fbpx

Lawatan Mahabbah Presiden HALUAN ke Sabah Berjaya Erat Kerjasama

Lawatan Mahabbah Presiden HALUAN ke Sabah Berjaya Erat Kerjasama

Lawatan Mahabbah Presiden HALUAN ke Sabah Berjaya Erat Kerjasama

Selepas mengadakan Lawatan Mahabbah ke Sarawak pada bulan November lalu, Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin bin Ab Rahman yang turut diiringi oleh Setiausaha Agung HALUAN, Hj Mohd Ghani bin Salleh dan beberapa orang lain daripada barisan pimpinan HALUAN telah mengadakan lawatan mahabbah selama 6 hari ke Sabah, berakhir pada 20hb Disember lalu.


Lawatan yang bertujuan untuk menjalin kerjasama dengan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam di Sabah dan agensi serta jabatan kerajaan negeri. Antaranya, Presiden HALUAN telah sempat mengunjungi Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita (SAHABAT,) Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Sekretariat Angkatan Belia Islam (ABIM) Sabah, Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) serta Jamaah Islah Malaysia(JIM) Cawangan Sabah.

Kunjungan mahabbah ini juga telah dapat merealisasikan hasrat HALUAN untuk turun padang bersama masyarakat Islam di sekitar Kota Kinabalu. Seiringan dengan itu, Dr Abdullah Sudin telah menyampaikan kuliah maghrib dan subuh di beberapa buah masjid. Masjid-masjid yang berkenaan adalah Masjid Kg Rampayan di Menggatal, Masjid Sabindo di Kinarut, Papar, Masjid Muhajirin di Kg. Warisan, Inanam Laut dan Masjid Muhibbah di Petagas.

Dalam kesempatan lawatan ini juga Dr. Abdullah Sudin bersama rombongannya telah meluangkan masa bersama kakitangan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu untuk menyampaikan Ceramah Sambutan Maal Hijrah 1432. Program yang diadakan di Pejabat Kesihatan Luyang itu telah dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan tersebut dengan kerjasama HALUAN Sabah.

HALUAN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas penerimaan, layanan baik dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak sepanjang lawatan mahabbah ini.

Ucapan terima kasih tidak terhingga ditujukan kepada Pengurus Besar Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Tuan Haji Baharuddin Bin Ab. Wahid, Yang Di Pertua Sekretariat ABIM Sabah, Dr. Abdullah Bin Bade, Presiden Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita (SAHABAT,) Saudara Abu Bakar Ongkosing, Yang Di Pertua Jamaah Islah Malaysia Cawangan Sabah, Saudara Marsus Abdul Jabar, Yang Di Pertua IKRAM Sabah, Prof. Dr. Zainal Arifin Bin Mustafa, dan Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr. Fatimah Binti Abdul Majid.

HALUAN Malaysia turut menghargai kerjasama dan layanan baik pengerusi dan imam Masjid, termasuklah Ustaz Ismail Mahadi dari Masjid Muhajirin dan Tuan Hj. Masri Hj. Mansor, Timbalan Pengerusi Masjid Kg Rampayan.