aqidah dan fizikal mereka selama tiga minggu genap.


Deruan kuat daripada air terjun yang dingin bersebelahan dewan syarahan mereka tidak sedikitpun mengalihkan perhatian bakal siswa dan siswi ini terhadap modul-modul yang dihidangkan oleh para penceramah yang datang dari seluruh negara.

Menurut kem komandan JDK zon utara, Encik Muhammad Radhi Abdul Rahman, objektif urusetia beliau adalah memberikan input –input ilmu yang bermanfaat dalam memimpin masyarakat  bersandarkan kefahaman Islam, membangkitkan kesedaran diri sebagai seorang muslim mukmin dalam kehidupan seharian, serta meningkatkan lagi kefahaman dakwah dan tarbiyah dengan lebih jelas, intensif dan holisitik melalui perkongsian pengalaman bersama para fasilitator dan penceramah.

”Kami sangat teruja kerana kami dapati para peserta kem ini sangat aktif, mudah berkerjasama, bersemangat serta mesra. Inilah kelebihan mereka dan inilah agaknya kenapa suasana kami sering ceria, terutama bila ada pertandingan di antara kumpulan-kumpulan,” katanya kepada HALUAN Media di lokasi latihan.

Di antara modul yang menggamatkan suasana adalah modul terakhir lewat malam iaitu Jom Berdakwah kepada Non-Muslim di Kampus yang dibentangkan oleh Encik Abdullah Abdul Aziz, Ketua HALUAN Fitrah Pulau Pinang. Peserta berikrar untuk berusaha membuang prejudis terhadap kaum-kaum lain sebagai membuka laluan kepada dialog yang mesra dan persahabatan yang tulus di antara kaum. Ianya tidak mustahil jika seseorang itu mendapat hidayah Islam semasa di kampus hingga membawa kepada pernikahan dengan saudara baru satu hari nanti, sekaligus menggamatkan dewan menjelang 11 malam.

Menurut koordinator bagi KHF zon utara, Encik Jumat Kardiman, objektif KHF tercapai bilamana majoriti pelatih berjaya memindah paradigm nun di larut malam dengan berjanji untuk mengasah kebolehan berkawan dan berdialog dengan rakan-rakan non-Muslim di kampus secara ikhlas tanpa tekanan.

”Dan inilah pun dakwah yang pernah dilakukan oleh baginda RasuluLlah SAW kepada golongan non-Muslim di zaman baginda; sabar, yakin, membuka minda, tidak bermusuhan dan yakin dengan pertolongan Allah SWT.,” kata beliau yang juga Ketua KHF Perak.

Harapan kem komandan adalah agar semua peserta akan dapat merasakan kepentingan keimanan dalam setiap ruang lingkup kehidupan serta merasai kegentingan dan keperluan memimpin masyarakat sekeliling agar positif dan bersama Islam. Selain itu, semoga gambaran ikatan ukhuwwah Islamiyyah yang diperolehi selama berada di kem ini dapat diterjemahkan dan dipraktikkan sepanjang masa dan situasi, kata Encik Radhi lagi.

Pengerusi JDK Perak, Encik Amran Yeop menambah bahawa hari-hari terakhir peserta di kem tersebut akan dipenuhi dengan lawatan bermanfaat ke berbagai lokasi bersejarah dan mercutanda di Perak, terutamanya di sekitar Kuala Kangsar seperi muzium, kilang membuat labu sayong serta pemerosesan makanan.